rap

Badan tunggal urus royalti dan hak cipta

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Kos Sara Hidup (KPDN) sedang memperhalusi kaedah pelaksanaan badan pengumpulan royalti secara kolektif atau Collective Management Organization (CMO) yang tunggal bagi mentadbir urus hak cipta serta royalti pengguna.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, KPDN mahu meletakkan komitmen tinggi dalam melaksanakan tindakan terbaik bagi membantu artis-artis tanah air.

Katanya, sejak 2012 sebanyak sembilan CMO yang diisytiharkan, namun dua sudah dibatalkan dan berbaki tujuh.

"Dari 2012 sehingga sekarang ada isu yang berbangkit mengenai royalti, jadi kami membuat pindaan bahawa CMO yang diwujudkan perlu mohon 'renewal' sekali dalam dua tahun pada 2022.

"Dengan ada 'renewal' itu kami boleh menyemak dokumentasi, prestasi dan sebagainya.

"Ia untuk memastikan pengagihan royalti penggiat seni dilaksanakan sebaik mungkin. Namun, ada cadangan wujudkan badan kutipan tunggal untuk membolehkan pentadbiran dijalankan dengan lebih baik. Pengguna juga berharap mereka tak perlu berurusan dengan banyak CMO," katanya.

Menurut Armizan, satu pasukan khas ditubuhkan yang juga arahan daripada kabinet supaya isu berkaitan harta intelek dan royalti artis dinilai memandangkan sudah lama membuat tuntutan keprihatinan kerajaan.

"Pasukan petugas khas di peringkat KPDN sudah ditubuhkan sejak Mac tahun lalu dan urus setia sekarang sedang menyiapkan laporan.

"Sebaik saja laporan siap, kami akan lihat apa langkah terbaik untuk diambil. KPDN akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi sebab ada juga yang mengesyorkan supaya Perbadanan Industri Muzik ditubuhkan untuk memastikan hak dan kepentingan penggiat muzik lebih terbela.

"Kami akan berbincang bersama Kementerian Komunikasi apa langkah terbaik untuk bergerak ke depan," katanya.

Dalam masa sama, Armizan berharap isu berbangkit ini dapat diselesaikan dengan segera agar nasib penggiat seni tanah air terus terbela.

Organisasi Pengurusan Kolektif atau badan kutipan royalti adalah satu organisasi diberi mandat oleh pemilik hak cipta untuk menguruskan hak mereka melalui penggunaan karya hak cipta.

Organisasi ini akan menguruskan seperti pelesenan hak cipta, membuat kutipan royalti ke atas pelesenan diberi, membuat agihan royalti dan mengambil tindakan penguatkuasaan bagi pihak pemilik hak cipta berdasarkan hak diberi.

Armizan ditemui pada majlis berbuka puasa bersama penggiat seni tanah air anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) dengan sokongan Free Malaysia Today (FMT) di sini, semalam.

Pada majlis itu, 50 penerima terdiri daripada penggiat seni tanah air seperti Datuk Hail Amir, Sazali P Ramlee, Imuda, Norlia Ghani, Umarul Iklim, Ali XPDC, Enot, Jaafar Onn, Margaret Gan, Mak Jah, Roslan Saleh, Zaiton Sameon dan ramai lagi menerima sumbangan.

Armizan berkata, barisan penggiat seni itu layak menerima sumbangan atas usaha mereka menggerakkan industri kreatif tanah air.

"KPDN dan Karyawan meraikan barisan penggiat seni yang menggerakkan industri kreatif sejak sekian lama.

"Kami dibesarkan dan hidup dengan karya insan-insan ini. Bakat dan karya mereka sumber rezeki dan peranan kami supaya bakat ini boleh dinikmati sepanjang karier mereka," katanya.

Disiarkan pada: March 29, 2024 @ 4:42pm
d