rencana

10 hari bermalam di balai

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

TEGAS, suka tersenyum dan sentiasa memberi tunjuk ajar menyebabkan wanita kental ini disenangi oleh pegawai serta anggotanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba Zaini Bidin memegang prinsip berkhidmat kepada masyarakat adalah tugas yang perlu diutamakan.

Pada masa sama, dia juga tidak mengabaikan keluarga.

Dia yang berkhidmat sebagai pegawai bomba sejak 29 tahun lalu melalui banyak pengalaman pahit dan manis dalam memberi khidmat bakti kepada masyarakat.

Zaini yang diberi tanggungjawab sebagai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu sejak enam tahun lalu berkata, pengalaman yang tidak dapat dilupakan ketika bertugas ialah membantu mangsa banjir besar pada Disember 2014.

“Pada masa itu, rumah saya di Kampung Tiong di sini, turut dinaiki air menyebabkan semua barangan termasuk perabot dan peralatan elektrik rosak.

“Namun, saya tidak pulang ke rumah tetapi mengambil keputusan bermalam di balai bomba bagi memudahkan saya membantu masyarakat yang terperangkap dalam banjir dalam tempoh 24 jam.

“Ketika itu, saya tinggal di balai bomba selama 10 hari dan hanya mengetahui rumah ditenggelami banjir melalui aplikasi WhatsApp dan panggilan daripada jiran,” katanya.

Menurut Zaini, walaupun rumah sendiri ditenggelami air, dia tetap bersemangat memberi khidmat kepada masyarakat.

Katanya, sebagai pegawai bomba, beliau perlu sentiasa bersedia untuk menjalankan amanah kepada masyarakat.

“Walaupun pada waktu malam, saya akan turun ke lapangan terutama untuk memadam kebakaran. Saya akan mengetuai operasi pemadaman sehingga ia selesai.

“Alhamdulillah, saya dikelilingi pegawai dan anggota yang sentiasa komited dengan tugas dan kerjasama ini menjadikan pasukan kami mudah melakukan tugasan terutama memadam kebakaran,” katanya.

Zaini turut bersyukur kerana suaminya, Badri Yunus, 55, dan anak, Nur Azrin Afiqah Badri, 25, sangat memahami tugasnya.

Katanya, dari awal dia sudah menerangkan tugasan sebagai pegawai bomba kepada keluarga seperti perlu sentiasa bersedia dalam tempoh 24 jam walaupun ketika bercuti.

“Suami dan anak sangat memahami malah mereka tidak pernah merungut walaupun saya tidak mempunyai banyak masa buat mereka.

“Syukur kerana suami yang bekerja sendiri banyak berkorban menjaga anak tunggal kami.

“Demi tugas juga, saya tinggal di Kota Bharu sejak lapan tahun lalu manakala suami berada di Temerloh, Pahang,” katanya.

Menurut Zaini, sebelum itu, beliau bertugas di Terengganu selama lima tahun dan hidup berjauhan dengan anak serta suami selama 13 tahun.

“Sebagai wanita yang menjadi ketua dan mempunyai 100 anggota serta pegawai membabitkan 95 lelaki dan lima wanita, saya mahu memberi khidmat yang terbaik buat mereka serta masyarakat.

“Pada masa sama, saya harap lebih ramai wanita menceburi kerjaya ini dan turut diberi peluang menjadi ketua,” katanya.

Disiarkan pada: August 18, 2019 @ 7:01am
d