rencana

Mula beramal guna facebook

Oleh Nurul Husna Mahmud

TANGAN lembut yang menghayunkan buaian mampu menggegarkan dunia. Itulah frasa yang sesuai untuk menggambarkan figura kemanusiaan yang juga memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki.

Ibu kepada lima cahaya mata ini tidak pernah mendabik dada dengan jawatan dipangku sepanjang empat tahun dalam pertubuhan sosial itu yang berperanan membantu jutaan mangsa pelarian Syria.

Malah, dalam perkongsian pengalamannya bersama pelarian Syria, setiap satunya menzahirkan beliau mengagumi kekuatan dimiliki mangsa kekejaman rejim Bashar Assad sejak revolusi 2011 lagi.

Kata Siti Sakinah, sejak zaman beliau bergelar siswi Universiti Ummul Qura di Makkah, dia sudah jatuh cinta dengan Syria dan bangsa Arab.

“Bukan empat tahun bekerja baru saya kenal Syria, sebaliknya saya sudah jatuh cinta dengan keindahan tempatnya mahupun budaya dan gaya hidup orang Syria sejak tiga dekad lalu.

“Ketika itu, saya menuntut di Makkah selama lapan tahun bermula 1988. Saya sangat suka menonton drama atau filem Syria berbanding dari wilayah Arab lain seperti Mesir dan Arab Saudi.

“Pemandangan Syria satu ketika dulu dalam filem yang selalu dipertontonkan ialah gunung menghijau dan keindahan seni bina mereka. Selain itu, kehidupan yang mereka memiliki satu ketika dulu penuh dengan budaya dan seni warisan tersendiri.

“Betapa saya menyukai kisah orang Syria ini sehingga bentuk rumah mereka pun saya suka lihat. Mana tidaknya, wanita Syria mempunyai ruang khas peribadi yang terbuka membolehkan mereka menikmati pemandangan alam dengan bebas.

“Saya tetap ikuti perkembangan negara itu biarpun sudah kembali ke Malaysia. Apabila saya mengetahui gelodak iaitu peperangan saudara membabitkan rejim dan Mujahidin iaitu tentera meruncing sejak 2012, saya rasa sedih,” katanya.

Kata Sakinah, beliau bermula dengan platform laman sosial Facebook sebagai tempat berkongsi maklumat mengenai situasi pelarian di sana dan ketika itu, fokus menguruskan keluarga iaitu anak-anak dan ibu mentua diserang strok tidak pernah mengehadkan usaha Sakinah untuk memulakan kerja kemanusiaan.

“Jiwa saya meronta-ronta untuk membantu pelarian terutama kanak-kanak antara paling terjejas dalam peperangan saudara itu. Menerusi Facebook, saya berkomunikasi dengan rakan-rakan dan memulakan kutipan secara perseorangan untuk mengumpul dana yang disalurkan kepada NGO yang fokus terhadap masyarakat Syria.

“Meskipun ketika itu tiada pendapatan sendiri, kempen solo menerusi laman Facebook berjaya meraih kutipan sekitar RM10,000 hingga RM20,000.

“Saya juga aktif membawa anak menyertai ceramah, perhimpunan ke Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu cawangan di Kuala Lumpur dan menyertai kempen membantu pelarian Syria,” katanya.

Mendapat restu suami, Abd Muein Abd Rahman, 56, dan anak-anak, kata Siti Sakinah, keluarganya selain ibu bapa serta saudaranya juga sering mengambil bahagian dalam setiap kerja amal dilakukan.

“Sebenarnya saya ini mewarisi semangat atau sikap ibu, Siti Hasnah Mohd Arsyad yang tidak saja gemar membantu orang, malah kuat tekad dalam setiap pekerjaan dilakukan.

“Bayangkan, ketika saya bersekolah menengah, ibu ketika itu sedang mengandung sanggup naik turun pejabat semata-mata menguruskan pertukaran sekolah saya sehingga berjaya. Saya lihat sendiri kegigihannya ketika itu.

“Ayah pula pesara tentera, Lt Kol (B) Meor Omar Baki Abdul Latiph sentiasa mengingatkan supaya menjalankan tugas dengan integriti, amanah dan menepati lunas undang-undang,” katanya.

