rencana

Terbuang dari tanah air

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

PERNAH atau tidak kita terfikir bagaimana perasaannya hidup sebagai seorang pelarian?

Jika soalan itu diajukan, pastinya tidak seorang pun daripada kita mengimpikan untuk hidup sebagai pelarian.

Malah, tentunya mengharapkan kedamaian dan ketenteraman yang dikecapi kini berkekalan sehingga ke akhir hayat.

Begitulah juga harapan setiap daripada pelarian Syria yang kini terpaksa menjadi pelarian di negara jiran.

Membuat keputusan melarikan diri daripada negara tumpah darah sendiri bukan sesuatu yang mudah namun demi menyelamatkan nyawa serta mengelakkan diri dan keluarga daripada diancam dan ditekan daripada pelbagai sudut, rata-ratanya terpaksa mengambil keputusan yang sukar ini.

Maka tidak hairanlah jumlah pelarian Syria ke negara jiran kini mencecah lima juta orang.

Menurut laporan rasmi Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), sehingga kini terdapat empat negara yang menjadi tumpuan pelarian untuk mendapatkan perlindungan.

Antara negara yang menerima pelarian Syria ialah Turki, Lubnan, Jordan dan Mesir. Angka terkini yang dikeluarkan UNHCR itu menunjukkan Turki antara negara yang paling ramai menerima pelarian yang setakat ini berjumlah 1,772,535 orang, manakala Lubnan mempunyai seramai 1,174,690 pelarian diikuti Jordan 629,128 dan Mesir seramai 132,375 pelarian.

Saya yang diberi peluang untuk melihat sendiri penempatan dan kem pelarian Syria di tiga daerah sekitar Lubnan selama 15 hari menerusi agihan bantuan musim sejuk Aman Palestin pada 12 Januari lalu dapat melihat sendiri kesempitan yang dialami mereka.

Berada di dalam khemah yang sempit dan tidak mempunyai sumber untuk mencari pendapatan menyukarkan mereka untuk meneruskan kehidupan.

Malah ada antara mereka menyalahkan takdir dengan apa yang berlaku terhadap mereka sekeluarga sehingga memberontak dan tidak lagi percaya kewujudan Tuhan.

Seorang pelarian yang saya temui berkata: “Kalau Tuhan sayang saya mengapa keluarga saya diuji, kenapa tidak orang lain?” Dia seolah-olah tidak menerima ujian yang diberikan terhadapnya.

Ramai antara pelarian yang kecewa dengan hidup mereka. Kanak-kanak kebanyakannya trauma dan tidak mahu bertemu dengan orang luar seperti saya.

Sebenarnya bukan saja bantuan berupa barangan yang diimpikan, malah sokongan moral adalah amat diperlukan mereka.

Pengarah Eksekutif Union of Relief and Development Association (URDA) Jihan Kaisi berkata, kebanyakan pelarian di semua kem seluruh Lubnan hanya menghabiskan masa di khemah yang disediakan.

“Mereka ini trauma, tidak boleh bekerja dan sentiasa berada dalam keadaan tertekan.

“Setiap tindakan mereka sebenarnya tidak menggambarkan siapa diri mereka. Mereka perukan sokongan moral dari seluruh dunia,” katanya.

Jika kita tidak mampu memberi bantuan, berilah sokongan moral kepada mereka untuk mereka meneruskan kehidupan di masa akan datang.

Penulis Wartawan Harian Metro

Disiarkan pada: February 13, 2020 @ 6:01am
d