rencana

Bermula dengan modal RM600

Oleh Yusmizal Dolah Aling

BERMODALKAN hanya RM600, siapa sangka seorang budak kampung di Sabak Bernam yang pada mulanya menjadi pembantu kedai makan milik saudara sendiri kini mempunyai 24 rangkaian restoran termasuk kios dan mart di Lembah Klang.

Ketiadaan asas tukang masak seperti kebanyakan pemilik restoran lain tidak menghalang Datuk Jawahar Ali Taib Khan, yang juga pemilik Restoran Ali Maju, untuk berusaha gigih meneroka bidang perniagaan berasaskan makanan sejak 1996.

Dia yang mempunyai pengalaman berniaga kedai runcit bersama datuknya sejak kecil, berhijrah ke ibu negara pada 1993.

Kemudian dia bekerja sebagai pembantu kedai makan milik abang saudaranya di Jalan Rejang, Setapak Jaya sebelum ditawarkan menjadi pengurus di sebuah restoran di Subang Jaya.

Mengimbau kenangan itu, Jawahar Ali yang lebih dikenali sebagai Datuk Ali Maju berkata, dia mengambil masa beberapa bulan untuk mengumpul wang daripada gajinya sebagai pembantu kedai sebelum mencari pengalaman baharu bersama keluarga dengan dibantu abang saudaranya.

“Pada 1994, saya ambil keputusan membawa isteri dan dua anak ke Kuala Lumpur.

“Kebetulan ketika itu abang saudara membuka kedai makan dan saya menjadi pembantu.

“Lepas setahun saya ditawar menjadi pengurus di Subang Jaya hinggalah diberi ruang membuka restoran Ali Cafe di Putrajaya pada 1996.

“Di situ bermulalah kehidupan saya sebagai ahli perniagaan walaupun mungkin ada yang tidak tahu saya memang tidak pandai memasak atau bancuh air.

“Saya bermula dari kosong hinggalah mempunyai rangkaian restoran sampai hari ini.

“Alhamdulillah saya bersyukur dengan apa yang ada dan akan teruskan selagi hayat dikandung badan,” katanya yang turut menjadi Pengarah Syarikat Rangkaian Shah Maju Sdn Bhd, Ali Maju Mart Sdn Bhd, Ali Maju Cafe, Ali Maju Properties Sdn Bhd dan Ali Maju Kiosk di sekitar Lembah Klang.

Sejak 20 tahun lalu, dia yang menjadikan keberkatan sebagai prinsip di dalam perniagaan, menubuhkan Madrasathul Faridiyah di Setapak Jaya untuk pengajian al-Quran bagi golongan kurang berkemampuan selain mengadakan program sumbangan untuk asnaf secara tahunan.

Baginya, rezeki dikurniakan Allah SWT wajib dikongsi dengan saudara seagama yang lain kerana semua orang mempunyai bahagian masing-masing dan dia tidak terkecuali untuk membantu sebaik mungkin.

“Prinsip saya, bukan semua duit itu milik saya, ada juga milik orang susah.

“Jadi saya kena berikan melalui sumbangan, zakat dan bersedekah.

“Mudah saja, setiap satu ringgit saya beri 10 sen. Setiap RM10, saya bagi RM1. Setiap RM100 saya bagi RM10, begitulah umpamanya.

“Saya bermula dengan memberi sumbangan kepada 20 asnaf, lama kelamaan meningkat dan tahun lalu, saya berikan sumbangan kepada 1,500 asnaf dan orang miskin.

“Saya tidak sangka mampu buat begitu tapi saya percaya kepada keberkatan dalam hidup.

“Setiap hari selepas Subuh saya akan mulakan kerja harian, meninjau operasi di restoran dan bantu apa yang patut.

“Jadual saya sentiasa penuh kerana selain perniagaan, saya juga aktif dalam lebih 30 persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia. Melalui cara itu, saya dapat berkhidmat untuk masyarakat,” katanya yang juga Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

CARI SEDEKAH JARIAH

Jawahar Ali berkata, dia kini mempunyai 400 kakitangan bertugas di semua rangkaian restoran miliknya.

Mereka diberikan penekanan untuk mementingkan kebersihan dan servis berkualiti bagi memastikan pelanggan berpuas hati.

Sebagai orang yang pernah melalui jatuh bangun dalam perniagaan, dia akan turun padang melihat operasi perniagaan bukan hanya menjadi ‘mandur’ yang tahu memberi arahan semata-mata dan itu yang dipraktikkannya selama ini.

Bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, dia kini fokus kepada pembinaan maahad tahfiz empat tingkat yang dijangka siap Ramadan ini untuk memberi ruang kepada pelajar menimba ilmu agama selain menggunakan modul yang mengikut dasar pendidikan negara untuk mata pelajaran asas lain.

“Ilham untuk membina maahad ini sudah lama, sejak 2011 lagi. Saya dapat sebidang tanah di Jalan 14/26 Setapak Jaya dan mula bina maahad ini lebih setahun lalu.

“Ia akan menempatkan minimum 120 pelajar dengan lapan tenaga pengajar pengajian al-Quran.

“Saya rasakan sudah sampai masanya pendidikan tahfiz dan al-Quran diperkasakan menerusi institusi yang lebih tersusun dan merangkumi pembelajaran seperti mana akta pendidikan.

“Kelebihan pelajar ini, mereka tahu agama dan akan gunakan ilmu yang ada untuk kehidupan.

“Ada juga pelajar madrasah yang lama dulu sudah berjaya dan kembali menyumbang untuk adik-adik yang lain, Alhamdulillah.

“Bila siap nanti, akan ada bilik darjah yang selesa, bilik guru dan ruang riadah di tingkat atas sekali untuk pelajar bersukan dan sebagainya.

“Lepas belajar di sini, kalau mereka hendak sambung belajar di luar negara kita galakkan sebab yang penting mereka ada agama.

“Saya mahu mereka dapat belajar dengan selesa kerana niat asal saya bukan kerana perniagaan, tetapi tanggungjawab kepada agama,” katanya.

Beliau juga kini bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam program kebajikan seperti Foodbank JAWI dan Mesin ATM Beras untuk membantu golongan memerlukan di Wilayah Persekutuan.

Ia tercetus daripada sejarah hidupnya yang datang daripada keluarga sederhana dan belajar untuk terus berusaha mengubah diri sendiri, keluarga, rakan serta masyarakat supaya dapat melahirkan generasi akan datang yang berilmu dan budiman.

“Saya suka dengan pendekatan Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail yang berfikir di luar kotak.

“Umpamanya program baharu ini, kita panggil juga rakan-rakan bukan Islam untuk bersama-sama membantu.

“Saya juga membantu bukan kerana nama, tetapi demi Allah kerana setiap satu sen yang kita dapat, kita kena jawab di depan Allah nanti,” katanya yang menerima anugerah

Tokoh Utama Maulidur Rasul 1440 H Peringkat Wilayah Persekutuan tahun lalu.

Disiarkan pada: March 24, 2019 @ 9:20am
d