rencana

Entah apa lagi lepas ni....

Oleh Norhayati Nordin

SELEPAS tiga bulan rakyat Malaysia akur dengan arahan kerajaan untuk duduk di rumah bagi memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19 yang melanda negara, kini pelbagai sektor ekonomi mula dibuka beroperasi.

Tidak terkecuali turut mendapat kebenaran untuk 'aktif semula' membantu menjana ekonomi adalah industri hiburan. Pada 10 Jun lalu, kerajaan memberi kebenaran untuk aktiviti penggambaran drama dan filem dilakukan.

Kini, ketika negara dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dilaksana sehingga 31 Ogos nanti, kebenaran diberi pula kepada pawagam, teater dan persembahan langsung.

Pun begitu, di sebalik kegembiraan penggiat industri seni menyambut baik keprihatinan kerajaan itu tetap ada 'kisah kurang manis' lebih menjadi perhatian ramai.

Sejak minggu lalu, hangat diceritakan mengenai penyebaran foto tidak senonoh dan video 'capmelan' atau aksi melakukan onani dibuat pihak tidak bertanggungjawab kepada seorang bekas personaliti TV dikenali Kiah Propa.

Kelmarin, industri seni dihangatkan lagi dengan penularan video melakukan onani oleh seorang individu yang didakwa mirip pelakon dan pengarah, Fauzi Nawawi di media sosial.

Keadaan itu mendorong Fauzi bertindak membuat laporan polis kerana berasakan ada pihak tidak bermoral cuba bertindak menjatuhkan kerjaya dan mahu meruntuhkan rumah tangganya.

Melihatkan pada situasi perkembangan teknologi pada masa kini, ternyata wajar golongan selebriti lebih berhati-hati. Ancaman daripada 'musuh siber' sukar dijangka.

Apapun, penyebaran foto atau video tidak senonoh membabitkan selebriti bukanlah perkara baharu. Sudah ramai selebriti tanah air terpalit dengan situasi ini yang kemunculannya secara tiba-tiba.

Sama ada selebriti lelaki atau wanita, masing-masing tededah untuk menjadi mangsa keadaan apabila foto atau video kurang senonoh didakwa mirip mereka tular di media sosial.

Entah kenapa ada sahaja ruang untuk penyebaran foto atau video 'pelanduk dua serupa' ini dilakukan pihak tidak bertanggungjawab. Apakah ada keuntungan diperoleh sebalik penyebaran dibuat?

Tidak mustahil perkara membabitkan keuntungan ini wujud, cuma dalam perkembangan teknologi di hujung jari kini jelas menunjukkan betapa soal maruah orang lain tidak diambil kira.

Malah, aktiviti penyebaran foto dan video tidak senonoh ini seakan-akan bermusim. Jika seorang selebriti sudah terkena, pasti akan menyusul beberapa orang lagi selepas itu.

Daripada insiden penyebaran yang lalu, didapati keadaan akan sepi tiba-tiba apabila muncul isu baru dalam industri hiburan. Apatah lagi, ada selebriti mengambil langkah berdiam diri.

Bagaimanapun, isu dalam industri hiburan tanah air sukar diduga. Ada kala hangat dan tidak terkecuali masa suram. Namun, untuk tahun ini boleh dianggap lebih banyak yang hangat.

Sebelum Covid-19 melanda sudah beberapa isu muncul, begitu juga di tengah tersebarnya pandemik itu apabila ada selebriti meminta bantuan khas diwujudkan untuk mereka.

Sekarang, di kala situasi penularan wabak Covid-19 mula melandai, muncul pula kisah penyebaran foto dan video tidak senonoh pada kalangan masyarakat terutama warganet.

Justeru, sehingga hujung tahun nanti berapa banyakkah isu atau situasi hangat membabitkan selebriti tanah air serta industri hiburan akan muncul dan menjadi perhatian di media sosial?

Ternyata, sukar untuk dijangkakan. Apapun, dalam pengaruh media sosial kini penjagaan kendiri juga penting seiring pencegahan dilakukan untuk terhindar daripada jangkitan Covid-19.

Sehubungan itu, yang pasti jaga diri dan hiasi peribadi. Malah, apa yang harus dingat selalu sentiasalah menggunakan kemudahan media sosial dengan cara berhemah dan positif.

Penulis Wartawan Hiburan Harian Metro

Disiarkan pada: June 24, 2020 @ 7:00am
d