rencana

Harris bikin Trump bungkam

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

Pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS) kini memasuki pusingan kedua apabila kedua-dua parti, Republikan dan Demokrat masing-masing sudah mengumumkan calon.

Donald Trump, 74, selaku calon Parti Republikan bakal mempertahankan jawatan itu untuk penggal kedua manakala Demokrat pula mempertaruhkan Joe Biden, 77.

Sudah menjadi resmi calon presiden untuk memperkenalkan gandingan mereka sebagai naib presiden jika dilantik menggalas tugas sebagai pemimpin nombor satu negara itu.

Trump memilih Mike Pence, 61, yang juga penyandang jawatan naib presiden. Biden pula mengumumkan Senator Kamala Harris sebagai gandingannya.

Dalam pemilihan Presiden AS, gandingan calon presiden dan calon naib presiden ini digelar sebagai ticket. Dalam bahasa mudahnya, ia seperti gandingan atau pakej supaya pengundi dapat mempertimbangkan presiden dan calon presiden yang mereka mahukan untuk memimpin negara.

Pemilihan wanita sebagai calon naib presiden bagi Demokrat tidak mengejutkan ramai pihak. Ini kerana perkara itu pernah dinyatakan oleh Biden. Namun, nama individu berkenaan sebelum ini masih 'samar-samar' berikutan ada beberapa calon wanita yang dianggap layak untuk menjadi gandingan Biden.

Hanya pada Konvensyen Kebangsaan Demokrat di Milwaukee, Wisconsin, bulan lalu, nama Harris, 55, diumumkan secara rasmi sebagai calon naib presiden. Ia seakan memberi 'udara segar' kepada pemilihan presiden AS.

Jika Biden menang, Harris akan melakar sejarah dengan pelbagai rekod baharu bagi negara itu. Beliau akan menjadi wanita pertama menjadi naib presiden. Beliau sekali gus bakal menjadi naib presiden pertama bukan berkulit putih di negara itu.

Harris adalah anak imigran dengan bapanya berasal dari Jamaica dan ibunya dari India.

Sebelum ini, ada dua wanita pernah dicalonkan sebagai naib presiden mewakili parti utama. Ia termasuk calon parti Demokrat, Geraldine Ferraro pada 1984 dan Sarah Palin (parti Republikan), pada 2008.

Bagaimanapun, kedua-duanya tewas. Selain itu, Hillary Clinton adalah wanita yang menjadi calon presiden mewakili Demokrat, tetapi kalah kepada Trump pada 2016.

Namun, pencalonan Harris memberi harapan AS berpeluang mempunyai presiden pertama dalam kalangan wanita. Berdasarkan pemerhati politik dan media utama negara itu, jika Biden terpilih sebagai presiden, beliau menjadi individu tertua pernah dilantik ke jawatan itu.

Sehubungan itu, kebanyakan pemerhati berpendapat Biden mungkin tidak akan berkhidmat untuk penggal kedua, sebaliknya akan 'melatih' dan mempersiapkan Harris sebagai calon presiden mewakili Demokrat pada pemilihan presiden seterusnya.

Media juga berpendapat Harris adalah pertaruhan terbaik menjadi gandingan Biden dan sebagai calon harapan untuk presiden masa depan. Ini berdasar latar belakang yang bukan calang-calang.

Untuk rekod, beliau wanita kulit hitam pertama menjadi peguam negeri California. Selain itu, wanita berkulit hitam kedua dan yang pertama berketurunan Asia Selatan terpilih sebagai ahli Senat AS.

Justeru, bersandarkan rekod cemerlangnya dalam Kongres (di Malaysia, ia adalah Parlimen), Harris dilihat gandingan terbaik untuk menjawat jawatan naib presiden.

Pertamanya, kerana beliau memang berhasrat untuk menjadi presiden. Harris sebelum ini menjadi pesaing Biden untuk calon presiden bagi mewakili Demokrat.

Bagaimanapun, wanita ini kemudian menarik diri daripada pemilihan peringkat parti sebelum menyatakan sokongan kepada Biden.

Pemilihan Harris juga memberikan kelebihan kepada kempen Biden kerana wanita itu dijangka dapat menarik pengundi muda dan wanita termasuk penduduk luar bandar yang tidak sukakan Trump.

Ia turut dilihat meraikan kepelbagaian dalam masyarakat apabila gandingan presiden adalah calon wanita dan bukan berkulit putih.

Pada masa sama, rakyat negara itu sudah dapat membayangkan hala tuju mengenai dasar negara itu, menerusi beberapa penampilan Harris.

Setakat ini, beliau melakukan tugas yang baik dalam menjelaskan pandangannya mengenai isu penting seperti insurans kesihatan, peruntukan untuk polis, imigresen dan undang-undang senjata api.

Selain itu, Harris juga amat menentang pandangan Trump berhubung perang perdagangan dengan China.

Paling utama, pemilihan Harris sebagai calon Demokrat menyebabkan Trump tiada 'modal' untuk berkempen. Ia sudah menjadi taktik popular presiden AS itu untuk menyerang keperibadian pesaingnya seperti dihadapi Hillary pada pemilihan presiden 2016.

Jika wanita lain sebagai calon presiden, kempen kem Biden mungkin terpaksa ditumpukan kepada usaha untuk mematahkan pelbagai dakwaan semborono yang keluar daripada mulut Trump.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Disiarkan pada: September 19, 2020 @ 7:45am
d