rencana

Dia wira tak didendang

Oleh Syafil Syazwan Jefri

MINGGU lalu, berita pemergian Allahyarham Abam Bocey mengejutkan seluruh industri hiburan tanah air.

Bukan saja meninggalkan kesan buat insan yang pernah beraksi bersamanya di pentas industri seni, bahkan peminat yang sentiasa menantikan hiburan daripadanya.

Selepas pemergian Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan, pelbagai cerita di sebalik nama figura itu mula diperkatakan.

Kisah kebaikannya menjadi bualan, meniti di setiap bibir dan jari jemari yang menulis. Tidak hanya di media massa, bahkan turut diperkatakan di pelbagai platform media sosial.

Itulah yang dikatakan lumrah dunia. Ketika insan itu masih bernafas, ramai yang mengenalinya hanya sebagai seorang penghibur dan tak lebih daripada itu.

Bukan hanya Abam, bahkan ramai lagi pelawak lain yang sudah pergi meninggalkan kita semua.

Jika kita lihat ke beberapa tahun lalu, pemergian Allahyarham Pak Yus Jambu atau nama sebenarnya Yussry Edoo pada November 2015 juga mencuri perhatian ramai.

Selepas kematiannya, rata-rata berkongsi mengenai kebaikan dan kerja amal yang pernah dilakukannya semasa hayat. Itu sedikit sebanyak menimbulkan sedikit kekesalan sesetengah pihak di atas pemergiannya.

Sejujurnya, mereka ini umpama ‘unsung heroes’ atau wira yang tidak didendang. Hiburan, komedi, jenaka dan gelak tawa yang mereka persembahkan menjadi pengisi malam serta pengubat hati.

Mereka ini kebanyakannya tidak perlu mencanang-canang kebaikan yang dilakukan di media sosial. Namun, selepas pemergian mereka, masyarakat sendiri yang akan dapat melihat bukti kebaikan yang mereka pernah lakukan.

Sikap baik dan terpuji itu tak perlu ditayangkan kerana akan menimbulkan riyak. Bagi mereka ini, walaupun nampak low profile tapi sebenarnya banyak yang mereka sudah curahkan buat masyarakat.

Di saat segelintir selebriti lain galak memuat naik foto dan video melakukan kerja amal dan kebaikan, mereka ini lebih suka untuk memberi dan menyembunyikan tangan kanan mereka daripada mata masyarakat.

Biarlah yang mereka beri, sedekah, derma atau bantu itu hanya antara mereka, orang yang menerima dan Tuhan.

Di kaca TV dan pentas persembahan, kita hanya melihat gelagat mereka yang berjaya mencuit hati penonton. Di balik layar pentas, siapa tahu kalau mereka adalah seniman yang menangis.

Berbanding penyanyi dan pelakon, kemunculan pelawak baru yang melapisi generasi terdahulu mungkin tidak terlalu pesat.

Jika kita lihat di pentas pertandingan seperti Maharaja Lawak Mega, rata-rata majoriti peserta adalah dalam kalangan pelawak yang sudah dikenali dan kukuh nama mereka.

Untuk terus mengekalkan nama dan nilai relevan mereka di dalam industri yang semakin hari semakin mencabar, mereka ini juga sentiasa berkembang dan tak hanya fokus kepada komedi semata-mata.

Ada yang mencuba nasib dalam bidang pengacaraan, penyampaian radio, lakonan bahkan ada juga yang menjadi penyanyi.

Bahkan ada juga dalam kalangan pelawak yang berasakan label sebagai pelawak itu sentiasa dipandang enteng sesetengah pihak dan dibanding-bandingkan kedudukan mereka dengan penggiat cabang seni yang lain.

Bukanlah tempat penulis di sini untuk meminta pihak tertentu menganjurkan acara anugerah khas untuk mereka mahupun untuk menganugerahkan gelaran tertinggi, tetapi cukuplah sekiranya pejuang komedi ini diberikan ruang lebih banyak lagi untuk beraksi.

Apabila dilontarkan sedikit idea yang mungkin menyentuh sensitiviti, mereka digam sehingga punca rezeki umpama terhenti buat seketika.

Sedikit sebanyak, walaupun hanya berlaku kepada satu orang, seluruh keluarga pelawak akan terasa.

Biarlah individu ini dihargai walau sedikit sekali pun kerana selepas mereka pergi, apa juga penghargaan yang diberikan sudah tidak ada gunanya lagi.

Yang pasti, komedi akan terus menjadi satu cabang yang diterima oleh masyarakat sepanjang zaman kerana setiap orang, perlukan sesuatu untuk dijadikan bahan escapism atau jalan keluar daripada realiti kehidupan sebenar.

>>Penulis wartawan hiburan Harian Metro

Disiarkan pada: February 19, 2020 @ 1:03pm
d