rap

Hun kecewa rekaan terkini baju Melayu

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: "Tapi, bila dah tunjuk 'asam keping', macam dah tak beradab," kata pelakon, Hun Haqeem mengenai rekaan baju Melayu yang dirasanya semakin hari, semakin hilang identiti kemelayuan.

Hun yang gemar memakai baju Melayu lengkap berkata, dia sendiri kecewa dengan rekaan baju Melayu yang terlalu dimodenkan dan melanggar erti kemelayuan itu sendiri.

"Saya sangat kecewa apabila kita dapat tengok pereka, mereka baju Melayu sebegini. Bagi saya, ia melanggar erti kemelayuan itu.

"Mungkin rupa kita tak berapa Melayu sangat, tapi jiwa kita sangat-sangat Melayu. Jadi, janganlah.

"Saya kalau pakai baju Melayu tanpa songkok pun rasa tak lengkap sebab kita sebagai orang Melayu ada sopan santun, beradab, adat dan sebagainya.

"Apapun, kembali kepada asas kita. Tonjolkan nilai Melayu itu. Kenapa kita tak pakai kemas-kemas dan lengkap," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Hun, kita sebagai bangsa Melayu perlu menggalas tanggungjawab untuk memartabatkan identiti budaya kita sendiri.

"Jadi, saya akan cuba kongsi perspektif ini kepada orang lain supaya mereka dapat kongsikan kepada orang lain juga.

"Okay saja kalau nak memodenkan sesuatu, tapi kena fikirkan asasnya juga. Adakah kalau kita nak buat sesuatu itu akan mencalarkan kesopanan Melayu itu dan adakah ia akan mencalarkan nama Melayu itu. Benda-benda itulah yang kita kena jaga sebab siapa lagi yang akan membanggakan bangsa kita kalau bukan kita.

"Bila lagi kita nak ambil peluang untuk tunjukkan kepada orang luar sana, ini identiti kita melalui pakaian," katanya.

Terdahulu, muncul pelbagai rekaan baju Melayu yang dimodenkan bahkan ada yang menggunakan kain hampir telus cahaya sehingga menampakkan puting atau digelar 'asam keping'.

Disiarkan pada: March 29, 2024 @ 4:54pm
d