rencana

Bukan semua hidup senang

Oleh minda

BEBERAPA minggu lalu, kita selaku masyarakat dan peneliti industri hiburan tanah air terpaku melihat ‘perang’ antara netizen dengan segelintir artis.

Selepas ‘bertempur’ di alam maya nampaknya pertempuran hebat itu semakin reda.

Perlahan-lahan, ramai yang mengambil keputusan untuk menenangkan perasaan dan ramai juga yang memilih untuk tidak berpihak di mana-mana pasukan ‘tentera’.

Ada yang mengangkat senjata dan mengundurkan ‘kereta perisai’ serta tentera dan ada juga yang mula menerima dengan hati terbuka permohonan maaf daripada pasukan lawan.

Semuanya tercetus apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19 bermula 18 Mac lalu hingga 14 April ini yang secara tidak langsung turut menjejaskan pendapatan banyak pihak termasuk artis.

Namun, ia bukan salah mana-mana pihak kerana krisis yang berlaku adalah satu perkara di luar jangkaan. Siapa yang pernah menyangka kita semua akan berdepan perkara sebegini dalam kehidupan kita?

Jika nak bercerita mengenai penularan wabak ini, tentunya ramai sedia maklum mengenai kesan buruknya kepada masyarakat. Tetapi, mari kita lihat dari perspektif yang lebih positif.

‘Peperangan’ dan PKP yang bermula lebih dua minggu lalu nampaknya sedikit sebanyak membuka mata banyak pihak dan kita sendiri sebagai masyarakat dapat melihat dengan jelas, tidak semua yang bergelar artis itu adalah mereka yang kaya dan hidup mewah.

Setiap hari, kita dapat lihat betapa masih ramai lagi artis yang pernah berada di puncak, namun kini sangat memerlukan sumbangan barangan keperluan kerana hilang punca pendapatan.

Setiap hari juga, kita dapat lihat ramai artis yang berganding tenaga dan mengeluarkan sedikit modal bagi membantu mereka yang memerlukan kerana mereka tahu, ini bukan sekadar ujian buat orang yang dalam kesusahan, tetapi juga ujian buat mereka sama ada ingin membantu atau pejam mata saja.

Secara tak langsung, itu adalah antara kesan baik Covid-19 yang membuka mata banyak pihak, tidak kiralah masyarakat dan juga artis sendiri.

Jika selama ini ada masyarakat yang menganggap semua artis tanah air kaya-raya dan hidup dalam kemewahan, kini mereka dapat lihat sendiri bahawa masih ada golongan anak seni yang hidup melarat.

Tatkala ada masyarakat yang menganggap artis hanya makan untuk perut sendiri, kini kita dapat lihat kesungguhan beberapa anak seni yang tak duduk diam dan terus membantu mereka yang memerlukan.

Bagi golongan artis pula, mata mereka kini terbuka luas untuk membantu rakan yang berada dalam kesusahan dan cuba melakukan sesuatu sebagai tanggungjawab sesama manusia.

Usah kita bicara mengenai keikhlasan mereka dalam memberikan sumbangan, itu adalah antara mereka dengan Tuhan. Yang pasti, mereka sudah cuba sedaya upaya untuk menyalurkan bantuan semampu mungkin kepada yang memerlukan.

Sederet nama artis yang tak lepas tangan antaranya adalah pelawak dan penyampai radio, Johan, Man Raja Lawak, Ifa Raziah, Zarina Anjoulie Lavocah, bahkan banyak juga persatuan anak seni yang terus menerus menyalurkan bantuan.

Satu lagi perkara positif yang kita dapat lihat daripada krisis ini adalah ia sedikit sebanyak menjentik hati kita semua dan memberi peringatan kepada diri sendiri mengenai simpanan kewangan ketika kecemasan.

Ya, ramai dalam kalangan kita kebanyakannya gemar berbelanja dan tidak memiliki simpanan kewangan yang boleh digunakan saat kecemasan. Tak dinafikan, ada yang masih menyimpan, namun bagi yang tidak, krisis yang berlaku menjadi peringatan buat kita semua.

Tempoh PKP ini adalah masa yang sesuai untuk kita bermuhasabah dan menilai semula diri kita sendiri.

Apabila kita lihat golongan tertentu yang kesempitan dalam saat kritikal seperti sekarang, kita tak perlu menghakimi mereka, sebaliknya jadikanlah ia sebagai pengajaran buat diri kita sendiri.

Mungkin Tuhan menurunkan peringatan itu sebagai ujian buat mereka dan diri kita sendiri sebagai masyarakat.

Ini masa yang sesuai untuk kita semua mula menyimpan dan menyusun atur strategi kewangan kita supaya dapat digunakan dengan lebih baik di masa akan datang.

Banyak bantuan yang diberikan pihak kerajaan. Ada dalam bentuk wang, ada juga dalam bentuk pinjaman, bahkan pihak bank juga mengambil inisiatif untuk menangguhkan pembayaran bulanan.

Sedikit sebanyak, itu sudah dapat membantu kita menyusun atur sistem kewangan kita dan secara tak langsung mendidik diri kita supaya sentiasa peka dengan keadaan kerana kita tak mampu menjangkakan krisis apa yang akan melanda dunia.

Yang pasti, sentiasa berdoa agar wabak ini diangkat dan dimusnahkan secepat mungkin, sekaligus seluruh dunia dapat memulakan semula langkah kita yang terhenti dan tergendala.

Penulis Wartawan hiburan Harian Metro

Disiarkan pada: April 8, 2020 @ 8:00am
d