rencana

Forbes pun tertipu

Oleh minda

TAHUN lalu, majalah perniagaan Forbes menyenaraikan Kylie Jenner sebagai hampir menjadi bilionair dengan aset menghampiri AS$900 juta (RM3.8 bilion). Ketika itu, ramai yang menempelak pengumuman berkenaan dengan mengatakan ahli keluarga Kardashian-Jenner itu tidak layak diiktiraf sebagai billionair atas usahanya sendiri.

Menurut kebanyakan pihak, Kylie muncul sebagai bilionair kerana dibantu oleh populariti ahli keluarganya yang lain. Masakan tidak, hampir sebahagian besar usia remajanya dipaparkan dalam program realiti Keeping Up With Kardashian. Semua ahli keluarga berkenaan, termasuk Kylie memanfaatkan populariti rancangan berkenaan untuk menceburi bidang perniagaan kecantikan.

Januari lalu, Kylie menjual 51 peratus kepentingan dalam syarikat miliknya Kylie Cosmetics kepada gergasi kosmetik Coty, dalam urus niaga bernilai AS$1.2 billion (RM51.1 bilion). Ia seakan-akan mengesahkan apa yang diisytiharkan Forbes pada tahun lalu bahawa Kylie adalah bilionair.

Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Forbes kemudian mendakwa Kylie sebenarnya belum benar-benar bilionair. Ia berdasarkan butiran urus niaga itu yang didedahkan kepada umum. Sekali gus, penerbitan berpengaruh yang menjadi rujukan senarai individu terkaya dunia 'menarik balik' gelaran bilionair kepada Kylie.

Adakah Forbes tersilap ketika mengisytiharkan Kylie sebagai bilionair pada tahun lalu? Menurut majalah itu, urus niaga itu mendedahkan saiz perniagaan Kylie adalah lebih kecil daripada apa yang diuar-uarkan. Malah, keuntungannya juga lebih kecil daripada apa yang dicanang sebelum ini.

Jadi di manakah silapnya? Forbes menyamakan apa yang berlaku sehingga mereka tersilap mengumumkan Kylie sebagai bilionair kerana mereka 'terpedaya' dengan pasukan perhubungan awam dan akauntan Kylie.

Malah, mereka merumuskan apa yang berlaku sama seperti Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang terlalu obses untuk berada dalam senarai individu terkaya. Pihak Kylie, menurut Forbes, terlalu mahukan pengiktirafan itu sehingga sanggup mengemukakan penyata cukai yang Forbes kini dakwa sebagai palsu.

Bagi yang tidak mengenali Kylie, ahli keluarga Kardashian-Jenner ini mendapat durian runtuh selepas produk pertamanya, pengilat bibir habis terjual dalam tempoh seminit selepas dilancarkan pada 2015. Tanpa perlu melabur besar untuk pengiklanan, dia hanya bergantung kepada Instagram untuk menjual produknya.

Menjelang akhir 2016, Kylie sudah mempunyai pelbagai produk kecantikan. Selepas beberapa bulan kakaknya, Kim Kardashian dijadikan sebagai muka depan Forbes pada Julai 2016, pasukan publisis Kylie pula berusaha untuk 'melobi' muka depan majalah sama untuk Kylie.

Mereka mendakwa jumlah perolehan daripada jualan kosmetik dalam tempoh 18 bulan Kylie Cosmetics beroperasi sahaja sudah mencecah AS$400 juta (RM1.7 bilion). Pasukan Kylie mendakwa ia memberikan pendapatan AS$250 juta (RM1 bilion) untuk Kylie. Apabila Forbes bertanyakan bukti dakwaan berkenaan, kakitangan majalah itu ditunjukkan slip pembayaran cukai dan pendapatan peribadi pada tahun berkenaan.

Angka itu, menurut Forbes, sudah layak meletakkan Kylie pada tangga kedua dalam senarai selebriti 100 paling kaya pada tahun berkenaan di belakang Taylor Swift. Namun, menurut majalah itu, pasukan Kylie masih tidak berpuas hati dan masih berkempen untuk menjadikan Kylie supaya diiktiraf selebriti termuda paling kaya.

Dua bulan selepas itu, satu artikel dipaparkan dalam majalah lain, WWD menggunakan angka yang cuba 'disuap' pasukan Kylie kepada Forbes. Angka yang 'menakjubkan' itu berulang kali dipetik oleh penerbitan lain termasuk People, CNBC dan majalah Fortune. Pada 2018, apabila Forbes melakukan penilaian semula, pendapat pakar mula berubah. Ada penganalisis mendakwa angka berkenaan boleh dipercayai.

Bertitik tolak daripada laporan pendedahan berkenaan, Forbes mula mengambil dakwaan pasukan Kylie secara serius. Bersandarkan dakwaan berkenaan, Kylie muncul sebagai penghias muka depan majalah Forbes pada Julai 2018, diletakkan pada senarai ke-27 sebagai wanita terkaya dengan usaha sendiri. Pada usia 21 tahun, Kylie dikatakan bernilai AS$900 juta dan bakal bergelar bilionair termuda, menurut Forbes pada tahun berkenaan.

Setahun selepas itu iaitu pada Mac 2019, Forbes menggelar Kylie sebagai bilionair termuda dunia atas usahanya sendiri. Kylie tidak menunggu lama dan mengucapkan terima kasih atas 'pengiktirafan' berkenaan menerusi akaun media sosialnya.

Namun, semuanya berubah apabila butiran urus niaga penjualan sebahagian daripada Kylie Cosmetics kepada Coty didedahkan kepada umum. Kesimpulannya, Forbes kini berpendapat dengan urus niaga terbaharu ini, Kylie Jenner masih belum layak digelar bilionair.

Dari satu segi, umum boleh melihat strategi pemasaran yang dimainkan oleh pasukan Kylie sehingga dapat 'memperdayakan' majalah kewangan paling berpengaruh iaitu Forbes. Dari aspek lain, kontroversi ini mencalarkan kredibiliti Forbes sebagai rujukan utama senarai kekayaan individu berpengaruh.

Hakikatnya, ada gelaran bilionair atau tidak, Kylie masih bangun tidur sebagai jutawan. Malah, ia sama sekali tidak mengubah fakta bahawa usia di bawah 25 tahun, Kylie adalah antara wanita muda terkaya di dunia.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Disiarkan pada: June 20, 2020 @ 8:00am
d