rencana

Iktibar Asri Janggut

Oleh Nadir Al-Nuri

UNDANG-UNDANG adalah satu keperluan utama di dalam kehidupan manusia. Tanpa undang-undang kehidupan akan menjadi cacamarba dan tidak bersistem. Cantiknya falsafah undang-undang ini di dalam Islam, ia bertujuan memberi keadilan kepada semua, memelihara lima perkara asas iaitu agama, nyawa, akal fikiran, maruah dan harta benda serta bersifat mendidik dan mencegah bukan menghukum untuk menyakitkan.

Saya teringat di dalam kelas pengajian undang-undang Islam di Universiti Islam Gaza, pensyarah kami bercerita bagaimana susahnya hukum hudud yang selalu menjadi momokan dan bahan menakutkan masyarakat berkaitan Islam begitu susah hendak dilaksanakan sehinggakan pada zaman Rasulullah SAW sangat sedikit pengikut yang dijatuhkan hukuman hudud.

Islam tidak semudah 'alif ba ta' menjatuhkan hukuman rejam sampai mati dan sebat, malah kalau diteliti, undang-undang konvensional lebih cepat menghukum.

Ini disebabkan falsafah syumul dalam perundangan Islam termasuk sifatnya yang kekal atau 'thabit' dan hukum yang lentur atau 'murunah'. Ia bukan 100 peratus kitab suci yang tidak boleh tidak, mesti dituruti. Malah, undang-undang boleh dibentuk mengikut waqi' dan keperluan semasa dan ada satu contoh yang menarik yang berlaku ke atas saya di Gaza berhubung isu ini.

Beberapa tahun lalu, saya memandu di Gaza menggunakan lesen memandu Malaysia. Ia pastinya tidak diterima oleh pihak berkuasa tempatan walaupun kadangkala boleh digunakan di negara luar seperti Eropah. Saya dinasihatkan supaya membuat lesen antarabangsa dan sebaik pulang bercuti di Malaysia, saya tidak bertangguh dan melakukan apa yang perlu.

Buat masa beberapa bulan, lesen antarabangsa saya di Gaza 'laku'. Tetapi, sebulan dua terakhir ini, apabila saya ditahan di checkpoint polis, saya dimaklumkan bahawa lesen antarabangsa tidak lagi boleh digunakan di Gaza. Puas juga bertekak kenapa lesen yang diiktiraf oleh puluhan negara lain yang maju dan berstruktur tidak boleh digunakan di sini.

Walaupun saya tidak pernah ditangkap dan dihukum kerana merupakan 'wakil penduduk Malaysia tunggal di Gaza', ia menimbulkan tanda tanya.

Saya lalu mencari jawapan dan akhirnya dimaklumkan rakan polis bahawa masalah lesen antarabangsa ialah ia boleh dibuat oleh perisikan Zionis. Maka apabila perisik masuk ke Gaza dan diminta memberikan kad pengenalan, mereka mampu berbuat demikian kerana kad pengenalan dikeluarkan oleh mereka.

Tetapi, apabila diminta menunjukkan lesen memandu, mereka tidak mempunyai lesen kerana ia dikeluarkan dari Gaza. Justeru, lesen antarabangsa menjadi alternatif untuk mereka memalsukan identiti, lalu dengan sebab keselamatan ia tidak lagi dibenarkan di Gaza.

Pokoknya, undang-undang manusia boleh diubah dan dilentur dan cantiknya undang-undang ini dilenturkan untuk meraikan maslahat manusia, khususnya maslahat am rakyat.

Oleh sebab itu, apabila video insan yang diberi jolokan Asri Janggut tular beberapa hari lalu, banyak pandang sisi perlu diteliti. Dari sisi kebenaran berniaga, secara peribadi saya melihat kebenaran berniaga bagi peniaga kecil di jalanan sebahagian 'murunah' yang boleh dilenturkan dalam keadaan ekonomi yang gawat, asalkan tidak mengganggu maslahat am yang lebih besar dari aspek keselamatan dan kebersihan.

Begitu juga apabila serbuan dibuat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sehingga memaksa begitu banyak kedai, kilang dan peniaga membungkus perniagaan masing-masing dalam tempoh tidak logik 24 jam saja, ia juga sepatutnya boleh dilenturkan dengan memberi tempoh yang lebih panjang atau mengenakan syarat yang lebih ketat untuk beroperasi.

Seperti yang disebutkan ia bukan hukum rigid yang tidak ada budi bicara. Zaman ini adalah zaman kuasa netizen. Tindakan yang diambil pihak berkuasa, yang bertugas untuk menjaga maslahat am memerlukan perincian dan langkah yang berhati-hati.

Generasi baru kini sudah pandai memilih, mereka bukan lagi kelompok buta yang hanya pandai setia membabi-buta, tetapi menilai dan mengukur siapa yang lebih ke depan mengangkat dan membela kepentingan mereka.

Penulis rakyat Malaysia tunggal di Gaza dan pengasas NGO Cinta Gaza Malaysia serta Wisma Malaysia Palestin. Sumbangan secara terus kepada penduduk Gaza boleh disalurkan melalui akaun rasmi NGO Cinta Gaza, Maybank 564810507826

Disiarkan pada: August 15, 2020 @ 9:44am
d