rencana

Berkait rapat syarat istito'ah

Oleh minda

ADA saat rakyat Malaysia bergembira kerana dibenarkan merentas negeri untuk pulang ke kampung halaman, ada sebahagian lain yang mungkin sedang berduka kerana impian menunaikan ibadat haji tahun ini tidak kesampaian.

Ini kerana pada 11 Jun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengumumkan kerajaan memutuskan menangguhkan ibadat haji untuk semua rakyat Malaysia bagi musim haji 1441 Hijrah ke tahun hadapan.

Ia berikutan pandemik Covid-19 masih terus 'menggila' di beberapa negara dan mungkin meningkatkan risiko sekiranya ada jemaah kita yang turut serta.

Apabila menyebut hal menunaikan ibadat haji ini, saya teringat kenangan bertugas pada musim haji sekitar 2008 hingga 2010 untuk ruangan Lambaian Kaabah yang memerlukan saya menemu ramah bakal Pak Haji dan Mak Hajah yang berkumpul di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya.

Ketika itu, jemaah dari beberapa negeri perlu berkumpul di kompleks berkenaan sebelum dibawa menaiki bas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Ahli keluarga hanya dibenarkan menghantar jemaah di kompleks itu dan tidak boleh ke KLIA.

Saya dan jurugambar akan pusing sekitar kawasan menunggu di kompleks itu untuk mencari jemaah yang sudi berkongsi kisah mereka. Cerita mereka bukan biasa-biasa, pasti meruntun jiwa. Sebagai contoh, kisah Mak Cik Hasmoh Musa yang ketika itu berusia 65 tahun.

Beliau mengumpul duit dengan mengerjakan sawah padi dan memelihara lembu semata-mata untuk menunaikan haji. Malah, duit yang diberikan anak juga disimpan supaya hajat menunaikan haji tercapai. Berbeza dengan Pak Cik Ismail Abdullah yang ketika itu berusia 70 tahun. Beliau terpaksa menangguhkan hasratnya menunaikan fardu haji akibat masalah kewangan sebanyak empat kali .

Mula mengumpul duit sejak 1970, beliau turut melakukan kerja sampingan seperti mengusahakan perniagaan keropok lekor, selain mencari pendapatan sebagai nelayan. Namun, perusahaan keropok lekor terpaksa dihentikan dua tahun sebelum itu kerana masalah kesihatan. Nasibnya baik kerana anak yang sudah tamat pengajian berjaya mendapatkan pekerjaan dan tidak keberatan mengirimkan wang untuknya serta isteri setiap bulan yang dikumpul bagi memenuhi hasrat ke Tanah Suci. Bayangkan jika mereka ini ibu atau ayah kita. Berpenat lelah mengumpul duit, namun hasrat terpaksa ditangguhkan kerana virus. Memang kita akan kecewa, apatah lagi mereka. Tapi, lebih baik 'menikmati' rasa kecewa itu berbanding rasa sedih kehilangan mereka jika tertewas akibat virus berkenaan.

Saya pasti ramai bakal jemaah kecewa dengan pengumuman kerajaan, namun itu adalah langkah terbaik dalam situasi semasa. Saya yakin ini juga bukan keputusan menggembirakan dibuat kerajaan.

Sebagaimana dalam teks ucapan Dr Zulkifli, keputusan dibuat berdasarkan kaedah fiqah - 'Menghindarkan perkara yang membawa kerosakan adalah lebih utama daripada mendapatkan kebaikan.' Beliau berkata, sehingga kini, belum ada vaksin yang sesuai untuk mengekang penyebaran virus Covid-19 yang meragut banyak nyawa di seluruh dunia.

Ibadat haji yang menjadi rukun Islam kelima berkait rapat dengan syarat istito'ah, iaitu berkemampuan menunaikan haji dari aspek kesihatan, keselamatan, keizinan melakukan perjalanan ke Tanah Suci dan kewangan.

Tanpa keupayaan atau kemampuan pada hal yang disebutkan, menurut hukum syariah syarat istito'ah tidak dicapai untuk mewajibkan kita menunaikan haji. Semoga bakal jemaah yang sepatutnya menunaikan ibadat berkenaan tahun ini dipanjangkan rezeki untuk menjejak kaki ke Tanah Suci tahun depan.

Usahlah bersedih kerana Allah sebaik-baik perancang. Allah juga mengulang dua kali dalam Surah al-Insyirah: "Tiap-tiap kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan."

Penulis Pengarang Berita

Harian Metro

Disiarkan pada: June 15, 2020 @ 8:00am
d