rencana

Pergerakan terhad situasi biasa

Oleh minda

SAYA teringat pada 2014, saya berada di Gaza dalam suasana perang selama 51 hari. Suasananya seperti yang dilalui dunia ketika ini. Jalan lengang, kedai ditutup dan tidak ada pergerakan.

Ketika itu, tidak ada kawalan pergerakan kerana deruman pesawat perang Zionis, letupan bom dan roket selain bedilan mortar serta kereta kebal sudah cukup untuk memaksa penduduk mencari tempat berlindung.

Disebabkan itulah, berdepan dengan kesusahan dan kesempitan bukan perkara baharu buat penduduk Gaza. Kekurangan makanan, dihadkan pergerakan dan tiada ubat-ubatan dirasai sejak 2007.

Bezanya ketika itu, di tengah-tengah perang, masjid tidak ditutup. Dalam bedilan mortar dan bunyi tembakan, masjid pada waktu Subuh masih dipenuhi, masih ramai yang beriktikaf membaca al-Quran serta bermunajat.

Hari ini, berdepan tentera yang tidak dapat dilihat, masjid di seluruh Palestin termasuk di Gaza dan Masjid Al Aqsa terpaksa ditutup dan dikosongkan. Penangannya kalau tidak kepada kehidupan am, cukup memberi kesan kepada iman.

Bayangkan kalau Allah SWT menyebutkan di dalam al-Quran bahawa yang mengimarahkan masjid-Nya ialah mereka yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat, hari ini secara ‘paksa’, masjid berkenaan tidak diizinkan untuk diimarahkan.

Apakah hikmah yang ada sehingga Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjid Al Aqsa kosong dan lengang daripada pengabdian?

Hari ini jumlah kes yang terdapat di Gaza mencecah sembilan orang. Walaupun jumlahnya sangat kecil dibandingkan kawasan lain, kemampuan Gaza untuk berdepan wabak Covid-19 jika mencanak dan merebak juga sangat kecil.

Dalam keadaan biasa pun, hanya separuh keperluan perubatan penduduk daripada ubat-ubatan, kemudahan hospital dan kecemasan dapat disediakan, inikan pula kalau ratusan penduduk sakit secara tiba-tiba!

Bagaimanapun, penduduk tidak akan tunduk, malah dengan 1,001 kelemahan, ketika inilah tonggak dan tiang yang dengannya bumi bertuah ini kekal berdiri, bertambah kukuh.

Pemilik hotel menyerahkan hotel mereka kepada Kementerian Kesihatan untuk dijadikan pusat isolasi. Badan bukan kerajaan (NGO) bekerjasama memastikan stok makanan dan keperluan kesihatan serta pakaian tidak putus. Masing-masing cuba memainkan peranan sekadar yang boleh.

Masalahnya hanya satu. Penduduk tidak mempunyai kesedaran berdepan wabak ini. Biasanya kalau sakit, dalam keadaan terkepung, mereka hanya bertawakal. Tidak dibenarkan keluar mendapatkan rawatan di luar Gaza, mereka tawakal. Tidak ada duit untuk membeli ubatan, juga mereka tawakal.

Tawakal tanpa usaha menjauhkan bala juga tidak betul. Sebab itu, antara pengalaman paling hitam pernah saya lalui di Gaza, ketika perang 2014 itu, berlaku dengan sebab bertindak tanpa berfikir.

Ketika itu, satu letupan berlaku berdekatan Masjid Umari tempat kami membuka pusat perlindungan. Beberapa orang syahid dalam letupan pertama.

Pemuda dari dalam masjid berlari keluar untuk menyelamatkan mangsa letupan yang syahid dan cedera, malangnya penjajah melepaskan satu lagi letupan di tempat sama menyebabkan mereka yang keluar membantu turut sama terkorban.

Sebab itu, Covid-19 ini seperti letupan bom. Kalau ia didekati, kita juga akan menjadi mangsa. Patuhi nasihat kerajaan, kekal di rumah, dekatkan diri kepada Allah SWT dan doakan semoga wabak ini diangkat dengan segera.

>>Penulis pengasas

NGO Cinta Gaza

Disiarkan pada: March 27, 2020 @ 7:01am
d