rencana

Jangan buat perangai!

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

PEMAKAIAN pelitup muka bukan asing bagi kita terutama dalam normal baharu kesan pandemik Covid-19.

Jika sebelum ini orang awam menggunakan pelitup muka saat jerebu menyelubungi langit Malaysia namun kini ia digunakan untuk memastikan tiada titisan dari percakapan, batuk atau bersin disebarkan di udara atau permukaan yang mungkin menyebabkan virus Covid-19 terus tersebar.

Rakyat Malaysia dilihat patuh dengan saranan kerajaan untuk menggunakan pelitup muka jika berada di tempat awam, namun beberapa minggu kebelakangan ini ramai mula mengambil mudah pemakaian perlindungan berkenaan.

Tidak pasti apa puncanya, mungkin semakin selesa kerana jumlah kes jangkitan baharu semakin berkurangan dan menganggap itu petanda virus ini semakin hilang dari bumi Malaysia.

Tetapi, minggu ini menyaksikan kes jangkitan tempatan meningkat ke dua angka dan ia mencetuskan kebimbangan. Malah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 20 Julai lalu mengingatkan orang ramai supaya terus memakai pelitup muka apabila keluar rumah.

Kita harus bersyukur kerana di Malaysia tiada gerakan antipelitup muka yang menghasut orang awam untuk tidak mengenakan perlindungan berkenaan.

Di Amerika Syarikat (AS), wujud satu gerakan yang mana mereka menganggap pemakaian pelitup muka ini sebagai menyekat kebebasan individu dan ada mengatakan pemakaian pelitup itu sebagai satu kesan plasebo untuk mengatakan si pemakai tidak akan dijangkiti virus.

Menurut laporan WTHR, di Indianapolis, penyokong gerakan antipelitup muka masih mengenakan penutup hidung dan mulut namun, ia tidak mengikut piawaian ditetapkan.

Ia bermakna, golongan ini memakai penutup muka dan hidung untuk menentang pelaksanaan pemakaian pelitup muka.

Sungguh ironi. Namun mereka memberi alasan bahawa ia hanya untuk mengikut arahan pihak berkuasa dan bukan kerana mahu melindungi diri daripada Covid-19.

Pengarah bahagian pencegahan penyakit di Ascension St Vincent Hospital, Dr Christopher Belcher berkata, kumpulan ini berhak menentang penggunaan pelitup muka namun, tidak seharusnya meletakkan individu lain dalam bahaya.

"Saya tidak peduli jika mereka mahu menentang saranan ini, tapi pastikan mereka memakai pelitup muka. Ia untuk melindungi orang lain," katanya.

The Sun melaporkan, berdasarkan undian dijalankan Global Strategy Group, hampir satu daripada lima rakyat AS mengakui mereka antipelitup muka.

Amerika Syarikat kini mencatatkan lebih empat juta kes jangkitan dengan lebih 140,000 kematian.

Angka jangkitan baharu direkodkan setiap hari melebihi 60,000 kes.

Di United Kingdom, di saat kerajaan Britain menggesa pemakaian pelitup muka di tempat awam, makin ramai tampil menentang arahan itu.

Terdapat teori konspirasi yang mengatakan memakai pelitup muka menjejaskan jumlah oksigen dalam darah.

Namun, teori ini disangkal dengan mudah oleh mereka yang saban hari mengenakan pelitup muka walaupun bukan ketika Covid-19 iaitu golongan doktor.

The Sun melaporkan, ada beberapa doktor merakam video mereka mengenakan pelitup muka pembedahan sambil mengukur tahap oksigen dalam darah.

Doktor bedah, Dr Joshua Wolrich berkata, pelitup muka tidak akan menyebabkan jumlah oksigen berkurangan.

"Ia fakta perubatan yang salah. Jangan mereka-reka cerita dan jangan dengar kata-kata mereka yang mengada-adakan cerita," katanya.

Bermula 1 Ogos ini, kerajaan Malaysia mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam dan orang ramai boleh didenda RM1,000 mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sekiranya gagal mematuhi peraturan terbaharu itu.

Patuhilah arahan dan saranan pihak berkuasa.

Jangan buat perangai 'palatau'. Semua perkara nak dibangkang, semua benda nak dihalang.

Jika diarahkan jalani kuarantin, buat saja. Jangan ke mana-mana.

Teringin sangat makan apa-apa boleh minta abang Foodpanda hantarkan. Minta mereka tinggalkan saja depan pintu, tak perlu tunjuk mesra nak bersalam pula.

Semoga Allah pelihara kita daripada gelombang Covid-19 yang lebih dahsyat.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Disiarkan pada: July 25, 2020 @ 6:59am
d