rap

Berkat doa ibu bapa Alif Satar

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Penyanyi popular, Alif Satar, 34, menyifatkan kejayaan dimilikinya hari ini dalam karier dan kehidupan peribadi adalah berkat doa ibu bapanya.

Alif atau Muhammad Alif Mohd Satar berkata, dia juga sangat bersyukur kerana masih memiliki ibu bapa serta isterinya, Sha Dila Halid yang sentiasa memberikan sokongan.

"Saya selalu fikir semua kejayaan yang ini adalah doa mama dan ayah saya. Malah, saya bersyukur ibu bapa masih ada, isteri saya sangat menyokong dan apa yang saya buat semua, saya pergi bekerja dan balik ke rumah.

"Saya tak ada nak pergi 'event' (majlis), tiba-tiba ada 'after party' dan jomlah lepak 'after party' sekejap, saya tak pernah (ikut). Daripada umur saya 16 tahun, saya tak pernah (after party).

"Kalau dulu ada AIM (Anugerah Industri Muzik) ke, AJL (Anugerah Juara Lagu (AJL) ke, buat 'after post-party' ke, awak tak akan nampak saya ada di situ. Saya menang AJL tempat ketiga pun, saya pergi untuk 'interview' dan lepas itu balik," katanya kepada Harian Metro.

Menurut bapa tiga anak yang juga pelakon dan pengacara ini, dia yang sudah 18 tahun berkecimpung dalam karier seni dan industri hiburan sudah amat memahami asam garam kehidupan.

"Saya dah 18 tahun (dalam industri), saya tahu betapa senangnya Allah nak tarik nikmat itu kalau saya buat satu benda yang (tidak baik), ia akan hilang macam itu saja dan saya dah bina sangat lama.

"Apa yang orang nampak 2024 mungkin persiapan saya 10 tahun dulu dah. Bila saya ada di sini, Alhamdulillah saya tak 'culture shock' (kejutan budaya) sebab saya selalu berdoa bila buat kempen Geng Subuh Macam Jumaat adalah tanggungjawab yang berat," katanya.

Terdahulu, Alif ditemui media pada majlis berbuka puasa dan memperkenalkannya sebagai duta GB Gold Malaysia yang turut melancarkan dua produk iaitu 'Goldbar' dan Dinar 999.9 koleksi khas Alif Satar di sebuah dewan di Cheras, semalam.

Disiarkan pada: March 29, 2024 @ 4:48pm
d