rencana

Sejauh mana kebenarannya?

Oleh Noor Mohamad Shakil Hameed

TINDAKAN segelintir anggota masyarakat yang terus mempersoalkan bantuan dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan kepada penjawat awam adalah sangat dikesali dan wajar dilihat sebagai usaha mempertikai segala jasa dan sumbangan penjawat awam kepada kesejahteraan rakyat dan pembagunan negara. Perbuatan mempersoalkan bayaran gaji dan pemberian insentif bantuan khas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta pemberian bantuan khas Aidilfitri baru-baru ini di samping kemudahan elaun khas kepada barisan petugas hadapan tidak sepatutnya berlaku.

Ironinya, ini bukan kali pertama isu sensitif seperti ini dibangkitkan dan apa yang pelik penjawat awam sentiasa menjadi sasaran pihak tertentu yang dilihat masih meragui peranan dan fungsi penjawat awam sekali gus secara berterusan mempertikai sumbangan mereka kepada rakyat dan negara. Sedarlah bahawa tulang belakang jentera pentadbiran kerajaan adalah penjawat awam. Golongan inilah yang menyelaras dan menyediakan segala perkhidmatan yang diperlukan oleh rakyat. Jadi, tidak perlulah terus pertikai jumlah penjawat awam mahupun gaji dan insentif yang mereka terima.

Dalam konteks ini, anggota masyarakat perlu jelas secara relatifnya gaji anggota perkhidmatan awam masih rendah berbanding sektor korporat dan fakta penting yang perlu diberi perhatian ialah majoriti penjawat awam masih tergolong dalam kategori pekerja berpendapatan rendah (B20) dan berpendapatan sederhana (M40). Keadaan bertambah buruk apabila dalam situasi kegawatan ekonomi dan kenaikan kos sara hidup yang tinggi, majoriti daripada mereka cukup sesak meneruskan survival kehidupan masing-masing kerana pendapatan mereka umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Justeru adalah sangat tidak wajar jika masih ada yang bersikap suka mempersoal segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan kepada penjawat awam. Sepatutnya masyarakat melihat dari perspektif dan sudut pandang peranan dan sumbangan penjawat awam yang terus menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi walaupun pada ketika negara berhadapan dengan pelbagai krisis dan ancaman.

Penulis terpanggil untuk respons beberapa kenyataan dan persepsi negatif yang cukup menyedihkan seperti ketika PKP penjawat awam seolah-olah bercuti dan tidak bekerja. Ramai yang lupa mahupun tidak sedar apakah ketika PKP jentera pentadbiran kerajaan lumpuh sama sekali? Jawapannya tidak kerana penjawat awam terus bekerja dari rumah demi memastikan pentadbiran kerajaan berjalan seperti biasa walaupun berhadapan dengan pelbagai kekangan dan sumber yang terhad. Tegasnya, penjawat awam tidak bercuti dan tidak makan gaji buta sebaliknya pantas menyesuaikan diri dengan normal baharu iaitu bekerja dari rumah. Sebagai tambahan, pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga mengeluarkan surat edaran berkaitan Arahan Bekerja Dari Rumah. Maka jelaslah ia tuduhan liar yang tidak berasas sama sekali.

Malah, fakta yang tidak dapat dinafikan lagi penjawat awam dari kalangan barisan petugas hadapan seperti anggota perkhidmatan kesihatan serta pihak berkuasa seperti polis dan angkatan tentera terus bekerja demi membendung penularan wabak Covid-19. Jangan kita lupa ada dalam kalangan mereka yang bekerja hingga 16 jam dengan jadual bertugas bukan seperti hari biasa hingga ada yang tidak boleh balik rumah berminggu-minggu. Ironinya, tatkala semua diminta berada di rumah ketika PKP demi keselamatan diri dan keluarga, apakah kita lupa penjawat awam dari kalangan petugas barisan hadapan bertarung nyawa dan mengharungi pelbagai ancaman serta risiko berhadapan dengan wabak ini. Ringkasnya, mereka mengorbankan cuti dan masa mereka bersama keluarga demi melindungi rakyat dan negara. Jadi penulis rasa cukup sedih dan kesal jika masih ada yang mempertikai sumbangan mereka hanya kerana diberi sedikit ganjaran oleh kerajaan. Apalah sangat gaji dan elaun yang diterima jika dibandingkan dengan pengorbanan mereka.

Krisis politik yang melanda negara sebelum ini serta ancaman wabak Covid-19 sekarang ini sepatutnya membuka mata semua pihak untuk memahami dengan lebih jelas fungsi dan peranan sebenar penjawat awam sekali gus membuka ruang untuk menilai secara adil segala jasa dan sumbangan penjawat awam. Misalnya, walaupun ketika krisis politik tempoh hari kita tidak ada kerajaan dengan hanya ada perdana menteri interim serta dalam keadaan berhadapan dengan serangan hebat wabak, penjawat awam terus bekerja seperti biasa dan menzahirkan komitmen dalam memastikan negara dan rakyat terus dilindungi sekali gus membolehkan jentera pentadbiran kerajaan berjalan dengan lancar. Ringkasnya, keselesaan dan kepuasan rakyat sering menjadi keutamaan perkhidmatan yang disediakan oleh sektor awam.

Hakikatnya, penjawat awam adalah nadi dan tulang belakang pentadbiran kerajaan. Mereka tidak pernah memilih bulu dalam memberikan perkhidmatan kerana tidak berpartisan atau memihak sebaliknya terus mencurahkan khidmat bakti berpaksikan kepada ikrar 'saya yang menjalankan amanah.'

Justeru, jangan juga mempertikai integriti dan sikap profesionalisme mereka dalam menjalankan tugas. Secara prinsipnya, penjawat awam tidak pernah mengharapkan sebarang pujian, penghargaan mahupun imbuhan, sebaliknya hanya mahu mencurahkan khidmat bakti dengan jujur dan ikhlas kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan warna kulit.

Justeru, hentikanlah perbuatan membandingkan sumbangan dan mempertikaikan gaji, elaun dan kemudahan yang diterima oleh penjawat awam. Ia satu tindakan yang sia-sia dan dikhuatiri tekanan atau cemuhan yang berterusan seperti ini boleh melemahkan semangat dan moral kerja penjawat awam. Terimalah kenyataan bahawa baik sektor awam mahupun swasta masing-masing ada peranan dan sumbangan yang signifikan kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

Penulis Timbalan Pengarah Strategi Korporat dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM)

Disiarkan pada: June 1, 2020 @ 6:00am
d