rencana

Bukan melukis semberono

Oleh Zaitie Satibi

ZAMAN kecilnya tidak seperti kanak-kanak lain yang bebas bermain dengan riang.

Dia banyak terlepas peluang bermain dengan rakan sekolah kerana sibuk menyiapkan lukisan untuk perhiasan atas permintaan gurunya.

Biarpun demikian, kartunis Gayour sedikit pun tidak mengeluh kerana melukis sesuatu yang diminatinya, malah masa banyak dihabiskan untuk melukis secara tidak langsung menajamkan kemahirannya.

Selain itu, Gayour atau nama sebenarnya Mazli Ibrahim, 51, juga berpeluang menggunakan perkakas melukis yang lebih baik disediakan guru yang percaya kepada bakatnya bagi menghasilkan karya terbaik.

“Masa sekolah dulu, guru dan rakan-rakan minta saya lukis macam-macam. Saya layan saja permintaan mereka kerana memang suka melukis.

“Tambahan pula guru beri banyak peralatan melukis yang lebih berkualiti seperti pen dan kertas lukisan.

“Sedikit demi sedikit kemahiran saya berkembang, malah saya sudah mula melukis komik imaginasi sendiri sekadar suka-suka.

“Saya banyak lukis mengenai siri robot, raksasa dan pendekar dalam buku latihan sekolah yang tidak digunakan.

“Saya tiada asas melukis tetapi saya belajar sendiri. Pada masa itu saya terpengaruh dengan komik tempatan yang sedang pesat berkembang.

“Tidak sangka ramai rakan berminat membaca komik yang dihasilkan sendiri sehingga buku latihan itu bertukar tangan,” katanya.

Gayour mengakui banyak berusaha sendiri untuk menjadi pelukis berikutan tidak mendapat galakan daripada keluarga.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana arwah ibu bapanya ketika itu memberi kelonggaran kepada anak-anak menentukan cita-cita masing-masing.

Sehubungan itu, Gayour bertekad untuk menjadi pelukis dan impian itu tersemat dalam hatinya hingga tidak pernah bercadang memilih kerjaya lain.

Sedar untuk mencapai impiannya bukan mudah, Gayour cuba menghantar karya ke majalah Gelihati iaitu majalah humor pada usia sekitar 15 hingga 16 tahun.

Hasilnya, kartun pertamanya diterbitkan dalam majalah berkenaan pada 1985.

Sejak itu, bapa kepada empat anak ini tidak lagi menoleh ke belakang dan terus menyumbang karyanya ke majalah berkenaan setiap bulan.

“Sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya menjadi kartunis bebas dan berkarya dari rumah di Bahau, Negeri Sembilan.

“Setiap kartun yang tersiar akan diberi bayaran antara RM30 hingga RM50, sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan diri.

“Jika ada duit lebih saya akan menghantar sendiri kartun ke pejabat Gelihati di Kuala Lumpur.

“Kadang-kadang editor akan memberi saya tugasan serta-merta membuat ilustrasi atau muka depan majalah.

“Jadi saya akan tumpang bermalam dalam studio di pejabat kerana tugasan itu perlu disiapkan segera.

“Selama empat tahun saya bekerja sambilan sebelum pihak majalah menawarkan saya menjadi kartunis sepenuh masa.

“Sepanjang tempoh menjadi kartunis bebas di majalah itu saya sudah mengumpul peminat yang sering mengikuti karya bersiri ciptaan saya mengenai seorang pemuda dengan imej rock, berambut kerinting panjang dan berseluar ketat.

“Watak pemuda bernama Slash itu dicipta pada 1987 tercetus daripada minat saya terhadap irama muzik metal.

“Penghujung 1980-an adalah tahun kebangkitan muzik metal dan saya mengambil pengaruh muzik berkenaan untuk mencipta Slash sempena nama pemain gitar kumpulan Guns N’ Roses,” katanya.

Tanpa diduga watak berkenaan disukai ramai mungkin kerana pada masa itu belum ada lagi karya kartun yang dihasilkan berasaskan elemen muzik rock.

Namun, kekuatan watak itu sendiri adalah butiran mengenai muzik berkenaan yang dibuat secara terperinci.

Gayour tidak melukis secara semberono kerana beranggapan sebagai kartunis atau pelukis ilustrasi, beliau mempunyai tanggungjawab besar untuk ‘menggambarkannya’ dengan tepat.

Dia terlebih dulu membuat penyelidikan dan rujukan mengenai sesuatu perkara yang ingin dilukisnya.

“Itu yang saya amalkan sejak mula melukis kartun. Saya banyak membeli majalah dan buku sebagai rujukan semasa berkarya berikutan melukis sesuatu yang tidak pasti.

“Namun, dalam era teknologi maklumat sekarang banyak maklumat diperoleh menerusi Internet.

