rap

'Tiada masalah jika saya tak hadir' - Hafidz Roshdi

Kuala Lumpur: Pelakon, Hafidz Roshdi, 30, tampil mempertahankan dirinya selepas tidak hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam untuk kes tuntutan hadanah Selasa lalu seperti dibangkitkan bekas isterinya, Nurul Shuhada sebelum ini.

Hafidz berkata, tiada keperluan untuk dia hadir kerana perbicaraan itu hanya membabitkan keputusan mahkamah menambah penama penjaga dua anak mereka yang difailkan Shuhada.

"Ya betul, keputusan kes tetapi ia adalah keputusan orang yang memohon sesuatu. Anak guam memohon untuk menambah penama dalam hak penjagaan, jadi dialah kena hadir.

"Saya tidak perlu hadir. Saya dah lantik peguam. Saya tidak hadir pun tak mencacatkan prosiding kes. Keputusan tetap dibaca sebab peguam dilantik hadir," katanya.

Dalam masa sama, Hafidz juga seolah-olah menyindir bekas isterinya selepas dipanggil bodoh oleh Shuhada kerana tidak tahu perbezaan antara perbicaraan dan sebutan kes di mahkamah.

Katanya, pada bulan Ramadan yang mulia ini, seseorang bukan saja perlu menahan lapar dan dahaga tetapi digalakkan berkata baik dan benar.

"Minta maaf, bulan puasa ini salah pula. Tak fasal-fasal kena bodoh benak ubi.

"Bulan puasa ini bukan setakat menahan lapar dan dahaga tetapi kita juga digalakkan berkata baik dan benar. Maaflah, biar benak ubi tapi betul," katanya.

Hafidz menjelaskan kekeliruan itu sebagai merujuk kepada kegagalan dia menghadirkan diri pada perbicaraan kes Hadanah interim dan kekal dua anak mereka di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 26 Mac lalu.

Ketika ditemui media pada hari berkenaan, Shuhada memohon Hafidz memberi kerjasama agar proses perbicaraan mereka dapat dipercepatkan.

Menjelaskan hal berkenaan, Hafidz turut menegaskan dia juga mahu isu ini diselesaikan dengan segera.

"Perkara paling penting, saya tidak wajib hadir. Saya sendiri nak selesaikan kes ini segera," katanya.

Disiarkan pada: March 29, 2024 @ 3:01pm
d