rencana

Dilarikan pemandu bas mini

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

NORAINI Mohd Nawi satu-satunya pegawai wanita beruniform yang memegang jawatan tinggi di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Kini bertugas sebagai Ketua Pejabat JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Cawangan Bandar Sri Permaisuri, Cheras.

Kejayaan dikecapinya bukan datang bergolek kerana dia memulakan kerjaya di jabatan itu pada 1993 sebagai pembantu penguat kuasa.

Dia kemudian melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Komunikasi di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan ijazah sarjana dalam bidang sama di universiti itu.

Banyak pengalaman dilaluinya sepanjang berkhidmat di jabatan berkenaan dan pernah bertugas di beberapa negeri termasuk di Ibu Pejabat JPJ, Putrajaya.

Antara pengalaman yang sukar dilupakan adalah dilarikan pemandu bas mini selama 40 minit.

“Ia berlaku ketika kami menjalankan operasi penguatkuasaan secara rondaan di kawasan Petaling Jaya New Town pada 1995.

“Ketika itu, saya pembantu penguat kuasa. Ketua operasi mengarahkan saya mengambil maklumat penumpang di dalam bas.

“Ketua operasi dan anggota JPJ lain pula melakukan pemeriksaan di luar kenderaan,” katanya.

Menurutnya, tiba-tiba pemandu bas warga Indonesia terus memandu kenderaan berkenaan dan melarikannya.

“Saya ketakutan kerana hanya berdua bersama pemandu di dalam bas dan membayangkan kemungkinan perkara buruk yang boleh terjadi.

“Walaupun ketakutan, saya memberanikan diri memarahi pemandu bas terbabit ekoran tindakannya menghalang kakitangan awam menjalankan tugas.

“Saya mengarahkannya kembali ke tempat operasi dan menunggu rakan setugas lain mencari saya sebelum menahan pemandu itu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, Noraini menasihati anggota dan pegawai JPJ yang masih baharu supaya sentiasa menjalankan tugas dengan penuh integriti serta mengikut peraturan.

Katanya, mereka juga perlu mengambil peluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi bagi menambah ilmu pengetahuan dan memperbaiki kerjaya di masa hadapan.

Disiarkan pada: August 25, 2019 @ 5:10am
d