rencana

Si dara pinang jejaka

Oleh Nurul Husna Mahmud

KETIKA menjengah ke rumah adat di Pulau Belitung di timur Sumatera, Indonesia, reaksi pemandu pelancong yang ‘mengusik’ seorang teman dalam rombongan penulis antara pengalaman paling diingati.

Dia yang mesra dengan panggilan Dedi berkata, gadis Belitung memang terkenal kerana mempunyai semangat ‘luar biasa’ apabila mereka menemui lelaki idaman.

Bukan perkara luar biasa bagi gadis Melayu Belitung memulakan langkah pertama menyunting pasangan hidup mereka dengan melamar lelaki dengan kaedah unik.

“Katakan awak (ditujukan kepada teman) menyukai saya dan memang berkira-kira ingin mendirikan rumah tangga, awak harus membelikan saya kek.

“Kalau saya terima kek itu, bermakna saya terima lamaran awak dan bolehlah keluarga kita bertemu untuk berbincang peringkat seterusnya termasuk lamaran dan hantaran,” katanya dalam nada bergurau.

Kami ketawa mendengar penerangan itu. Ia jauh berbeza dengan adat atau budaya di Malaysia.

Mengikut budaya kita, dalam soal memikat atau melamar, lelaki yang perlu mulakan dulu. Malah perbuatan gadis melamar lelaki diumpamakan seperti ‘perigi cari timba’.

Akui Dedi, adat Belitung mempunyai persamaannya dengan adat masyarakat Padang.

Jadi tidak hairan jika penduduk di Padang yang mengamalkan adat Minang atau Pepatih memberi ‘kuasa’ kepada wanita baik dalam pemilikan harta mahupun menentukan pasangan hidup.

Meskipun wanita dilihat ‘ada kuasa’ tetapi ia tidak menjejaskan keharmonian dalam keluarga pasangan Belitung.

Tambah Dedi, kalau dilihat pada persalinan tradisi perkahwinan, pakaian tradisi Melayu Belitung juga seperti perkahwinan di Malaysia yang mempunyai persalinan khas untuk digayakan ketika bersanding.

“Seperti Melayu di Malaysia, persalinan pakaian perkahwinan tradisi Melayu Belitung untuk lelaki dilengkapi tanjak begitu juga wanita yang turut dihiasi barang kemas serta aksesori kepala dalam meraikan hari penting mereka,” katanya.

Menariknya ketika berada di rumah adat berkenaan, pelbagai barangan tradisi untuk meraikan pasangan turut dipamerkan dan dalam pada itu Dedi bersama seorang lagi pemandu pelancong terus berkongsi kisah mengenai adat masyarakat itu.

Kemeriahan upacara perkahwinan di sini sudah dapat dibayangkan apabila pernikahan mengikut adat mengambil masa tiga hari dan ada kalanya boleh berlangsung sehingga seminggu!

Menariknya ada aturan mengikut hari iaitu pada hari pertama, bakal pengantin lelaki perlu mengetuk pintu dan ia tidak disertai kedua-dua orang tuanya melainkan saudara daripada belah ibu atau bapanya.

Namun rombongan mempelai tidak boleh masuk sewenang-wenangnya kerana ada upacara dipanggil Berebut Lawang merujuk kepada tiga lapis pintu perlu dilalui rombongan terbabit.

Melewati pintu pertama, pantun jadi pembuka bicara dan wakil tuan rumah biasanya diwakilkan kepada ‘Tukang Tanak’ iaitu orang yang memasak nasi dalam majlis itu dan falsafah di sebalik hal itu ialah bakal suami harus memberi nafkah pada isteri serta anak.

Usai pintu pertama, rintangan pintu kedua pula ialah acara ‘menjual dan membeli’ pantun bersama ‘Penghulu Gawai’ merujuk kepada ketua resepsi.

Isinya masih sama iaitu menerangkan hajat rombongan kepada wakil tuan rumah.

Makna sebalik pintu itu ialah kesediaan si lelaki menjadi imam atau pemimpin yang baik untuk keluarganya.

Pintu terakhir ialah pintu yang dikawal oleh ‘Mak Inang’, peranannya sama seperti mak andam di Malaysia yang merias pengantin.

Sebagaimana tugas mak andam satu ketika dulu yang bertindak menanyakan barang bawaan biasanya hantaran dan ‘tipak’ (tepak sirih) merujuk kepada hasrat untuk mengikat tali persaudaraan.

Uniknya dalam setiap hantaran dan kandungan tipak mempunyai maksud tertentu termasuk tempat sirih lengkap yang menyimpan tujuh belas jenis barang. Hal itu menggambarkan jumlah rakaat solat dalam sehari.

Demikian pula dengan sejumlah wang yang berlipat sebanyak lima. Angka lima melambangkan solat lima waktu yang wajib bagi kaum Muslim. Kemudian barulah pasangan dinikahkan.

Hari kedua merujuk kepada acara berjamu di mana Mak Inang akan mengetuai upacara hari berkenaan termasuk bertukar juadah (kuih). Pada hari terbabit kedua-dua orang tua mempelai dipertemukan.

Hari ketiga pasangan pengantin dimandikan dengan air kembang tujuh rupa atau dikenali dengan istilah mandik besimbor.

Menariknya bukan sekadar mandi, pengantin juga perlu memijak telur dan berlari ke pelamin. Mengikut kepercayaan masyarakat tempatan, siapa yang mencapai pelamin terlebih dulu dialah yang mengatur kehidupan keluarganya kelak.

Kehidupan selepas bernikah juga menarik apabila difahamkan pasangan baru bernikah hanya menikmati ruang privasi selama seminggu.

Ini merujuk adat dulu yang mana Rumah Panggong atau rumah tradisi Belitung tiada kamar.

Pengantin diraikan dalam ruang beradu selama seminggu yang dilengkapi dengan ‘puade’ iaitu langsir berwarna-warni. Apabila pasangan berada dalam ruang terbabit, ikatan

pada langsir itu akan dilepaskan.

Disiarkan pada: February 3, 2019 @ 11:11am
d