rencana

Peluang emas teknoprenur

Oleh Profesor Madya Dr. Siti Hamidah Mohd Setapar

DENGAN jumlah kes mencecah lebih dua juta orang di seluruh dunia dan kematian melebihi seratus ribu orang, nyatalah dunia sedang menghadapi peperangan aneh yang tidak pernah dialami oleh masyarakat global sebelum ini. Virus Covid-19 menyerang tanpa mengira sesiapa, kaya atau miskin, kaum, agama atau sempadan negara. Sehingga ke pelosok kampung terpencil pun ia menjajah. Malapetaka ini memberi impak yang sangat besar kepada dunia perniagaan. Di Malaysia, seperti yang dianggarkan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) akan terdapat lebih 2.4 juta rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan disebabkan ketidakupayaan syarikat majikan untuk membayar gaji dan banyak syarikat yang terpaksa menamatkan perniagaan.

Langkah proaktif kerajaan Malaysia dalam melawan impak Covid-19 dengan memperkenalkan pakej ransangan ekonomi mendapat pujian di mata dunia. Selain memfokuskan kepada golongan B40 agar mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup yang asas, kerajaan juga mengambil inisiatif membantu peniaga dalam mengurangkan beban kewangan meruncing yang boleh menyebabkan lebih ramai orang kehilangan pekerjaan. Tindakan kerajaan ini menunjukkan ia sangat prihatin terhadap masalah meruncing yang dihadapi pemain industri dan diharapkan dapat serba sedikit meredakan tekanan yang dialami mereka.Teknopreneur iaitu usahawan yang menjalankan perniagaan bersandarkan teknologi yang dimiliki. Hakikatnya, golongan teknoprenur amat diperlukan oleh negara ketika ini dan juga ketika pasca Covid-19. Berteraskan teknologi dan hasil penyelidikan, perkhidmatan atau produk yang dihasilkan teknoprenur adalah amat diperlukan bagi membantu kerajaan dalam pelbagai sektor bagi memerangi dan menghadapi kesan Covid-19. Ketika satu demi satu perniagaan berisiko untuk ditamatkan, ketika inilah usahawan teknopreneur boleh menonjolkan diri seterusnya mengukuhkan perniagaan.

Usahawan teknopreneur mempunyai banyak kelebihan berbanding pesaing yang tidak berasaskan kepada teknologi. Kelebihan ini menjadi aset yang paling besar dalam mengekalkan dan menstabilkan perniagaan. Jika sebelum ini dikatakan apa produk sekalipun akan dapat dijual dengan pemasaran dan penjenamaan yang betul, tetapi dalam waktu meruncing ini produk yang mempunyai elemen inovasi dan teknologi akan terkehadapan dan lebih mudah diterima pengguna.

Justeru, bencana Covid-19 ini akan memberi kelebihan kepada usahawan teknopreneur dalam tiga perkara iaitu peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan produk berasaskan sains dan teknologi, penggunaan IoT dan melaksanakan inovasi berasaskan ekonomik (frugal innovation).

Pertamanya, masyarakat dunia menjadi lebih prihatin kepada produk yang berasaskan sains dan teknologi. Ketika ini seluruh dunia memberi tumpuan terhadap perkembangan teknologi yang boleh membantu mencipta vaksin kepada virus Covid-19. Keperluan terhadap peralatan perlindungan diri (PPE) menyebabkan semua institusi pendidikan dan teknologi menggembleng tenaga menyediakan perkakasan PPE untuk pejuang barisan hadapan. Perkara ini membuka mata masyarakat tentang peranan sains dan teknologi yang amat diperlukan ketika ini. Di masa hadapan, masyarakat akan lebih menghargai produk yang berelemen sains dan teknologi. Kerajaan melalui agensi juga membuka lebih banyak peluang kepada teknopreneur dengan menyediakan geran dan pelbagai insentif. Peluang ini sudah pasti tertumpu kepada syarikat yang mempunyai teknologi dalam pelbagai bidang yang boleh membantu seluruh lapisan masyarakat.

Kedua ialah produktiviti syarikat akan meningkat dengan penggunaan teknologi IoT. Teknoprenur adalah golongan usahawan yang mesra teknologi dan tidak canggung dengan perubahan teknologi yang perlu diadaptasi dalam setiap aspek perniagaan. Melalui IoT, pengurusan sesebuah syarikat akan ditambahbaik dengan kemampuan melakukan pelbagai kerja atau membuat keputusan secara dalam talian walau di mana saja dan bila-bila masa. Mesyuarat, kerja pemasaran dan traksaksi yang dilaksanakan secara atas talian akan memberi kebaikan terutama dari segi penjimatan kos dan penambahan produktiviti. Dalam konteks ini, teknoprenur adalah golongan yang mesra IoT mempunyai kelebihan untuk secara pantas memperkukuhkan strategi perniagaan semasa.

Ketiga ialah syarikat terdorong menjadi lebih inovatif menggunakan pendekatan inovasi ekonomi (frugal innovation). Pendekatan inovasi berasaskan kejuruteraan balikan (reverse engineering) membolehkan syarikat teknopreneur menawarkan teknologi yang mudah dengan kos rendah dalam membantu menyelesaikan sesuatu masalah dalam keadaan geografi terbatas dan kemudahan yang terhad. Sebagai contoh, teknologi misel balikan (reverse micelle) dijangka dapat membantu menyediakan pembersih tangan yang mesra alam dan tidak memerlukan kandungan alkohol yang tinggi. Contohnya, penyelidik University College London dan jurutera Mercedes Formula 1 berjaya menghasilkan ventilator mini yang boleh digunakan untuk pesakit Covid-19 yang memerlukan bantuan pernafasan berasaskan teknologi enjin kereta dan berjaya membantu menyelesaikan masalah kekurangan ventilator di hospital dan pusat kesihatan.

Syarikat yang dapat menyesuaikan diri kepada perubahan yang berlaku di dunia ini akan menjadi lebih berdaya maju. Kebanyakan syarikat teknopreneur adalah mesra-teknologi dan mereka tidak mengambil masa yang lama untuk mempelajari sesuatu yang baharu. Syarikat yang menggunakan teknologi terkini, yang berkemampuan berkomunikasi dengan baik dengan pelanggan yang cakna mengenai alam sekitar, yang melayani pekerja dengan baik dan pengurusan yang berkepemimpinan akan terkehadapan dan lebih berjaya.

Penulis Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi Malaysia-Japan International Institute of Technology, Universiti Teknologi Malaysia

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 5, 2020 @ 7:59am
    d