rencana

Rahmat buat industri seni

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PENGGIAT seni kita beruntung kerana mempunyai kerajaan yang begitu prihatin dengan nasib mereka.

Rasanya tidak ada kerajaan lain di dunia sebaik ini yang betul-betul menjaga kebajikan penggiat seni seperti di Malaysia.

Sebelum ini, kesukaran hidup penggiat seni sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 mendapat perhatian segera Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila pada 5 Jun lalu mengumumkan bantuan khas RM225 juta untuk sektor seni, budaya dan hiburan.

Biarpun ada cakap-cakap mengatakan bantuan ini hanya menguntungkan segelintir pihak tertentu, sekurang-kurangnya kerajaan membuktikan mereka sudah buat apa yang termampu.

Selain itu, keluhan penerbit, pengarah dan pelakon turut didengari kerajaan apabila memberikan kebenaran untuk penggambaran drama, filem dan iklan pada 10 Jun lalu.

Ia ibarat satu rahmat besar kerana golongan terbabit dapat membuktikan bahawa mereka mahu mencari wang menggunakan tulang empat kerat dan bukan mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata.

Kalau ada yang mengikuti perkembangan seni hiburan kita sebelum ini, tentunya tahu berkenaan 'perang dingin' membabitkan segelintir penggiat seni dan warganet.

Ia sebenarnya hanya salah faham dan kes terpencil.

Hakikatnya penggiat seni terbabit mahu membela nasib rakan mereka terdiri daripada pekerja belakang tabir yang amat susah kerana pendapatan mereka mengikut hari bekerja.

Ia diakui kerajaan apabila menggerakkan bantuan menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dengan memperuntukkan RM40 juta bagi membantu menggerakkan dan memperkasakan semula industri kreatif yang terjejas sebelum ini.

Ia disalurkan melalui inisiatif Dana Kandungan Digital (DKD) daripada Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang menjadi sebahagian daripada program Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri (Pelaksana).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah sendiri turun padang melancarkan Pelaksana membuktikan bahawa dia mahu melihat industri seni bangkit semula.

Malah, dia menyasarkan tempoh enam bulan iaitu dari Julai lalu hingga Disember depan bagi melihat manfaat bantuan ini.

"Apabila penggambaran bermula, kru belakang tabir sudah mula mengecapi nikmat daripada elaun yang diberikan kepada mereka.

"Apabila kita menghasilkan sesuatu produksi, ia juga mesti ditayangkan. Itu sebabnya perlu ada kerjasama dengan stesen televisyen, pemamer dan sebagainya," katanya yang turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman empat stesen televisyen iaitu Media Prima, Astro, TV Alhijrah dan RTM dengan Finas.

Penulis menghargai usaha Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid yang cepat buat kerja kerana sudah mengenal pasti 23 syarikat produksi yang layak diberi bantuan.

Bukan kecil anak jumlah yang diperuntukkan iaitu RM7.8 juta dan khabarnya dengan bantuan ini, ada yang sudah memulakan kerja penggambaran.

Pecahan bantuan diagih secara menyeluruh membabitkan pelbagai program seperti telefilem, drama bersiri, majalah dan program hiburan.

Menerusi cara ini juga, tiada lagi unsur monopoli sesuatu produksi di stesen TV kerana pemantauan dilakukan Finas.

Contohnya, jika produksi A mendapat tawaran daripada Media Prima, dia tidak dibenarkan mengambil tawaran di stesen lain.

Kerjasama dengan stesen TV dibuat kerana hanya mereka tahu syarikat produksi mana yang boleh buat kerja.

Dan jika ada yang cuba ambil kesempatan daripada bantuan ini, Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, pihaknya tidak ragu-ragu akan mengambil tindakan tegas.

Penulis sokong kenyataan Ahmad Idham kerana perkara begini sudah kerap kali berlaku.

Tidak kira walaupun kawan rapat waima ada ikatan kekeluargaan pun, tindakan perlu diambil jika langgar peraturan.

Seperkara lagi, penggiat seni daripada kalangan pemuzik pula jangan cemburu terhadap kalangan penerbit, pengarah dan pelakon.

Ini kerana Ahmad Idham sendiri mengakui Finas mahu mempelbagaikan program yang diterbitkan melalui bantuan berkenaan.

Menerusi cara ini, tidak hanya telefilem atau drama semata-mata yang dihasilkan.

Sebaliknya, program berbentuk hiburan juga akan dihasilkan, sekali gus membuka ruang rezeki untuk penyanyi dan komposer.

Penulis Wartawan Hiburan Harian Metro

Disiarkan pada: August 5, 2020 @ 5:59am
d