rencana

Kejar impian jadi usahawan

Oleh Aniza Zainudin

MENGAMBIL keputusan drastik meninggalkan kerjaya kukuh dalam sektor swasta demi mengejar impian sebagai usahawan bukan perkara mudah buat Nadhir Ashafiq Zainal Abidin.

Yakin dan optimis dalam menentukan jalan hidupnya, pengasas bersama dan Pengarah Eksekutif The Lorry Online Sdn Bhd ini menyifatkan minat dan naluri hati menjurus ke arah dunia perniagaan antara motivasi paling kuat untuk memberanikan diri terus melangkah.

Pada awalnya, keputusan berkecimpung dalam bidang logistik atau lebih tepat lagi, lori sewa ini tidak mendapat tempat di hati arwah bapa yang juga ahli perniagaan.

“Saya mengerti kebimbangan seorang bapa yang mungkin tidak sampai hati melihat anaknya tewas selepas bertarung dalam dunia perniagaan.

“Ini kerana dia sudah berjaya mengusahakan perniagaan sendiri.

“Namun lama-kelamaan, arwah bapa menyedari potensi bidang ini seterusnya menjadi pendorong, penasihat dan sering berkongsi idea bersama saya.

“Malah bapa berbangga kerana saya tidak menggunakan jaringan kenalannya untuk menjayakan perniagaan ini.

“Sebenarnya idea perniagaan ini tercetus apabila menyedari industri logistik terutama lori tidak beroperasi dengan cekap, jadi kami melihat ia memerlukan suntikan teknologi dalam perkhidmatan ini.

“Menggunakan konsep lori sewa, saya akui permulaannya sukar mendapat kepercayaan dan keyakinan daripada pengusaha serta pemandu lori terhadap perkhidmatan dalam talian ini.

“Malah kami turut disalah anggap sebagai broker. Bayangkan daripada 50 pengusaha dan pemandu lori yang ditemui, hanya dua pengusaha yang berminat untuk bekerjasama.

“Situasi berbeza apabila idea perniagaan ini mendapat perhatian media dan masyarakat,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Apa yang lebih menarik, idea dua anak muda ini berjaya mendapat kepercayaan pelabur.

Seterusnya menerima suntikan dana mencecah jutaan ringgit daripada pelabur tempatan dan asing termasuk Singapura serta Jepun.

Bermula dengan tiga tenaga kerja dan dua pengusaha lori, kini Nadhir Ashafiq boleh berbangga apabila mempunyai 110 pekerja terdiri daripada rakyat tempatan serta 7,000 pengusaha dan pemandu lori di empat negara termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia serta Thailand.

Melihat teknologi sebagai jawapan, lelaki ini mengakui situasi ini bukan hanya berlaku di Malaysia, bahkan seluruh rantau Asia Tenggara.

Kejayaan perniagaan ini turut membolehkan Nadhir Ashafiq dan rakan kongsinya Chee Hau Goh tersenarai dalam majalah Forbes 30 Under 30 Asia pada 2017.

Mengembangkan sayap ke Thailand dan Indonesia sejak tahun lalu, beliau optimis laluan jauh lebih mudah kerana kejayaan di Malaysia sudah menjadi ukuran.

Berkongsi pengalaman paling agresif pernah dilakukan, beliau mengakui jiwa muda antara dorongan untuk ‘melanggar’ aturan sewajarnya.

“Kejadian itu berlaku pada 2017 apabila kami cuba mendapatkan kontrak logistik.

“Apabila tidak berjaya menerusi gaya konvensional, kami mengambil pendekatan lebih berani dan terbuka.

“Kami mencuba konsep pemasaran ‘gerila’ apabila sanggup berdiri di bawah pancaran terik matahari selama empat jam di bulatan jalan raya bersama sepanduk yang menyatakan perkhidmatan kami tawarkan.

“Alhamdulillah, usaha itu membuahkan hasil meskipun ada impak negatif atas tindakan berkenaan.

“Saya tidak nafikan setiap tindakan mempunyai impak positif atau negatif kemudian kepada kita, paling penting, kita harus bersedia menerimanya,” katanya.

Berkongsi latar belakang peribadi, anak sulung daripada enam beradik ini dibesarkan dalam keluarga tradisional Melayu yang mementingkan pendidikan.

Pernah bekerja dalam sektor swasta selama tiga tahun sebelum memilih menjadi usahawan, beliau mengakui mengikut nalurinya yang ingin mencari kelainan dan mencabar diri untuk bertarung dalam dunia perniagaan.

Disiarkan pada: July 14, 2019 @ 5:02am
d