rencana

'Lelaki Emas' pahlawan Saka

Oleh Aniza Zainudin

PERHIASAN emas lebih daripada 4,000 keping pelbagai saiz dan motif memenuhi kostum pahlawan etnik Saka memberi gambaran ‘Lelaki Emas’ itu memiliki status sosial tinggi dalam masyarakat nomad di Great Steppe, pada dulu kala.

Etnik Saka, Sak atau Sacae adalah golongan nomad yang mempunyai lapisan sosial elit apabila melakukan interaksi secara aktif dengan bandar purba di kawasan Great Steppe.

Great Steppe juga dikenali sebagai Steppe Eurasia kawasan padang rumput yang terbentang luas merangkumi Bulgaria, Romania dan Moldova menerusi Ukraine, Russia, Kazakhstan, Xinjiang dan Mongolia hingga ke Manchuria.

Penemuan ‘Lelaki Emas’ di bukit perkuburan (kurgan) di Issyk, Kazakhstan oleh ahli arkeologi terkenal, Prof Kimal A Akishev pada 1969 membuktikan perkembangan sejarah dan ketamadunan masyarakat terdahulu.

Rangka Lelaki Emas yang memiliki ketinggian kira-kira 165 sentimeter itu dikebumikan dengan persalinan yang sempurna malah gah.

Popular dengan gelaran ‘Altyn Adam’ (dalam bahasa Kazakh), lelaki ini dipercayai berusia antara 17 hingga 18 tahun ketika kematiannya diangkat sebagai pahlawan etnik Saka hebat sepanjang hayatnya.

Ini kerana Lelaki Emas dikebumikan dengan persalinan kulit berwarna merah dihiasi sepenuhnya dengan kepingan emas pelbagai motif dari kepala hingga hujung kaki.

Malah pahlawan Saka itu disemadikan lengkap dengan senjata seperti pisau belati dan pedang.

Di bahagian kepala rangka manusia itu dipakaikan topi tinggi berbentuk kon dan dihiasi dengan aksesori emas bermotifkan anak panah serta kuda.

Anak panah dan kuda terbang yang bertanduk unik menjadi simbolik kepahlawanan yang sinonim sebagai elemen penting ketika berperang.

Selain itu, motif haiwan lain turut digunakan termasuk harimau bintang, kuda, biri-biri dan burung.

Digayakan bersama gegelung rantai leher, perhiasan lain merangkumi tali pinggang yang dihiasi dengan motif kepala rusa dan ekor kuda.

Manakala butnya dipenuhi dengan kepingan emas berbentuk segi tiga.

Menurut pengkaji, berdasarkan artifak pakaian serta saiz bukit perkuburan Lelaki Emas menunjukkan dia berasal daripada keluarga bangsawan dan elit.

Artifak kostum Lelaki Emas ini boleh disaksikan dalam pameran ‘Great Steppe: Sejarah dan Budaya - Perarakan Lelaki Emas ke Muzium Dunia’ anjuran bersama Muzium Negara Kazakhstan dan Muzium Negara bertujuan mempromosikan pertukaran budaya antara dua negara serta memperkukuhkan lagi hubungan diplomatik yang terjalin sejak 1992.

Di sebalik kemegahan penemuan Lelaki Emas, ia turut mendedahkan teknologi, pembangunan serta ketamadunan dimiliki etnik Saka dalam pembuatan emas, perak, gangsa serta logam lain.

Menggunakan pelbagai teknik cetakan hingga ukiran, barang perhiasan dihasilkan dengan sempurna malah diberi sentuhan bersama kayu, kulit, fabrik dan pelbagai sumber logam lain.

Selain kostum pahlawan kuno ini, pengunjung juga berpeluang menyaksikan 177 koleksi artifak lain terdiri daripada karya seni perhiasan sejak abad ke-15.

Pameran ini turut memaparkan busana dan barangan tradisional wanita mulia kumpulan nomad Sarmatian yang ditemui di barat Kazakhstan pada April 2012.

Lebih 500 serpihan pelbagai barangan emas ditemui di tapak pengebumian yang mempamerkan ciri-ciri gaya haiwan Scythian-Siberia.

Kaunselor Kedutaan Republik Kazakhstan, Dr Serik Amirov berkata, pameran yang berlangsung hingga 31 Oktober ini bertujuan memperkenalkan kebudayaan masyarakat kuno yang menjadi teras kehidupan masyarakat di kawasan Great Steppe terutama Kazakhstan.

Jelasnya, teknologi penghasilan barangan diperbuat daripada sumber emas dan perak dalam kalangan masyarakat kuno di laluan Great Steppe menjadi bukti yang menafikan kehidupan orang gasar.

“Berdasarkan penemuan dan artifak ditemui ahli arkeologi berhampiran daerah Issyk (Yesik) di laluan padang rumput Great Steppe membuktikan ketamadunan nenek moyang.

“Laluan bersejarah ini merangkumi tradisi dan asas kehidupan masyarakat Kazakhstan moden hari ini.

“Keunikan tamadun padang rumput ini sering dikaitkan dengan kedudukan Kazakhstan yang terletak di tengah-tengah Eurasia.

“Di Great Steppe, masyarakat nomad memulakan kehidupan yang sememangnya berkait rapat dengan elemen semula jadi terutama kuda liar yang menjadi pengangkutan serta sumber makanan sebelum bermulanya pembentukan ruang sosial budaya,” katanya ketika ditemui di Muzium Negara.

Malaysia menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang menganjurkan pameran ini, beliau berharap ini dapat menyebar luas mengenai kehebatan tamadun kuno Kazakhstan yang jarang sekali dipertontonkan.

Pameran ini pernah menjelajah di 10 bandar seluruh dunia termasuk Minsk (Belarus), Moscow dan Kazan (Russia), Baku (Azerbaijan), Xi’an (China), Gdansk (Poland), Seoul (Korea Selatan), Tashkent (Uzbekistan), Skopje (Macedonia Utara) dan Ankara (Turki).

Disiarkan pada: October 13, 2019 @ 6:10am
d