rencana

Guna muzik julang ASWARA

Oleh Zaitie Satibi

PEMBABITAN Profesor Madya Sahar Sa’di Hashim dalam bidang seni bukan sesuatu yang di luar jangkaan. Ini kerana sejak kecil lagi dia diberikan pendedahan mengenai muzik oleh keluarganya.

Arwah bapanya mahir memetik gitar dan mencipta lagu tetapi sekadar suka-suka buat menghiburkan diri sendiri dan anak-anak pada waktu senggang. Namun, minatnya terhadap muzik secara serius bermula daripada bapa saudara yang juga konduktor pancaragam tentera.

Menerusi bapa saudaranya itu, Sahar Sa’di, 51, dan dua abangnya diperkenalkan kepada muzik dengan lebih mendalam. Mereka diajar mengenai susunan dan nota muzik termasuk bermain alat muzik.

“Melihatkan kesungguhan kami mempelajari muzik, bapa membina studio untuk kami bermain muzik di rumah. Satu bilik kecil di bahagian dapur dilengkapkan dengan beberapa peralatan muzik seperti keyboard, bass, gitar, dram dan trumpet.

“Kami diberi kelonggaran memilih bidang diminati asalkan ia mesti dalam pengetahuan bapa. Tambah lagi, bapa juga tidak mahu kami bebas bergaul dan sebab itu dia buatkan studio supaya masa kami lebih banyak berada di rumah,” katanya.

Ternyata percaturan arwah bapa mereka tidak sia-sia apabila dua abang Sahar Sa’di berjaya dalam bidang muzik. Abang sulungnya, Alidin adalah pemuzik bersama kumpulan The Brain Connection yang popular sekitar 1980-an, manakala abang keduanya, Profesor Dr Mohd Nasir adalah dekan di Pusat Kebudayaan Universiti Malaya (UM).

Minat Sahar Sa’di dalam muzik semakin berkembang sebaik memasuki sekolah menengah. Selain menyertai pasukan pancaragam sekolah, dia juga menyertai banyak pertandingan nyanyian dan persembahan alat muzik antara sekolah.

Ini kerana, dia suka mencabar diri bagi melihat sejauh mana kemampuannya dalam bidang muzik. Dia juga tidak mengharapkan kemenangan berpihak padanya dalam setiap pertandingan disertai kerana yang penting baginya adalah pengalaman.

“Saya tidak kesah tewas, biarpun ia perit. Namun, banyak perkara baharu saya belajar dalam semua pertandingan berkenaan. Saya belajar erti kesabaran, malah dapat ramai rakan baharu dalam dunia seni.

“Malah, saya juga berpegang pada pesanan bapa bahawa semua perkara di dunia ini adalah milik Allah dan sebagai hamba-Nya, kita tidak punyai apa-apa.

“Oleh itu, kita wajar bersyukur dengan setiap nikmat yang diberi walaupun kecil,” katanya yang pernah bergelar Juara Solo Instrumental Trumpet Antara Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Negeri Terengganu 1983.

Syarat main muzik

Sahar Sa’di kemudian melanjutkan pelajaran dalam bidang Perakaunan di Institut Perdagangan Mara Kuala Lumpur dan sempat bekerja di Bank Pembangunan Malaysia sebaik tamat pengajian. Namun, minat yang kuat dalam muzik mendorong beliau menyambung pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan Seni Muzik.

“Saya bersyukur kerana bapa masih menyokong minat saya walaupun sudah mendapat pekerjaan yang baik. Biarpun bapa memberi kebebasan untuk memilih kerjaya, dia menetapkan syarat supaya saya jaga solat.

“Sepanjang di UiTM, saya lebih banyak terdedah kepada pelbagai jenis muzik termasuk tahap tinggi seperti orkestra, malah saya juga mula membuat persembahan dan menubuhkan band muzik dengan enam anggota.

“Band kami memasuki banyak pertandingan dan memenangi sebahagiannya seperti tempat kedua Pertandingan Yamaha Band Explosion Peringkat Kebangsaan pada 1990, bergelar juara dan menerima anugerah pemain dram terbaik dalam Pertandingan Battle of The Band Shah Alam (1991).

“Namun, kenangan paling manis apabila band muzik kami mewakili negara ke Pertandingan Bintang Muda Peringkat Antarabangsa 1992 di Taiwan dan muncul juara. Lebih manis apabila pertandingan yang mempertaruhkan muzik fusion lagu Ulik Mayang yang disusun semula itu juga kemenangan kali pertama buat Malaysia,” katanya.

Sahar Sa’di terus mengasah bakatnya dalam bidang muzik apabila mula mencipta dan menggubah lagu untuk kolej dan universiti serta istiadat konvokesyen. Dia juga menyertai pertandingan mencipta lagu dan muncul juara Pertandingan Mencipta Lagu Ma’al Hijrah 1994 selain tiga kali juara mingguan rancangan Komposer terbitan TV3 pada 1997.

