rencana

Cengkaman makin menjerut

Oleh Nadir Al-Nuri

MINGGU lalu umat Islam menyambut Awal Muharam yang menandakan tahun hijri baru. Walaupun tidak menjadi budaya di dalam Islam untuk meletakkan azam kerana penambahbaikan dituntut setiap waktu, pastinya tidak salah untuk kita menjadikan tarikh itu sebagai lonjakan memulakan sesuatu yang baru atau mengubah hidup menjadi lebih baik.

Bertepatan dengan tarikh Awal Muharram, saya mula membaca sebuah buku bertajuk The Happiness Project yang dikarang penulis Gretchen Rubin. Penulis cuba menjalankan projek untuk memaksa diri menjadi lebih bahagia dengan merubah aspek kecil dalam hidup setiap bulan, bermula hubungan dengan pasangan, menaik taraf kesihatan diri, memotivasi cita-cita di tempat kerja dan seterusnya.

Kajian mutakhir berkaitan kebahagiaan menunjukkan bahawa 50 peratus rasa bahagia berasal daripada genetik, 10-20 peratus berasal umur, jantina, etnik, status perkahwinan, pendapatan, taraf kesihatan, pekerjaan dan kekuatan beragama sedang bakinya adalah daripada cara kita berfikir dan bertindak.

Ini bermakna bagaimana kita berfikir dan bagaimana kita bertindak memberi kesan besar kepada rasa bahagia, justeru, mempunya mindset dan memaksa diri bertindak bertentangan rasa kecewa dan depresi akan menjadikan perasaan lebih baik.

Pernah tak anda berasa hendak demam, tetapi ia dilawan dengan bangkit dan memaksa diri melakukan kerja lalu tiba-tiba demam kebah? Bagaimana, pula kalau rasa hendak demam dilayan dengan berbaring di atas katil dan mengerang sakit kepala dan panas badan? Pastinya sakit akan lebih teruk dan menyebabkan kita terlantar kepenatan walaupun demam tak seberapa. Kata orang putih, you are what you feel dan you are what you act.

Di dalam Islam pula, perbuatan memaksa diri untuk khusyuk dan menjiwai ibadah juga ada walaupun terpaksa berpura-pura. Kita diajar untuk membaca ayat-ayat al-Quran berkenaan peringatan seksa dan azab neraka dengan keras dan membaca ayat taubat dengan lembut, malah memaksa diri menangis di dalam solat. Maka dengan tidak sengaja khusyuk akan datang dan rasa dekat dengan Pencipta akan bertambah.

Secara peribadi, saranan saya ialah kita menjadi lebih cakna pada tahun baru hijri ini. Ia tak perlu sampai ke tahap menjadi sukarelawan dan membeli tiket sehala 'pergi tak kembali' ke Palestin, Yaman atau Syria.

Ia juga tak perlu sampai ke tahap menjual semua harta untuk disumbang kepada pelarian Rohingya, tetapi cukup dengan memulakan usaha kecil seperti membelikan untuk anak bahan bacaan sejarah Palestin atau mewajibkan diri membelek berita antarabangsa setiap hari.

Di Gaza, tahun baru disambut dengan penuh hiba. Bermula dengan kepungan penjajah yang semakin bertambah teruk saban hari sehingga bahan binaan dan bahan bakar tidak dibenarkan lagi masuk ke sini.

Nelayan dihalang daripada keluar mencari rezeki, malah dihalau bot Zionis yang dilengkapi machine gun sekiranya berani untuk membelah lautan. Elektrik hanya ada selama empat jam sehari dan kilang serta hospital berdepan krisis yang tiada penghujung.

Kemudian penjajah mula membalas dendam akibat belon berapi yang dilepaskan ke tanah jajahan mereka oleh pemuda Palestin sebagai langkah terakhir menuntut hak mereka. Sebagai balasan ke atas belon, penjajah membedil bumi Gaza setiap malam dengan roket dari pesawat perang F15 dan F35, sehingga akhirnya empat orang pemuda syahid terkorban beberapa hari lalu.

Mutakhir, Gaza diuji pula dengan penemuan kes positif Covid-19 dalam kalangan penduduk walaupun sebelum ini hanya menjangkiti penduduk yang kembali dari luar dan berada di dalam pusat kuarantin. Ya, di kala kes Covid-19 di dunia mula reda, Gaza baru berdepan dengan ancaman ia merebak dengan luas sedang bumi kecil ini tidak mempunyai kelengkapan perubatan mencukupi, malah tidak mempunyai simpanan wang negara berbilion untuk menyelamatkan periuk nasi penduduknya yang merana.

Hanya doa yang mampu kami panjatkan dan ihsan daripada mereka yang masih punya rasa kasihan.

Penulis adalah rakyat Malaysia tunggal di Palestin. Beliau boleh dihubungi melalui WhatsApp +60135132140 untuk pertanyaan dan kerjasama. Salurkan sumbangan ke Tabung Kecemasan Covid-19 melalui akaun Persatuan Cinta Gaza Malaysia Maybank 564810507826

Disiarkan pada: August 31, 2020 @ 5:59am
d