rencana

Betapa kerdilnya kita

Oleh Mejar (B) Ramli Abdul Rahim

PUASA enam Syawal walaupun hukumnya sunat mungkin akan menjadi normal baharu dilakukan pada hari raya kedua dan kepada yang sudah biasa ia bukan perkara luar biasa dan kepada yang tidak biasa ia akan akan jadi biasa jika ia dapat diamalkan.

Kepada sesiapa yang mempunyai pengalaman menunaikan umrah pada bulan Ramadan dan melakukan solat sunat Aidilfitri di Masjidil Haram adalah menjadi kebiasaan pada hari raya kedua penduduk Makkah melakukan puasa sunat pada hari kedua Syawal.

Ramadan berlalu meninggalkan kita dan kita mengharunginya ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa dengan normal baharu berikutan wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

Mungkin tahun ini ramai yang bersedih kerana tidak dapat menyambut Aidilfitri di kampung bersama keluarga dan sanak saudara, lantas hubungan ukhuwah hanya dapat ditautkan dengan sidang video (video conference) bersama keluarga yang berjauhan.

Kita semua masih boleh menyambut Aidilfitri, tetapi kita kena mematuhi SOP perayaan Covid-19, lantas ada yang merasa sayu dan pilu apabila mendengar lagu raya di radio, mengalirkan air mata apabila terkenangkan ibu dan bapa, ketupat dan rendang yang selalu dinikmati bersama keluarga.

Aktiviti ziarah-menziarahi dibenarkan dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa dengan tidak bersentuhan berjabat salam dan berpelukan.

Kementerian Kesihatan juga menyarankan supaya mengelakkan daripada berada di tempat yang sesak dan kalau hendak bersembang dengan tetamu pun, kena jarak-jarakkan sedikit serta tidak perlulah duduk terlalu rapat.

Kita sewajarnya bersyukur kerana dapat melalui Ramadan dan menikmati Syawal yang mulia walaupun dengan keterbatasan akibat PKPB pada tahun ini.

Covid-19 juga boleh dijadikan bahan renungan betapa manusia sebagai hamba Tuhan yang lemah dan menginsafi kelemahan walaupun kita boleh merancang sesuatu di dalam hidup ini, tetapi Tuhan itu lebih maha perancang ke atas segala-galanya.

Kalau dulu sambutan Aidilfitri dikira sebulan dan aktiviti ziarah masih rancak hingga ke hujung bulan, sebenarnya Allah SWT hendak mengajar supaya kita jangan banyak membazir
pada perkara sia- sia seperti berlebih-lebih dengan rumah terbuka (open house) dengan kebanjiran tetamu menghadapi juadah hari raya.

Sambutan Aidilfitri mengikis normal lama yang menjadikan sebulan hari raya ala-ala pesta sepanjang Syawal yang banyak mengundang hal negatif daripada positif dan pakar motivasi dunia pun tidak boleh membentuk minda kecuali dengan kehadiran Covid-19 sebagai blessing in disguise (hikmah tersembunyi).

Kalau sebelum ini umat Islam berpusu-pusu menziarahi kubur saudara-mara yang sudah pergi, namun normal itu tidak dibenarkan kerana dikhuatiri mungkin boleh menyemarakkan virus Covid-19.

Mungkin sejak dulu terdapat tradisi keluarga untuk memasang lampu raya sesudah pertengahan Ramadan dan ketika itu jugalah semua anak-anak serta cucu akan pulang ke kampung untuk berbuka puasa bersama keluarga, tetapi itu semua tinggal nostalgia.

Tarbiyah Ramadan era PKP memberi aura dan mindset yang baharu dalam melaksanakan ibadat puasa dengan keberadaan suami isteri dan anak-anak
di rumah dan sebagai ketua keluarga secara automatis menjadi imam ketika solat Tarawih berjemaah di rumah.

Selama 20 Ramadan kita berpuasa tanpa bazar Ramadan sehingga PKPB diumumkan kita baru merasa juadah iftar yang dijual dan orang ramai masih dinasihatkan untuk menjaga jarak sosial dan memakai penutup mulut semasa bermuamalah di pasar Ramadan dan pusat beli-belah.

Tentunya jiwa kita akan tenang dan gembira apabila melihat anak dan cucu berlari-lari dan bermain bunga api di halaman rumah, tetapi wajah sambutan hari raya pada tahun ini cukup berbeza dan ada anak-anak yang tidak dapat pulang untuk berhari raya bersama keluarga semua.

Aidilfitri adalah perayaan besar dianugerahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW iaitu selepas kita melalui proses panjang dalam bulan Ramadan al-Mubarak, Allah SWT menjadikan beberapa proses untuk memperbaiki perjalanan hidup kita.

Mungkin Aidilfitri tahun ini adalah sebuah miliu yang berwajah baru dengan kelainan dan ada yang boleh membayangkan dan merasakan kerinduan yang amat mendalam apabila berjauhan daripada ibu bapa yang amat tersayang.

Kaji selidik yang dilakukan Majlis Keselamatan Negara (MKN) jelas menunjukkan 74 peratus rakyat negara ini mahu menyambut Aidilfitri tahun ini secara tertutup bersama keluarga di dalam rumah masing-masing.

Secara lahiriah mungkin kita boleh menutup rumah kita daripada kunjungan sesiapa, namun, kita tidak sewajarnya menutup pintu hati kita untuk menebarkan kasih sayang terutama terhadap ibu bapa dan adik beradik dan saudara-mara.

Kemudahan telefon atau aplikasi internet boleh digunakan untuk berinteraksi menyambung silaturahim meskipun kita tidak dapat bersua secara fizikal namun kita boleh melakukan hubugan virtual di alam maya.

Kasih sayang yang ditebarkan sesama manusia yang ada hubungan darah selalu diterjemahkan, namun rasa empati dan simpati juga perlu diterjemahkan kepada mereka yang tidak berada sehingga tidak mampu memakai baju baharu apatah lagi menikmati hidangan lazat.

Berikutan krisis wabak Covid-19 memberi kesan kepada ekonomi dunia dan hari raya tahun ini ada juga rakyat yang terjejas pendapatan mereka kerana diberi cuti tanpa gaji atau diberhentikan kerja termasuk peniaga kecil yang terjejas semasa PKP dikuatkuasakan.

Pasca Ramadan dan Aidilfitri tidak memberi iklim ekonomi yang memberangsangkan dan kita seharusnya tabah dengan kemelut ekonomi alami seperti kuasa besar Amerika Syarikat apatah lagi negara kita juga bergantung kepada dagangan
luar negara.

Tarbiah Ramadan yang dilalui mengajar kita untuk bersabar dan akan ada rahmat setelah berdoa dan pasrah pada-Nya dan tidak perlu berputus asa daripada rahmat Allah SAW kerana Tuhan itu tidak akan membuang kita sebagai makhluk ciptaan-Nya.

Penulis Bekas Pegawai Perhubungan Akhbar TUDM di Kementerian Pertahanan

Disiarkan pada: May 26, 2020 @ 7:00am
d