rencana

Suntik kemanusiaan dalam senibina untuk golongan marhaen

Oleh Ts. Dr Mohd Zairul Mohd Noor

APABILA arkitek mula mereka bentuk sesuatu ruang, pelbagai faktor perlu diambil perhatian. Ini termasuk kos yang terlibat, kehendak pelanggan serta faktor alam sekitar. Namun, faktor kemanusiaan serta pengguna akhir semakin hari semakin kurang ditekankan akibat permintaan pelanggan yang membayar kos pembinaan yang harus dipatuhi. Faktor yuran profesional juga menjadi antara asbab rekabentuk sesuatu bangunan kurang nilai tambah dek lantaran hanya memenuhi permintaan minimum pelanggan yang memerlukan reka bentuk yang cepat dan harus segera dijual demi mengaut keuntungan.

Kini, seluruh dunia diuji dengan pandemik Covid-19. Rumah yang dulunya hanya digunakan untuk tidur dan beristirahat, kini harus digunakan untuk pelbagai keperluan, belajar, bekerja, berehat, makan dan bermain bagi anak-anak kecil. Rutin harian sudah berubah. Ruang yang kecil dan terhad harus dikongsi bersama anak, ibu, ayah serta adik-beradik lain.
Kini, ruang tamu harus bertukar menjadi ruang belajar, menonton televisyen, ruang tidur bagi si abang yang tidak mempunyai bilik dan ruang si ibu menggosok serta menerima upah menjahit pakaian.

Menurut kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kes penderaan domestik turut meningkat ketika wabak ini berlangsung berikutan persekitaran rumah yang tidak kondusif serta sempit. Ini ditambah lagi dengan musim Perintah Kawalan Bersyarat (PKPB) yang tidak membenarkan kanak-kanak bersekolah dan bermain di kawasan lapang. Suasana di rumah menjadi hiruk-pikuk kerana keluasan rumah sedia ada hanya berkeluasan kurang 700 kaki persegi. Kanak-kanak ini sudah terbiasa bermain dan berkejaran, tetapi si bapa perlukan ruang bagi memikirkan bagaimana mahu bertahan selama tidak bekerja di dalam tempoh PKPB ini. Akibatnya, anak-anak ini dipukul dan didera. Ini satu contoh akibat daripada keresahan yang terbit akibat ruang kurang kondusif.

Jadi, apakah solusi yang perlu dicari bagi merekabentuk ruang yang lebih kondusif? Siapakah yang harus dipertanggungjawab untuk memastikan golongan marhaen terutama B40 yang duduk di perumahan kos rendah mendapat ruang persekitaran yang lebih kondusif dan anak-anak serta remaja mereka dapat membesar dengan persekitaran yang lebih baik dan terjaga? Pastinya, jawapannya perlu dipertanggungjawabkan kepada pelbagai pihak. Pihak yang terlibat merangkumi pihak berwajib yang merangka polisi, pihak pemaju yang membiayai rumah berkenaan dan pihak arkitek yang bertanggungjawab merekabentuk kediaman itu.

Mungkin sudah sampai masanya untuk perumahan rumah murah di negara ini dinaik taraf sebagai perumahan sosial. Dengan ini, ia akan memberi imej baharu
kepada perumahan awam serta perumahan kos rendah yang rata-ratanya mencerminkan perumahan slum di lokasi yang kurang strategik. Seni bina yang bagus dapat meningkatkan taraf hidup serta corak pemikiran penduduknya. Buruk rekabentuknya, buruklah sikap masyarakat yang menduduki perumahan kawasan itu. Sekiranya perumahan serta reka bentuk yang disediakan memenuhi serta memahami keperluan pembentukan manusiawi, ia akan menjadikan penduduknya lebih kreatif dan dapat menghormati satu sama lain.

Arkitek harus memainkan peranan yang lebih penting dalam usaha mengolah persepsi masyarakat terhadap perumahan murah ini. Mereka harus lebih kreatif dan berinovasi bagi merekabentuk ruang yang lebih dinamik serta mesra pengguna tanpa menggunakan kos yang tinggi. Ini cabaran yang harus dipikul oleh arkitek sebagai ketua projek pembinaan. Arkitek juga harus menasihati pelanggan serta pemegang taruh dan bukan hanya menurut kehendak mereka. Usaha ini juga harus disahut pihak berwajib dan digerakkan melalui polisi perumahan baru yang melibatkan perumahan rakyat yang kurang berkemampuan terutama golongan B40. Pelbagai kajian kes boleh dilihat di negara maju bagaimana mereka mereka bentuk rumah perumahan sosial yang lebih teratur serta kondusif seperti projek perumahan HDB di Singapura, Nanterre Co-Housing di Perancis dan juga Atelier Kempe Thill housing di Belanda. Projek ini berjaya mendidik penghuninya mematuhi peraturan serta menjadikan mereka dapat mendiami kehidupan yang lebih kondusif bersama keluarga dan masyarakat.

Saya teringat bibit lagu daripada Aman RA yang berbunyi: "Blok aku panas bukan cerita gebang... Sarang segala barang hanya hati kering tenang... Datang gudang tak diundang... Bayang sepanjang badan ey... Datang cara elok jangan wayang jangan...Zon merah malaria... Lampu biru Black Maria...Memori nostalgia mama sakit histeria... Flow lain macam keep it low lain macam...If you know lain macam then you know."

Lirik ini jelas menggambarkan kehidupan di flat yang serba daif serta menjadi sarang jenayah serta penyakit. Reka bentuk yang cantik tidak semestinya mahal. Ini cabaran kepada arkitek bagi membina masyarakat Malaysia yang tidak diabaikan daripada arus perdana.

Penulis Pensyarah di Jabatan Senibina, Fakuti Rekabentuk dan Senibina, UPM Serdang

Disiarkan pada: June 2, 2020 @ 7:00am
d