rap

Bella dakwa Aliff 11 kali curang

Oleh Georgie Joseph

Bukit Jelutong: Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, 30, mendedahkan suaminya Aliff Aziz, 33, sudah 11 kali curang sepanjang perkahwinan mereka dan ada bukti terhadap semua kecurangan itu.

Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah paling terluka apabila Aliff turut mencuranginya dengan adik kandungnya sendiri.

"Yang orang tahu Aliff curang empat dan lima kali. Terus-terang, buat pertama kali saya keluarkan pasal ini, Aliff sudah curang 11 kali. Berserta bukti, Aliff pun tahu.

"Seperti yang diketahui ramai, saya sebenarnya ada tiga orang adik-beradik. Dan sebenarnya Aliff juga pernah curang dengan adik saya.

"Punyalah saya sayang dekat Aliff, sampaikan saya buang keluarga saya sendiri. Saya tak pernah beritahu mengenai perkara ini tetapi saya terpaksa juga," katanya ditemui pada sesi iftar di K Town Barbeque, Radia Tower, di sini, hari ini.

Tambah Bella, Aliff ada bertukar hantaran mesej meminta agar hubungan mereka dipermudahkan sewaktu dirinya dan Aliff mengerjakan ibadah umrah pada 2022 lalu.

"Sebenarnya sewaktu di umrah pun, ada teks mereka yang mengatakan doakan hubungan mereka.

"Allah, saya sakit dada nak cerita. Inilah rahsia saya dan keluarga simpan sebaik-baiknya. Pasal adik saya memang kesilapan sangat besar. Kami sekeluarga sudah tidak balik kampung," katanya.

Kakak kepada penyanyi Didi Astillah juga sebenarnya terlalu berat berkongsi mengenainya dan menyesal terpaksa memutuskan untuk adiknya dibuang keluarga.

Pada 9 Mac lalu, Aliff dan aktres Ruhainies ditangkap khalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium di ibu negara. Kemudian pada Bella memfailkan cerai terhadap Aliff secara ekspres pada 13 Mac.

Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna yang masing-masing berusia tujuh dan empat tahun. 

Lapan kali Aliff ke rumah Ruhainies

Air mata, lakonan hebat seseorang - Ibu Aliff

Bella akui kesilapan mahu perhatian Aliff, hubungan dengan Muaz berakhir tahun lepas

Bella Astillah tak salahkan takdir

Disiarkan pada: April 3, 2024 @ 9:26pm
d