Selain sokongan keluarga yang tidak berbelah-bahagi, kata Sakinah, kesusahan dialami orang Syria membuatkan beliau terus tekad meneruskan kerja kebajikan terbabit.

“Berbekalkan kudrat yang ada berserta izin Ilahi dan restu suami, tidak sekali pun saya berasa susah meskipun pernah membuat keputusan ingin berhenti.

“Namun, apabila teringat keperitan dan kesengsaraan masyarakat Syria, saya tidak jadi hendak berhenti. Sejak bersama Syria Care pada 2014, saya hanya berjaya menjejak kaki ke bumi itu pada 2017.

“Itu hanyalah selepas kali kelima saya terbang dan kebetulan bertemu dengan wakil NGO Turki, Turkiye Diyanet Vakfi Ankara, kami disuruh untuk bersedia masuk ke wilayah Sawran iaitu 40 kilometer dari sempadan.

“Waktu itu saya dan tiga petugas memang berasa berdebar. Saya sempat berpesan agar mereka tinggalkan wasiat kerana saya tidak pasti dengan kunjungan kali pertama ke negara bergolak itu.

“Waktu itu yang menemani kami ialah wakil mufti Kilis. Kami tidak sempat membuat persediaan kerana perancangan awalnya kami akan terbang ke Istanbul. Tetapi tawaran itu sukar untuk kami lepaskan dan tentu sekali di sebalik rasa cemas, berbaur teruja dan terharu,” katanya.

Menceritakan kenangan tidak boleh dilupakan sepanjang empat tahun berkhidmat bersama Syria Care, kata Sakinah, ada dua momen paling tersemat kemas dalam hatinya.

“Dua peristiwa paling saya ingat ialah ketika mengunjungi khemah pelarian di Qabbasin, Al Bab pinggiran utara Aleppo di sempadan. Ia ialah kawasan kem pelarian yang dijaga kerajaan Turki.

“Bayangkan khemah yang terletak di celah-celah pokok zaitun hanya menggunakan penghadang kain dibuat sendiri pemilik rumah. Ia membuatkan saya sungguh terkesan kerana khemah itu berlantaikan tanah yang bertukar menjadi lumpur. Itulah juga lantai atau alas tidur mereka.

“Sukar untuk saya ceritakan derita penghuni kem Zamka itu yang terpaksa mengharungi keadaan demikian, bukan sebulan dua malah setiap hari tidak kurang dari tempoh dua tahun.

“Kisah kedua ialah ketika saya bersama Husein, iaitu kanak-kanak yang ditemui di Arsal Lubnan. Dia didukung bapanya dalam ribut salji hanya mengenakan dua lapis baju.

“Lebih menyedihkan tanpa mengenakan kasut dan stoking. Sewaktu saya memegang kakinya memang sejuk seperti ais. Air mata saya terus mengalir tanpa henti seperti air paip.

“Lalu saya kongsikan hal itu dalam laman Facebook dan menjadi tular. Malah sehingga pulang ke rumah inap malam itu, saya masih belum berhenti menangis memikirkan Husein.

“Esoknya saya bersama staf terus pergi ke kedai dan membeli baju tebal, baju termal, topi dan stoking. Bukan hanya untuk Husein, juga kanak-kanak yang berada di kem terbabit menumpang rezeki dia.

“Malah ada orang tua di kampung itu berkata ‘kirman Husein’ atau bermaksud ‘kerana Husein’, satu kem menumpang rezeki.

“Satu kepuasan tidak terhingga apabila dapat menyarungkan sendiri baju sejuk pada Husein. Kesimpulannya, kanak-kanak paling menderita dalam peperangan ini apabila terpaksa hidup sebegini,” katanya yang turut mengakui stafnya sentiasa menjadi tulang belakang usaha kejayaan setiap misi kemanusiaan Syria Care.

Tambah Sakinah, kerja kemanusiaan itu tidak hanya boleh dijayakan dia mahupun pihak NGO semata-mata, sebaliknya semua pihak mempunyai kemampuan membantu golongan memerlukan.

Justeru ketika ini, beliau giat muncul di sekolah sehinggalah ke universiti bagi memberi pendedahan mengenai sumbangan boleh dilakukan pelbagai pihak dalam kerja kemanusiaan.

Disiarkan pada: February 24, 2019 @ 10:15am
d