rencana

Utama keperluan kita dulu

Oleh minda

MASIH segar di ingatan tatkala dasar perdagangan bebas dan globalisasi ekonomi diperkenalkan 25 tahun lalu, reaksi umum ketika itu adalah skeptikal walaupun sejarah dunia sudah mencatatkan kejadiannya sejak berkurun yang lalu.

Ini dapat dilihat ketika pertengahan abad zaman perdagangan rempah ratus di mana Syarikat India Timur begitu berani berlayar merentasi sempadan dan benua hingga berlabuh sauhnya di Tanah Melayu semata-mata mahu membeli berpukal-pukal rempah-ratus untuk dibawa pulang ke Eropah. Susulan dari persinggahan ini juga maka bermula episod penjajahan kolonialisma apabila Perjanjian Pangkor dimeterai pada 1874.

Berbalik pada hari ini, visi dan misi perdagangan bebas dan globalisasi ekonomi versi moden begitu berbeza kerana ia langsung tidak mempedulikan agenda penjajahan lagi. Sebaliknya ia memberi fokus terhadap kelajuan dan skala perniagaan antarabangsa untuk menangani ledakan permintaan global dan domestik sejak beberapa dekad yang lalu. Maka dasar perdagangan bebas dan globalisasi ekonomi berjaya direalisasikan kerana ia bertepatan dengan masa dan tempatnya.

Ia berlandaskan kepada kesuraman ekonomi selepas Perang Dunia Kedua, akibat Perang Dingin yang menjana tekanan geopolitical antara Amerika Syarikat (Blok Barat) dan Russia, (Blok Timur) sejak 1947 dan berakhir dengan aman pada 1991 sehingga sekarang. Ini membuka ruang dan peluang yang terbaik buat ekonomi kapitalis melakukan quantum leap melalui pelaburan besar besaran khususnya di negara dunia ketiga.

Selain itu, dasar ini juga disokong kemudahan pengangkutan yang bertambah dan berteknologi tinggi sama ada di darat, laut mahupun udara meliputi seluruh dunia untuk dijadikan sebagai medium utama bagi pengeluar produk untuk menyampaikan apa jua bentuk perjanjian perdagangan yang dicapai dari peringkat antara sempadan sehingga antara benua terutama di negara yang diiktiraf sebagai the new and rapidly developing country.

Akhirnya, sebahagian besar negara menerima dasar ini lantaran keselarian dengan ekonomi kapitalis yang kemudian menggagaskan sistem perdagangan bebas dan globalisasi ekonomi antara negara. Bagaimanapun, sistem ini bergantung sepenuhnya kepada kepada apa yang sedang berlaku di bahgian lain dunia yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Justeru, wabak Covid-19 yang memberikan kesan yang cukup pantas terhadap ekonomi kebanyakan negara di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Pada pandangan saya, masa depan dasar perdagangan bebas dan globalisasi ekonomi ini sebagaimana yang diwacanakan dalam Forum Ekonimi Dunia di Davos ini dijangka semakin perlahan dan suram berikutan serangan virus Covid 19 yang berjaya mencetuskan mega lockdown hampir seluruh dunia. Maka hipotesis saya membawa pengertian bahawa dasar perdagangan bebas dan globalisasi ekonomi hanya terlaksana mengikut erti kata yang sebenar jika ada lebihan atau surplus yang dijana dari sumber ekonomi atau hasil keluaran sesebuah negara.

Dalam konteks ini, lebihan atau surplus ini hanya wujud apabila permintaan domestik berjaya dipenuhi keseluruhannya. Seandainya ia benar-benar dipatuhi maka lebihan atau surplus itu boleh dieksport ke negara lain. Namun, apabila tiba suatu keadaan negara yang tidak stabil menyebabkan permintaan lebih tinggi dari penawaran maka dasar ini akan bertukar kepada dasar tutup pintu atau dasar ekonomi domestik.

Hipotesis ini terbukti ada asasnya kerana mutakhir ini Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau memberikan amaran kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berhubung dengan keputusan Trump menghentikan penghantaran topeng muka N95 oleh syarikat 3M ke Kanada sebagai melengkapi keperluan barisan hadapan khasnya doktor. Pentadbiran Trump mensyaratkan 3M selaku pengeluar utama dunia bagi kelengkapan perindungan life saving supaya menjual topeng muka dan medical respirator kepada kerajaan Amerika Syarikat terlebih dahulu untuk mengisi permintaan domestik yang mendadak oleh serangan virus Covid 19. Jika wujud lebihan atau surplus maka baru dibenarkan untuk dieksport ke negara lain.

Ini adalah bibit-bibit awal barometer berkaitan sejauh manakah kesanggupan sesebuah negara memastikan sumber ekonomi dan hasil negaranya dikawal sepenuhnya melalui larangan pengeksportan kerana mahu mengisi permintaan domestik terlebih dahulu. Maka sudah tentu ini mencetuskan implikasi kemanusiaan yang bermakna ke atas negara lain yang amat memerlukan disebabkan keterhadan, ketidakcukupan atau kekurangan terutama jika ia di tahap kritikal. Kawalan ini bakal menguji nilai, makna dan pengertian korporat, etika dan perundangan terutama apabila negara dalam situasi melarat, mudarat dan darurat.

Apapun, dalam konteks Malaysia hari ini, kita bernasib baik kerana mendapat bekalan dari China dan Korea Selatan iaitu topeng muka, medical ventilator dan ubat-ubatan lantaran tiada upaya sumber ekonomi atau hasil keluaran untuk mengisi permintaan berkenaan. Hakikatnya, cuba kita bayangkan apakah yang akan berlaku seandainya tiada bekalan dari mana-mana negara.

Penulis Freeman of the City of London The Livery of the Worshipful Company of Constructors

Disiarkan pada: April 7, 2020 @ 7:00am
d