rencana

Impak minyak harga negatif

Oleh Mohd Rozaimy Ridzuan

BUAT julung-julung kalinya dalam sejarah harga minyak mentah di Amerika Syarikat jatuh ke bawah paras negatif (-AS$37.65 setong) baru-baru ini. Secara umumnya, penentuan harga minyak dibuat mengikut beberapa faktor termasuk permintaan-pengeluaran dan sentimen spekulasi yang bergantung kepada geopolitik dunia khususnya di negara pengeluar utama.

Amerika Syarikat menggunakan West Texas Intermediate (WTI) sebagai penanda aras harga minyak mentah, manakala kebanyakan negara di dunia termasuk Malaysia menggunakan Brent. Harga minyak mentah Brent pula jatuh sebanyak sembilan peratus (kepada AS$25 setong). Malaysia boleh menarik nafas lega sedikit kerana pendapatan negara Malaysia berlandaskan kepada harga minyak Brent Crude yang dikatakan turut jatuh, tetapi tidaklah seteruk kejatuhan harga minyak WTI.

Harus difahami, dagangan minyak WTI di Amerika Syarikat menggunakan kaedah Future ataupun kontrak kehadapan. Dengan kata mudahnya, pedagang minyak ini akan membeli minyak dengan lebih awal (advance) dan minyak itu akan dihantar kepada pedagang tersebut pada April. Hal ini bermaksud, pedagang berkenaan membeli kontrak minyak dengan lebih awal dengan harapan untuk menjual semula minyak itu pada masa akan datang dengan harapan harga minyak di pasaran pada masa akan datang akan meningkat.

Namun, langit tidak selalu cerah. Disebabkan penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia pada masa kini, permintaan terhadap minyak semakin menurun dan menyebabkan harga minyak semakin merudum. Kebanyakan negara di dunia mengambil keputusan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19. Kesannya, permintaan terhadap petrol terus berkurangan. Tempoh PKP akan mempunyai implikasi yang besar ke atas tahap penggunaan minyak global dan pengurangan dalam permintaan minyak ini akan terus mengheret harga minyak tersebut ke lembah ketidakpastian.

Kurangnya permintaan global terhadap minyak menyebabkan harga minyak di pasaran jatuh. Untuk mengelakkan perkara seperti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran, kebanyakan pedagang minyak menjual minyak tersebut kepada pembeli dengan harga yang murah. Bukan itu saja, pengeluar minyak pula sanggup menawarkan bayaran kepada pihak yang sudi mengambil minyak mereka kerana mereka sendiri tidak mempunyai kapasiti secara fizikal untuk menyimpan lambakan minyak itu.

Ditambah dengan sifat ego pemimpin negara kuasa besar minyak, maka harga minyak dunia jatuh menjunam teruk. Arab Saudi mencadangkan Russia mengurangkan bekalan, namun Russia enggan. Bagi Russia, ia terlalu awal untuk mengurangkan pengeluaran minyak mentah dan mereka mengambil pendekatan memantau perkembangan semasa kalau Covid-19 ini beransur pulih. Lantas, Arab Saudi mengambil pendirian keras juga dengan meningkatkan pengeluaran minyak dan menyebabkan pengeluaran melebihi permintaan, sekali gus menyebabkan harga minyak terus menjunam.

Terdahulu, Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (Opec) dan pengeluar lain termasuk Russia, sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Opec+ bersetuju mengurangkan pengeluaran minyak sebanyak 15 juta tong sehari untuk April. Namun, sebilangan pakar ekonomi berasa ragu dengan keberkesanan keputusan yang dibuat oleh negara pengeluar untuk mengurangkan pengeluaran minyak dan berpendapat bahawa bekalan minyak akan terus melebihi permintaan. Akhirnya, harga minyak akan terus jatuh juga walaupun tindakan diambil oleh negara pengeluar minyak untuk mengurangkan pengeluaran minyak itu.

Harga pasaran petrol di Malaysia akan turut turun, tetapi ia kurang memberi impak yang positif kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Minyak kereta penuh, tetapi kereta tidak boleh bergerak ke mana-mana, lantas terperuk di garaj rumah. Selain itu, pendapatan kerajaan Malaysia juga akan turut berkurangan kerana minyak dan gas adalah sumber yang penting kepada negara dan tinggi ataupun rendah keuntungan daripada sumber pendapatan minyak tersebut dipengaruhi oleh naik turun harga minyak global, khususnya harga Brent Crude yang menjadi piawaian global (benchmark).

Disebabkan pendapatan kerajaan berkurangan, kerajaan dari semasa ke semasa perlu melihat semula peruntukan belanjawan yang telah diumumkan tempoh hari. Apa yang menakutkan, apabila perkara begini berlaku akan ada potongan belanjawan. Selain pembatalan projek berskala besar, pemberhentian pekerja juga antara cara yang diambil untuk mengurangkan kos. Russia yang pada awalnya menjangka lebihan (surplus) dalam belanjawan mereka sebelum ini, terpaksa akur bahawa mereka juga akan mengalami defisit. Itu belum lagi mengambil kira pengurangan sumber pendapatan kerajaan daripada sumber lain seperti cukai dan sebagainya.

Hakikatnya, kerajaan perlu mengurangkan kebergantungan pendapatannya terhadap sumber minyak dengan mempelbagaikan sumber pendapatan lain. Ini turut berlaku kepada negara pengeluar minyak yang lain seperti Arab Saudi di mana kerajaan mereka memperkenalkan Saudi Vision 2030 dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada hasil minyak. Apa yang paling penting buat masa sekarang, rakyat perlu patuh arahan duduk di rumah, dengar arahan selanjutnya daripada kerajaan dan jangan ke sana dan ke sini.

Penulis merupakan Pensyarah Dasar Awam di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub

Disiarkan pada: April 23, 2020 @ 8:00am
d