rencana

Mesti tahan cabaran, ugutan

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

UGUTAN sebagai amaran supaya menghentikan tindakan penguatkuasaan atau pendakwaan adalah cabaran yang dilalui hampir setiap penguat kuasa.

Tidak terkecuali Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Aswadi Jaafar apabila kediamannya dibaling bom petrol pada 2006.

Menurutnya, ketika itu dia bertugas di Johor Bahru, Johor dan percaya kejadian berkenaan ada kaitan dengan rampasan video cakera padat (VCD) cetak rompak dalam operasi penguatkuasaan diketuainya.

“Dalam operasi itu, saya menahan sebuah van di Kempas, Johor Bahru dan menyita banyak VCD.

“Ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas operasi, sebuah kereta mengekori kenderaan saya,” katanya.

Menurut beliau, dia tidak sangka penjenayah terbabit mengambil langkah lebih berani dengan membaling bom petrol di rumahnya jam 3 pagi.

“Syukur kerana api bom petrol itu terpadam apabila melantun daripada kereta ke dinding rumah.

“Tidak dinafikan, saya berasa bimbang dengan kejadian itu. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana rumah tidak terbakar,” katanya.

Menurutnya, satu lagi pengalaman tidak boleh dilupakan ialah apabila kenderaan penguat kuasa dinaikinya bersama tiga anggota lain ditahan tiga kereta ketika mengiringi sebuah lori yang membawa muatan diesel bersubsidi diseleweng dari kawasan nelayan Endau, Mersing.

“Kami dalam perjalanan membawa lori yang disita ke pejabat KPDNHEP cawangan Mersing.

“Kami kemudiannya dihalang tiga kereta yang dinaiki beberapa individu. Kami ditahan selama setengah jam dan mereka mendesak supaya kami melepaskan dan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap lori berkenaan.

“Suasana agak tegang kerana saya enggan memenuhi permintaan mereka, pada masa sama, saya juga bimbangkan keselamatan tiga anggota tadi, termasuk seorang wanita.

“Dalam situasi seperti itu, saya perlu bertenang dan memberikan penjelasan mengenai kesalahan yang mereka lakukan sementara menunggu bantuan daripada polis.

“Akhirnya mereka akur dengan tindakan yang kami ambil,” katanya.

Di sebalik cabaran itu, Aswadi berkata, ada juga kenangan manis sepanjang 14 tahun bertugas seperti memenangi kes perbicaraan di mahkamah berkaitan kes Akta Hak Cipta 1987 pada 2009.

Dia dianugerahi sijil pencapaian cemerlang sebagai pegawai pendakwa kes terbabit.

“Pesalah menjual VCD cetak rompak itu dijatuhi hukuman denda RM50,000 atau penjara 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen di Johor Bahru.

“Di Johor Bahru, selain mengetuai Unit Perlindungan Harta Intelek, saya juga membuat pendakwaan mahkamah bagi kesalahan bawah Akta Hak Cipta,” katanya.

Tambahnya, selain berintegriti, berdisiplin dan tahan cabaran, mereka yang meminati kerjaya itu perlu rajin belajar untuk menambah pengetahuan.

“Persekitaran kerjaya ini semakin berubah kerana ketika ini, kami perlu menangani banyak kes mencabar seperti gores dan menang, isu harga barangan serta tipu timbang.

“Masalah ini lebih dekat kepada pengguna dan menuntut kami memikul tanggungjawab dengan sebaik-baiknya demi kepentingan pengguna,” katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2019 @ 6:00am
d