rencana

Jaguh operasi SAR

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

KETUA Seksyen Latihan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Penguasa Kanan Bomba II Abdul Manaf Che lsa, sukar melupakan tugas menangani insiden pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, Johor, baru-baru ini.

Ketika kejadian, beliau bersama 10 anggota Pasukan Khas Pengurusan Bahan Bahaya (HAZMAT) dikerah membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Menurutnya, tugas itu amat mencabar kerana mereka perlu menguruskan bahan tercemar untuk kerja-kerja pembersihan bagi memastikan pencemaran sungai dapat dipulihkan.

“Bahan kimia yang diuruskan berbahaya terhadap kesihatan, ia memerlukan petugas memakai pakaian khas selain peralatan pengesan.

“Tambahan pula, kawasan terjejas sangat luas dan bahan kimia itu merebak dengan cepat melalui udara,” katanya.

Oleh itu, katanya, pasukan terbabit sentiasa berhati-hati sepanjang operasi.

Sepanjang 25 tahun berkhidmat dengan JBPM, beliau berpengalaman dalam mengetuai beberapa operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Antaranya tanah runtuh di Hillview, bangunan runtuh di Pulau Sebang, Melaka dan tiga insiden pesawat terhempas membabitkan Pilatus, Cessna 2014 dan Dolphin.

“Saya juga menjadi penasihat insiden MH370, MH17 dan helikopter Eurocopter di Kuching, Sarawak pada 2016. Setiap insiden ini memberikan pengalaman berbeza serta masih segar dalam ingatan,” katanya.

Abdul Manaf yang bertugas sebagai Ketua Seksyen Latihan SMART sejak 2014, mengharumkan nama negara dengan mengetuai ‘My Team Relief’.

Mereka mendapat pengiktirafan antarabangsa dalam Kumpulan Penasihat dan Penyelamat Antarabangsa (INSARAG) oleh PBB pada 2016.

Mereka juga mengharumkan nama Malaysia kerana menjadi negara kedua selepas Singapura di rantau Asia yang mempunyai Pasukan Heavy USAR bertaraf dunia.

“Jika diizinkan Allah SWT, saya ingin membantu pasukan melakar lebih banyak kejayaan untuk mengharumkan nama Malaysia.

“Kejayaan saya dalam kerjaya ini atas doa ibu Saodah Yaakob, 76, yang banyak mendorong menyertai pasukan beruniform ketika berusia 19 tahun,” katanya.

Disiarkan pada: April 21, 2019 @ 6:00am
d