rencana

21 tahun tak jemu main gasing

Oleh Aniza Zainudin

TALI benang kait diikat pada pergelangan tangan kanan Zulkarin Isa, kemudian tali yang sama berukuran tiga meter atau 10 kaki dililit beberapa kali di bahagian lengannya.

Pantas tangannya mengambil gasing pusing yang kelihatan berusia dan dipenuhi ‘parut’ berwarna hijau gelap, seterusnya melilit bahagian atas gasing atau dipanggil bahu sepenuhnya.

Riak wajah jelas mencerminkan keterujaan untuk mempertontonkan kemahirannya bermain gasing pangkah yang menjadi kegilaan lelaki berusia separuh abad ini sejak 21 tahun lalu.

Sambil menunjukkan demonstrasi, Zulkarin menjelaskan, permainan gasing tradisional memerlukan kemahiran, seandainya berlaku sedikit kesilapan, ia mungkin mencederakan kaki si pemain.

Usai proses mengetatkan tali, lelaki ini memasuki gelanggang sebelum melemparkan gasing pusing menggunakan konsep lempar dan tarik.

Pusingan gasing seakan-akan tarian asyik yang menarik dan ‘berlangsung’ selama kira-kira lapan minit.

Bagi menghangatkan lagi permainan, ahli kumpulan pemain gasing pangkah Felda Tenang, Labis, Johor yang lain turut turun ke gelanggang sekali gus menonjolkan keistimewaan serta keutuhan gasing masing-masing.

Kelajuan, keseimbangan dan kekuatan adalah tiga kriteria penting bagi memastikan pusingan gasing bertahan lama.

Peranan gasing pangkah pula memangkah gasing pusing di bahagian kepala yang selalunya dipasang besi.

Sekiranya gasing pangkah lebih hebat, gasing pusing akan terpelanting keluar dari bulatan gelanggang dan berhenti berpusing.

Bukan sekadar pemain, Zulkarin juga berkemahiran menghasilkan gasing menerusi syarikatnya, Gasing Warisan Melayu.

“Sebenarnya di sini (Felda Tenang) sememangnya sudah lama meneruskan tradisi permainan gasing, boleh dikatakan sejak awal 1970-an. Saya berjinak-jinak dengan gasing sekitar 1997.

“Tertarik dengan gaya permainannya, saya mengambil inisiatif untuk mempelajari kaedah pembuatannya menerusi pemerhatian orang lama.

“Jika dahulu, saya menghasilkan gasing menggunakan cara tradisional tetapi ia memerlukan lebih banyak masa dan tenaga berbanding teknologi mesin yang diterima daripada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia).

“Menerima banyak tempahan gasing daripada pemain, saya juga menghasilkan gasing sebagai cenderahati mengikut permintaan pelanggan,” ceritanya yang baru menyelesaikan tempahan daripada pelanggan di Kuching, Sarawak.

Berkongsi pengalaman menarik sebagai pemain gasing, nama Zulkarin tercatat dalam Malaysia Book of Records kerana pernah menyertai Pertandingan Gasing Alam Warisan Longest Non-Stop Gasing Tournament (24 jam) anjuran Persatuan Alam Warisan, pada Jun 2012 di Sri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Pertandingan disertai 16 pasukan membabitkan 64 pemain Melayu dan Cina, termasuk Baba tempatan dan Singapura, bermula jam 11 pagi hingga 10 pagi keesokan harinya.

Sebagai pemain gasing pangkah kebangsaan, beliau mendedahkan permainan ini menetapkan ukuran tersendiri mengikut standard Asia Tenggara.

Antara standard itu ialah berat gasing tidak melebihi 800 gram, lilitan ukuran keliling 36 hingga 46 sentimeter (18 inci), ketinggiannya 12 sentimeter dan berpaksi silinder tidak melebihi 0.5 sentimeter.

Menggunakan kayu jenis cengal, bal, lebai, keranji dan arang bunga untuk dijadikan gasing, Zulkarin berkata, selalunya paksi gasing diperbuat daripada bahan injap kereta yang memiliki ketahanan tinggi.

Katanya lagi, gasing pangkah mempunyai temin di bahagian bawah atau patak yang diperbuat daripada zink tebal.

Ciri gasing pusing pula mempunyai paksi sama dengan gasing pangkah, di bahagian turap atau kepalanya dipasangkan besi bertujuan mengelakkan gasing pecah apabila ia dipangkah.

Bentuk dan saiz gasing pula dihasilkan mengikut kesesuaian pemain tetapi tidak boleh melebihi ukur lilit 18 inci, ketinggiannya tiga hingga lima inci sahaja.

Mampu menghasilkan lima butir gasing sehari, keistimewaan hasil kerja Zulkarin terletak pada kaedah pembuatan gasing membujur daripada kayu dipotong secara melintang yang dikatakan mampu membuatkan gasing tahan lasak bersesuaian dengan bidalan ‘membujur lalu, melintang patah’.

Selain itu, keseimbangan gasing juga dititikberatkan dengan penambahan timah di bahagian patak, sebelum ia dilarik semula menggunakan mesin bagi meratakan permukaannya.

Bagi gasing pangkah pula, pemberat terletak di bahagian labu atau tepi.

Timah berfungsi sebagai pemberat dan pengawal keseimbangan gasing pangkah, kemudiannya bahagian tepi gasing akan dimasukkan dawai, habuk kayu, sapuan gam dan kemudiannya dilarik semula.

Kata Zulkarin, ia bertujuan memastikan gasing tidak pecah dan timah yang dipasang tidak ‘berterbangan’ lalu terkena pemain atau penonton. Malah pemain gasing tidak semestinya menghasilkan ‘senjata’ sendiri.

Berkongsi warisan permainan gasing dalam kalangan masyarakat, beliau mengakui setiap negeri masih lagi aktif bermain gasing dan kerap berkumpul dalam pertandingan anjuran Persekutuan Gasing Malaysia (PEGAMA).

Menariknya, setiap negeri mempunyai warna identiti tersendiri. Contohnya, Johor dikenali dengan warna merah hati, Pahang (hijau), Negeri Sembilan (kuning), Melaka (hitam atau hijau pekat), Selangor (biru tua), Sarawak (warna tembaga) dan Sabah (merah jambu gelap).

Disiarkan pada: February 12, 2019 @ 3:36pm
d