rencana

Tekad pulang sebelum usia 40

Oleh Helmy Abd Rahman

MENGEKALKAN hubungan baik dengan semua pihak termasuk keluarga, sahabat sama ada rakan sekolah atau universiti antara resipi kejayaan yang dikongsi individu berkarisma ini.

“Saya bernasib baik kerana punya ramai kawan di universiti, apatah lagi saya habiskan masa lama di menara gading sehingga peringkat sarjana.

“Tambahan pula saya aktif dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan pernah jadi Naib Presiden MPP di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sidang 1994/95.

“Rakan-rakan inilah yang banyak membantu sehingga saya mampu berbangga dengan bidang yang saya ceburi ini,” katanya.

Genap 12 tahun, dia mengambil keputusan drastik meninggalkan kerjaya sebagai jurutera demi meneruskan hasrat untuk pulang ke kampung sebelum berusia 40 tahun.

Ternyata keberaniannya mengambil risiko itu satu langkah tepat yang menjadi titik tolak buatnya berkecimpung dalam dunia perniagaan.

Kini, Wan Zain Wan Idris, 50, boleh berbangga apabila mempunyai tiga cabang perniagaan iaitu perusahaan dobi, syarikat pembinaan dan mengendalikan francais ‘kedai kopi’ Gloria Jean’s Coffees di Kuala Terengganu.

“Memang sejak dulu saya berhasrat untuk pulang ke negeri kelahiran sebelum memasuki usia 40 tahun, sebab itu pada 2007 ketika berusia 38 tahun, saya nekad berhenti kerja sebagai jurutera untuk kembali ke Terengganu.

“Saya kemudian memberanikan diri membuka kedai dobi.

“Ia juga menjadi pemangkin untuk saya ceburi perniagaan lain pula.

“Saya amat bernasib baik kerana boleh dikatakan semua kakitangan mempunyai motivasi yang baik dan disiplin tinggi,” katanya yang berbangga kerana syarikat pembinaannya pernah menerima Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia (MCIEA) 2013 bagi kategori kelas G4 yang dianjurkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB),” katanya yang berasal dari Kampung Baru, Kuala Besut itu.

Bapa kepada empat cahaya mata berusia 10 hingga 21 tahun ini yang menjadikan Tan Sri Tajudin Ramli dan Tan Sri Halim Saad sebagai idola berkata, dia juga pernah beberapa kali berdepan situasi getir sepanjang menceburi bidang itu.

Pernah katanya, dia terpaksa menjual semua perkakas dan peralatan selain kenderaan dalam perniagaan pembinaannya kerana kekurangan wang untuk membayar gaji pekerja.

“Ketika itu bukannya tiada projek, tetapi bayaran kepada syarikat saya lambat menyebabkan terpaksa mengambil keputusan jual segala kelengkapan untuk bayar gaji.

“Dalam perniagaan makanan juga saya berdepan cabaran apabila cuba memperkenalkan budaya meminum kopi di Terengganu yang masyarakatnya belum biasa.

“Tapi semua cabaran dan pengalaman inilah yang menjadi bekal dan membuatkan saya lebih matang dalam perniagaan.

“Memang susah jika difikirkan balik tapi bila dapat hasilnya, ia amat manis sekali,” katanya.

Disiarkan pada: July 21, 2019 @ 6:00am
d