rencana

Hadapi lelaki berparang panjang

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

HATI keras bertukar lembut apabila melihat bayi yang baru lahir.

Itu antara pengalaman tidak boleh dilupa Pembantu Penguatkuasa Majlis Perbandaran Selayang, Rahmat Abd Rahman ketika menjalankan operasi meroboh rumah setinggan di Ampang pada 1990-an.

Menurutnya, dia melihat seorang wanita bersama bayi yang baru sehari dilahirkan di dalam sebuah rumah setinggan ketika memasuki kediaman itu untuk mengeluarkan barang.

“Perasaan itu turut dirasai anggota penguat kuasa lain, malah ada anggota polis wanita menitiskan air mata melihat keadaan ibu dan bayi terbabit.

“Namun, tugas itu (merobohkan rumah setinggan) tetap dilakukan kerana kawasan itu perlu dibersihkan untuk projek pembangunan,” katanya.

Menurutnya, sebelum itu, penguat kuasa terlebih dahulu mengambil pendekatan memujuk dan memberikan penjelasan mengenai kesalahan penghuni membina rumah setinggan.

“Ketika itu, kami diarahkan untuk merobohkan rumah setinggan sepanjang kira-kira 300 meter yang dibina di tepi sungai di kawasan Ampang.

“Dahulu, rumah setinggan ibarat cendawan tumbuh selepas hujan dan mereka membinanya dalam tempoh sehari,” katanya.

Rahmat berkata, satu lagi pengalaman tidak boleh dilupakan dia nyaris menjadi mangsa amuk seorang lelaki warga emas.

Jelasnya, lelaki itu mengamuk dengan menggunakan parang panjang kerana berang rumah setinggannya dirobohkan.

“Saya tidak sangka lelaki yang berdiri di sebelah saya menyelitkan parang panjang dalam payung dibawanya.

“Lelaki terbabit mengeluarkan parang apabila penguat kuasa masuk ke rumahnya.

“Kami lari untuk menyelamatkan diri dan menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurut Rahmat, ada juga kejadian mencuit hati ketika operasi meroboh rumah setinggan dialaminya.

“Ada pemilik rumah duduk di atas bumbung bagi menghalang kediaman mereka diroboh.

“Pada masa sama, saya juga sudah lali dengan ugutan dan ancaman serta bersyukur tiada kejadian buruk menimpa setakat hari ini,” katanya.

Disiarkan pada: July 14, 2019 @ 5:06am
d