Selain itu, anak kelima daripada 10 beradik ini juga menjadi pemuzik iringan profesional dalam persembahan penyanyi terkemuka seperti Erra Fazira, Fauziah Latif, Rahim Maarof, Liza Aziz atau Tan Sri SM Salim. Dia juga menjadi komposer dan menulis lirik lagu Dingin dan Teman dendangan penyanyi Alina Hassan.

Malah dia juga terbabit dalam kerja rakaman untuk penerbitan album artis seperti Iklim, Azreen, Rahim Maarof, Umarul, M. Nasir, Alina Hassan, Puteri Sinaran 2 dan Senario. Turut aktif terbabit dalam program televisyen seperti Sekapur Sireh (TV3), Senada Seirama Antara Malaysia & Indonesia (RTM), Hiburan Minggu Ini (RTM), Hello Malaysia (RTM) dan Komposer (TV3).

Dalam kesibukan, Sahar Sa’di sempat melanjutkan pengajian ijazah sarjana dalam bidang Etnomuzikologi di Middlesex University, London. Etnomuzikologi adalah pendekatan paling utama diguna oleh ahli antropologi budaya untuk membuat kajian dalam bidang muzik bagi sesuatu etnik atau bangsa.

Berbakti melalui seni

Kerjayanya berkembang apabila dia yang bermula sebagai jurulatih kokurikulum di Unit Kebudayaan UiTM mendaki satu demi satu anak tangga sehingga bergelar Ketua Unit Komunikasi universiti berkenaan. Dia kemudian ditawarkan jawatan tutor di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan selama 10 tahun, berkhidmat dengan jawatan terakhir sebagai Timbalan Dekan (Pembangunan dan Inovasi).

Pernah menganggotai Orkestra RTM sebagai pemuzik, kepakarannya tidak mampu dinafikan dan Sahar Sa’di kemudian ditawarkan jawatan Timbalan Pengarah Pusat Seni dan Warisan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) selama setahun pada 2008 sebelum dinaikkan ke Pengarah sehingga sekarang.

Ketika berkhidmat di UniSZA, Sahar Saidi dinaikkan pangkat ke jawatan Profesor Madya di Fakulti Sains Gunaan pada 2015 sehingga sekarang. Malah, ketika berkhidmat di tanah kelahirannya itu, dia dipertanggungjawabkan untuk menubuhkan Akademi Seni Terengganu (ASENI) bawah naungan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (SUKTRA).

Punya pengalaman selama 25 tahun dalam pelbagai bidang berasaskan pendidikan dan kesenian ini membolehkan Sahar Sa’di dilantik menjadi Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi mulai April lalu.

Kelayakan, pengetahuan dan pengalaman yang dimiliki oleh Sahar Sa’di diyakini dapat membantunya menjalankan tanggungjawab dengan berkesan dan mampu meneruskan kecemerlangan ASWARA sebagai institusi pengajian tinggi yang berasaskan kesenian, kebudayaan dan warisan yang terbaik di dalam dan luar negara.

Malah, pada usia 25 tahun penubuhan ASWARA tahun ini, dia bertekad membawa akademi seni itu terbang lebih tinggi dan inisiatif untuk melangkah lebih jauh dibuktikan menerusi program seperti Edutainment, Edutourism, Genius Kids dan Summer Camp serta Alumni Allstars yang memberi pendedahan termasuk perkongsian keilmuan.

“Saya bersyukur atas pelantikan ini dan menganggap ia sebagai kerja mulia untuk negara bagi memartabatkan warisan seni bangsa dan pada masa sama, terus menyemarak jati diri rakyat Malaysia.

“Selain itu, sudah tiba masanya akademi ini menjadi peneraju pendidikan tinggi secara formal dan sistematik dalam bidang kesenian, kebudayaan dan warisan sama ada dalam negara mahu pun pada peringkat dunia. Saya mahu ASWARA menjadi pusat rujukan mana-mana pihak untuk seni budaya kita.

“Saya juga percaya bahawa ASWARA mampu menjadi contoh dalam pembangunan dan perkembangan seni budaya, sekali gus memperkukuhkan kedudukannya sebagai institusi pendidikan tinggi seni negara. Banyak peluang yang boleh diteroka bersama ASWARA kerana kami berazam menjadikannya bukan hanya pusat akademik, bahkan destinasi tumpuan pelancong,” katanya.

Fokus ASWARA tidak hanya berpaksikan seni dan hiburan semata-mata. Sebaliknya, akademi itu juga menganjurkan program sosial dan Islamik seperti menziarahi masjid dan insan kurang berkemampuan.

Antara yang dilakukan, tenaga pengajar ASWARA turun padang ke sekolah dan agensi kerajaan di Balik Pulau, Pulau Pinang, untuk memperkenalkan tarian makyong, selain ke Lahad Datu, Sabah bagi mengajar tarian zapin secara percuma.

“Saya mahu menyuntik semangat kerja berpasukan dalam kalangan warga ASWARA kerana percaya dengan seni, kita boleh bersatu. Malah, saya menganggap pelajar sebagai anak-anak dan sering mendampingi mereka untuk ambil tahu masalah dan menasihatkan perkara kebaikan,” katanya.

Disiarkan pada: October 6, 2019 @ 6:00am
d