rap

Selepas Ruhainies, Sarah dedah perbualan Aliff dengan Sophia Albarakbah pula

Kuala Lumpur: Wanita yang mendakwa sebagai kekasih kepada pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz iaitu Sarah Yasmine sekali lagi mencuri tumpuan ramai apabila kali ini membongkar hubungan Aliff dengan pelakon, Sophia Albarakbah pula.

Masih mengekalkan pendekatan memuat naik perbualan mesej antara mereka sebagai bukti, Sarah mendakwa Aliff masih berhubung dengan Sophia sehingga Mac lalu.

"Jangan cuba nak beritahu yang awak tidak layan, sedangkan masih melayan sampai 28 Mac," katanya.

Tangkap layar yang dikongsi Sarah itu dipercayai diperoleh dari telefon Aliff seperti mana pendedahannya sebelum ini.

Sebelum berkongsi paparan mesej menerusi Instagram itu, Sarah berkata, dia tidak teragak-agak mendedahkan kisah Sophia selepas berbuat perkara sama kepada Ruhainies.

Sarah turut mendakwa sekiranya Sophia sudah tidak melayan Aliff mengapa perlu wujud akaun Instagram palsu untuk berbual.

Malah Sarah juga mempersoalkan tindakan Sophia yang tidak menghentikan panggilan romantis seperti 'yang' (sayang) dan cinta daripada Aliff kepadanya.

Menurut Sarah, pendedahan yang dibuat terhadap Ruhainies dan Sophia adalah 'balasan' kepada penipuan yang mereka lakukan apabila kedua-duanya berpura-pura tidak lagi berhubung dengan Aliff.

"Sekarang ini anda berdua nak menipu dan menyembunyikan perkara ini sedangkan saya tahu mengenai penipuan ini.

"Anda berdua hanya nak menyelamatkan diri sendiri dan ketepikan pertolongan anda untuk Aliff. Jadi, sebab itu saya tak boleh berdiam diri lagi.

"Kalau semua nak benci Aliff, pastikan setiap seorang (Ruhainies dan Sophia) yang terbabit ini turut dibenci. Bukan hanya Aliff seorang saja sebab sekarang ini mereka tidak lagi mahu berpihak kepadanya sedangkan mereka masih melayan dan menipu semua orang supaya mereka nampak suci," katanya.

Dalam masa sama, Sarah mengaku tindakan bercinta dengan lelaki berstatus suami orang adalah salah tetapi dalam hal ini dia hanya akan memilih siapa yang patut diselamatkan dan tidak.

"Saya masih tahu salah saya dan apa yang salah tetap salah. Tetapi saya hanya akan memilih siapa saya ingin diselamatkan dan siapa tidak dalam keadaan sekarang.

"Jadi kepada Sophia dan Ruhainies, hadam segalanya sebab dalam situasi sekarang ada seorang yang menipu dan sanggup memanipulasi cerita semata-mata nak selamatkan diri. manakala seorang lagi merancang untuk menipu satu dunia untuk menyelamatkan dirinya.

"Jika tiada siapa yang menyelesaikan kebencian terhadap Aliff dan pada saya kebencian itu perlu adil dan saksama antara kita semua.

"Disebabkan pembohongan anda berdua, saya nekad melakukannya dan saya sanggup dibenci kerana saya tidak akan melakukan apa-apa selain berterus terang walaupun anda berdua tidak boleh melakukannya," katanya.

Sejak Isnin lalu, perhatian tertumpu kepada Sarah menerusi pendedahan yang dibuat bermula dengan kisah cintanya bersama Aliff.

Dia juga turut menyebut beberapa nama selebriti lain yang pernah dikaitkan dengan Aliff atau mengetahui cerita mengenai pelakon itu.

Tahun lalu, kisah Aliff dan Sophia pernah menjadi bualan hangat selepas mereka mengaku mula rapat ketika sama-sama terbabit dalam penggambaran drama berjudul Ku Akad Kau Dengan Bismillah.

Mereka kemudian tampil memohon maaf dan Aliff kembali memperbaiki hubungan dengan isterinya, Bella Astillah.

Disiarkan pada: April 27, 2024 @ 8:16am
d