“Bagi kartun berkaitan muzik rock saya banyak membeli majalah mengenai gitar bagi mendapat gambaran sebenar alat muzik bertali itu walaupun sekecil-kecil perincian.

“Pada masa sama saya juga menyalurkan pelbagai maklumat dan perkembangan semasa mengenai muzik ini.

“Mungkin pada masa itu pembaca terutama peminat muzik rock sukar mendapatkan maklumat mengenai muzik kegemaran mereka lalu menjadikan siri kartun saya sebagai rujukan.

“Secara tidak langsung saya mengumpul pengikut tersendiri,” katanya.

Bagaimanapun, jodoh Gayour bersama Gelihati tidak lama kerana selepas tiga tahun berkhidmat, dia berhijrah ke majalah Gila-Gila pada 1993.

Kurang setahun bersama Gila-Gila, Gayour kemudian bekerja bersama majalah Ujang sehingga 2003.

“Dalam majalah Ujang saya diberi peluang membuat komik bersiri dan selepas membuat kajian mengenai cerita serta watak dengan latar belakang masyarakat dan budaya kita maka lahirlah komik berjudul Bersama Selamanya.

“Komik itu yang bertahan selama tujuh tahun mengisahkan kehidupan lima sekawan, Amar, Dollah, Din Senget, Pet dan Mat Tepet termasuk watak lain seperti Lin dan watak antagonis Joe.

“Ia berlatarkan budaya pop 1990-an. Ada motosikal besar, warung burger dan muzik heavy metal.

“Sebaris dialog dalam komik itu ‘Kill! Kill! Die! Die!’ menjadi ikutan ramai anak muda pada waktu itu.

“Ia muncul dalam babak pergaduhan antara Amar dan Joe yang tidak berpuas hati selepas kalah dalam perlumbaan motor.

“Inspirasi dialog ini asalnya dari lirik lagu Creeping Death dendangan Metallica iaitu ‘Die! Die!’.

“Laungan ‘Kill! Kill!’ pula saya tambah sendiri bagi menunjukkan ketegangan dan jadilah ‘Kill! Kill! Die! Die!’. Dialog ini secara tidak dirancang menjadi tagline Bersama Selamanya.

“Bagaimanapun, banyak lagi baris dialog atau ‘punch line’ yang saya cipta mencetuskan fenomena dan masih diingati sehingga kini,” katanya.

Menurut Gayour, dia tidak menyangka Bersama Selamanya banyak memberi impak dalam kehidupan pengikutnya apabila ramai yang menjadi pemain gitar, membeli motosikal berkuasa tinggi dan menjadi ahli bina badan gara-gara terpengaruh dengan personaliti watak dalam komik itu.

“Mereka sendiri berinteraksi dengan saya dan mengakui mendapat inspirasi melalui komik itu.

“Secara peribadinya saya berbangga kerana ilmu yang disampaikan melalui kartun sampai kepada pembaca, malah melalui kartun juga saya bantu meningkatkan pengetahuan mereka.

“Mungkin pelbagai aspek digabungkan daripada adegan bina badan dan motosikal berkuasa tinggi sehingga kepada muzik yang jarang diketengahkan dalam mana-mana siri sebelum ini yang dapat menarik minat orang muda pada ketika itu,” katanya.

Gayour beralih ke penerbitan humor yang baru daripada Karangkraf iaitu G3 sehingga majalah itu ditutup pada 2013.

Ditempatkan ke unit ilustrasi syarikat penerbitan itu sebelum berhenti pada 2017.

Kini Gayour menjadi pelukis bebas, bagaimanapun karyanya boleh dinikmati menerusi majalah Bekazon.

Anak ke sembilan daripada 11 beradik ini juga kerap dijemput berkongsi ilmu menerusi sesi bicara dan bengkel asas melukis kartun kepada pelajar di sekolah, kolej dan universiti, di samping menjadi juri pertandingan bakat kartun.

Sepanjang lebih 30 tahun menjadi kartunis, antara karya dihasilkan seperti Anda Memang Seorang Peminat Rock Yang Setia, Pernahkah Anda Melakukan, Lumba Haram, Slash, Love Story, Mat Rock Cintan, Bujang Kota, Music Mania, Bersama Selamanya, Apa Yang Aku Cari dan Komik Mat Kilau.

“Apa yang sering saya kongsikan kepada pelajar adalah memberi pendedahan kepada mereka mengenai kerjaya sebagai pelukis.

“Ramai pelajar yang suka melukis tetapi mereka tiada hala tuju, jadi saya berikan pandangan berdasarkan pengalaman supaya mereka nampak jelas.

“Saya ingin sekali membantu mengembangkan bakat baru dan mahu mereka mempunyai identiti sendiri berunsurkan budaya Malaysia berikutan banyak karya kartunis sekarang didapati tidak original kerana terikut-ikut budaya luar negara,” katanya.

Disiarkan pada: June 30, 2019 @ 9:00am
d