rencana

Signifikan laungan Tunku

Oleh minda

KEBEBASAN boleh dibayangkan seperti seorang berehat dan duduk santai di kerusi malas di bawah teduhan pokok yang rendang di tepi pantai sambil menikmati angin yang semilir selain minda menerawang memerhati alam terbentang luas.

Kita perlu berhenti daripada hidup sekadar memuaskan orang lain dan sewajarnya memiliki jati diri dan cuba hidup di dalam skrip atau jalan cerita sendiri dan abaikan apa jua persepsi serta tanggapan orang terhadap kita.

Kebebasan itu punya keterbatasan dan tidak ada kebebasan atau kemerdekaan hakiki kerana hidup dalam kelompok manusia memang terikat dengan peraturan dan pantang larang apatah lagi jika ia disorot dari sudut agama yang ada baik atau buruk, dosa atau pahala serta halal atau haram.

Oleh itu, jika bercakap berkaitan kemerdekaan negara, tidak boleh lupa sejarah yang membelenggu tanah air sejak zaman kejatuhan Melaka di tangan Portugis pada 1511, diikuti Belanda dan Inggeris sebagai penjajah paling lama.

Patriotisme atau sayangkan tanah air adalah perjuangan menjiwai kepentingan bangsa dan negara, usaha mengekalkan semangat juang yang tinggi, mendaulatkan kedudukan, status serta pengaruh bangsa dan negara seharusnya dimulakan di peringkat pendidikan awal di sekolah rendah serta menengah.

Kita mesti bersyukur selain menghayati erti sebenar kemerdekaan dan mengimbau kembali perjuangan pemimpin terdahulu kerana atas perjuangan mereka, kemerdekaan dapat dicapai serta dinikmati rakyat Malaysia hari ini.

Patriotisme juga perjuangan yang menjiwai kepada kepentingan bangsa dan negara, setiap rakyat cintakan negara ini mesti mengakui Malaysia adalah tanah tumpah darah yang tiada negara lain seaman serta semakmur Malaysia.

Nilai patriotisme yang patut diterapkan dalam hati dan jiwa generasi muda seperti kesetiaan, keberanian, rela berkorban, kesukarelawanan, cintakan bangsa serta negara perlu dipertingkatkan bagi mewujudkan rakyat patriotik lagi bertanggungjawab kepada bangsa serta negara.

Erti kemerdekaan begitu sinonim dengan maksud bebas daripada penjajahan, namun perlu diingatkan perkara utama yang perlu dibebaskan terlebih dulu oleh setiap individu adalah merdekakan diri daripada jajahan hawa nafsu, minda merdeka dan kita menjadi warga prihatin.

Tidak benar jika dikatakan kemerdekaan diraih dengan mudah tanpa menitiskan darah sedangkan realitinya usaha menggarap kemerdekaan oleh nenek moyang melalui wira tidak didendang dan ada yang tidak pernah dengar nama mereka.

Walaupun dijajah Inggeris, peranan mempertahankan tanah air terpikul di atas bahu perajurit negara apabila Jepun mendarat di Pantai Padang Pak Amat, Kota Bharu, Kelantan sejurus selepas tengah malam 8 Disember 1941. Ia mencetuskan pertempuran hebat di antara tentera India British dan tentera Jepun, hanya sejam sebelum serangan Pearl Harbor.

Pertempuran itu adalah detik rasmi permulaan Perang Pasifik dan permulaan sejarah pendaratan Jepun di Tanah Melayu dengan British terpaksa berundur, bergerak serta menawan lapangan terbang Kota Bharu. Pada masa sama, Jepun menyerang Singapura, Hong Kong dan Pelabuhan Pearl.

Pada 10 Disember 1941, kapal tempur HMS Prince of Wales dan HMS Repulse bergerak di persisiran timur Tanah Melayu menuju ke arah tempat pendaratan Jepun yang dilaporkan di Kuantan namun kekurangan perlindungan udara kedua-dua kapal ini memudahkan pesawat Jepun menyerang secara bergelombang sehingga berjaya menenggelamkan kedua-dua kapal berkenaan.

Pertempuran berlanjutan sehingga 18 Januari dan di sebalik cubaan Batalion ke-19 dan ke-29, Garis Pertahanan Johor roboh dan pihak Berikat terpaksa berundur menyeberangi Tambak Johor ke Singapura. Menjelang 31 Januari 1942, keseluruhan Tanah Melayu jatuh ke tangan Jepun manakala Singapura menyerah kalah pada 14 Februari 1942.

Kerajaan British mengisytiharkan darurat di Tanah Melayu pada 16 Jun 1948 berikutan pembunuhan tiga pengurus estet berbangsa Eropah di Sungai Siput, Perak oleh pengganas komunis. Tempoh darurat itu berlangsung selama 12 tahun iaitu daripada 1948 hingga 1960 adalah titik hitam dalam sejarah negara yang perlu dijadikan renungan generasi kini.

Hakikatnya, era darurat zaman perjuangan mencabar bagi rakyat yang masih di bawah pemerintahan British untuk mengharungi saat getir menghadapi ancaman pengganas komunis iaitu tidak lama setelah Tanah Melayu dijajah Jepun yang turut menyedarkan perjuangan untuk mencapai kemerdekaan.

Ancaman komunis di negara ini bermula pada 1948 hanya berakhir dengan termeterainya Perjanjian Damai (Perjanjian Haadyai) pada 2 Disember 1989 ditandatangani antara Parti Komunis Malaya (PKM), kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand walaupun diisytihar tamat pada 1960.

Tahun 1948 hingga 1960 adalah zaman yang sukar bagi penduduk Tanah Melayu, justeru darurat sepanjang tempoh 12 tahun itu berlaku akibat persengketaan antara PKM dengan British dan PKM diharamkan sebulan selepas pengisytiharan darurat itu.

Sepanjang tempoh darurat, banyak pertempuran berlaku antara tentera British yang dibantu beberapa rejimen Askar Melayu, tentera dan angkatan udara Komanwel seperti tentera Gurkha, Fiji, Rhodesia (sebuah negara di Afrika Selatan), Tentera Udara Diraja New Zealand (RNZAF) dan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) dengan pihak komunis.

Pelbagai langkah diambil pihak berkuasa sepanjang tempoh darurat termasuk operasi Gerak Perang Saraf (Psychological Warfare) yang mempunyai matlamat serampang dua mata iaitu 'memenangi hati dan minda rakyat' (Hearts and Minds) dan 'melemahkan segala usaha yang dilaksanakan musuh.'

Daripada rentetan sejarah ringkas dipaparkan jelas sekali liku perjuangan ke arah kemerdekaan bukanlah semudah menurunkan tangan dan turunnya bendera Union Jack pada jam 12 tengah malam 31 Ogos 1957.

Laungan keramat Merdeka oleh Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 31 Ogos 1957 begitu signifikan dan perlu diambil iktibar oleh generasi merdeka yang tidak berpeluang menyaksikan peristiwa bersejarah itu namun ruh kemerdekaan itu perlu dihidupkan dan berusaha untuk memenuhi pengisiannya.

Penulis bekas Pegawai Perhubungan Akhbar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kementerian Pertahanan

Disiarkan pada: August 20, 2020 @ 7:01am
d