rencana

'Jagalah' tepi kain orang

Oleh Noor Mohamad Shakil Hameed

TATKALA semua tumpuan terarah kepada usaha mengawal dan menangani serangan wabak Covid-19, jangan kita ambil mudah atau abaikan ancaman wabak pembuangan bayi dalam kalangan anggota masyarakat.

Sejak kebelakangan ini, kes buang bayi dilihat semakin menjadi-jadi dan sepatutnya menyedarkan kita betapa virus lama ini masih terus mengancam masyarakat kita.

Sebagai peringatan bersama dan untuk melihat betapa seriusnya ancaman wabak buang bayi dalam masyarakat, mari kita imbas kembali beberapa kes buang bayi yang direkodkan dalam tempoh tiga bulan ini.

Pada 16 Julai lalu seorang bayi perempuan yang masih bernyawa dan bertali pusat dijumpai di dalam sebuah tong sampah di Pasar Kampung Teluk Ketapang, Kuala Nerus, Terengganu

Pada 10 Julai, seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan maut dicampak oleh ibunya seorang pelajar kolej dari tingkap tingkat 13, Pangsapuri Sri Ivory, Air Itam.

Pada 7 Jun, polis menemukan cebisan tubuh seorang bayi lelaki dalam lubang kumbahan najis di Kampung Kandang, Ayer Keroh, Melaka

Pada 13 Mei seorang pembantu kedai tergamak mencampak bayi perempuannya yang baharu dilahirkan dari tingkat empat rumah didiaminya di Flat Persiaran Mayang Pasir 5, Bayan Baru dekat Georgetown.

Pada 10 Mei pula, pihak berkuasa menemukan seorang bayi lelaki di tempat duduk di pondok rehat di sebuah surau di Batu Rakit, Kuala Nerus, Terengganu dan banyak lagi kes buang bayi yang sudah direkodkan sebelum itu lagi.

Misalnya, berdasarkan statistik yang dikumpulkan pihak berkuasa seperti polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 945 kes buang bayi direkodkan di seluruh negara bagi tempoh 2010 hingga 2018. Apakah data ini belum cukup menggerunkan? Walaupun tangkapan demi tangkapan dibuat serta pelaku juga dijatuhkan hukuman, namun jelas sekali trend kes terus meningkat.

Ini menunjukkan masih banyak lagi ruang kelemahan dalam masyarakat yang perlu ditangani supaya anak-anak ini dapat diselamatkan. Cukuplah pelbagai alasan klise yang didengar dari orang yang sanggup buang bayi ini seperti mengandung anak luar nikah, takut dimarahi keluarga, masalah kewangan atau keluarga serta belum bersedia.

Masyarakat perlu sedar, ia adalah masalah sosial yang cukup serius kerana majoriti pasangan yang terlibat dalam kes buang bayi ini adalah golongan remaja dan belia sekali gus mencerminkan tahap kecelaruan masalah sosial dalam kalangan kelompok ini.

Oleh itu, anggota masyarakat perlu memainkan peranan lebih agresif bagi membantu memerangi wabak dan penyakit sosial yang serius ini. Kita tidak boleh meletakkan tanggungjawab untuk menangani masalah ini sepenuhnya di atas bahu pihak berkuasa atau agensi kerajaan tertentu semata-mata kerana punca utama di peringkat akar umbi adalah datang dari ibu bapa, keluarga dan masyarakat.

Penulis percaya jika ibu bapa, ahli keluarga dan anggota masyarakat dapat memainkan peranan yang sepatutnya, kita boleh mengatasi masalah kecelaruan sosial ini dengan lebih berkesan. Ibu bapa misalnya perlu sentiasa memantau gerak geri, aktiviti serta pergaulan anak di luar rumah.

Hakikatnya, hari ini institusi kekeluargaan dilihat sangat rapuh dan longgar. Anak-anak remaja, misalnya termasuk perempuan begitu mudah keluar rumah terutama pada waktu malam dengan kenalan lelaki. Persoalannya, di mana elemen kawalan dari ibu bapa dan kenapa begitu mudah membiarkan anak keluar sesuka hati tanpa aturan disiplin yang baik.

Ibu bapa juga perlu memberi perhatian yang serius terhadap perkembangan Internet dan media sosial yang dilihat semakin menjadi musuh dalam selimut kepada generasi muda negara ini. Golongan belia nampaknya sangat mudah terpengaruh dengan pelbagai aplikasi komunikasi seperti Facebook dan WeChat yang menjadi medan perkenalan dan perhubungan sehingga berakhir dengan tragedi.

Kita harap ibu bapa juga sentiasa memantau aktiviti anak-anak dalam media sosial. Bagi pasangan ibu bapa muda pula jangan lupa berkaitan tanggungjawab mendidik dan mengasuh anak-anak menjadi manusia yang berguna dan bertanggungjawab kelak.

Sediakanlah bekalan yang mencukupi terutama dari segi ilmu agama supaya ia menjadi panduan kehidupan mereka. Walau sibuk macam mana sekalipun jangan kita abaikan tanggungjawab terhadap anak. Alasan terlalu sibuk mencari rezeki untuk keluarga tidak boleh digunakan lagi kerana apa guna ada duit yang banyak jika keluarga porak peranda dan anak-anak terabai serta tidak menerima didikan yang sewajarnya sebagai bekalan untuk meniti kehidupan masa depan mereka.

Masih belum terlambat untuk didik anak-anak untuk menjadi manusia yang berguna dan bertanggungjawab bila membesar kelak. Pada masa sama, anggota masyarakat juga perlu terbabit sama dalam usaha menangani wabak sosial ini.

Tidak salah untuk kita menjaga tepi kain orang dalam hal seperti ini asalkan niat kita baik. Ahli komuniti perlu sentiasa cakna dan prihatin dengan apa yang berlaku di sekililing mereka. Janganlah sampai masalah besar yang berlaku di rumah sebelah pun kita tidak tahu.

Perkara ini sangat signifikan kerana dalam kebanyakan kes buang bayi apabila pihak berkuasa menyoal siasat jiran, didapati mereka tidak tahu menahu jiran mereka mengandung dan membuang bayi. Ini suatu sitausi yang cukup menyedihkan kerana masih ramai yang tidak dapat membudayakan konsep hidup bermasyarakat.

Ringkasnya aspek pemerkasaan masyarakat perlu dititikberatkan supaya kita dapat melahirkan komuniti yang prihatin, bertanggungjawab dan saling bantu membantu. Cukuplah kes buang bayi yang berlaku dan mari kita letak titik noktah untuk wabak sosial ini.

Masalah pembuangan bayi ini bukan lagi isu terpencil atau sampingan yang boleh diabaikan begitu saja. Ia membabitkan masa depan generasi pewaris negara kita, maka jangan biarkan masalah ini terus membelenggu masyarakat dan negara kita.

Penulis Pentadbir di Universiti Awam dan Penganalisis Isu Semasa

Disiarkan pada: July 21, 2020 @ 6:59am
d