rencana

M40 dan T20 lebih diutama?

Oleh Prof Madya Dr Muhammad Ridhwan Ab Aziz

Perbankan Islam yang menjadi wadah utama umat Islam melakukan transaksi kewangan patuh syariah tidak sepi daripada sebarang kritikan sejak awal penubuhannya sehingga kini.

Ada kritikan yang dirasakan wajar bagi kesinambungan dan perkembangan yang lebih positif bagi industri perbankan Islam di negara ini.

Tidak kurang juga tohmahan liar dilemparkan akibat salah faham segelintir pihak berkaitan objektif dan operasi perbankan Islam.

Namun, sewajarnya perkataan Islam yang ada pada namanya perlu seiring label digunakan supaya ia tidak disalahertikan dan perlu menggambarkan kesucian Islam itu sendiri.

Keadaan ini penting terutama dalam menangani pasca Covid-19 yang penuh pelbagai cabaran semasa.

Sesiapa saja tidak dapat menafikan berkaitan peranan dan sumbangan besar yang dimainkan industri perbankan Islam kepada umat Islam negara ini sehingga saiz aset perbankan Islam tempatan dijangka mencapai 40 peratus daripada pegangan pasaran menjelang akhir tahun ini.

Sumber daripada Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) menjangkakan saiz aset perbankan Islam akan mencapai separuh daripada aset keseluruhan industri perbankan di negara ini menjelang 2030.

Ini menggambarkan betapa industri perbankan Islam diterima dengan baiknya majoriti rakyat di negara ini yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan patuh syariah yang menjadi alternatif utama produk dan perkhidmatan konvensional berasaskan riba yang diharamkan dalam muamalat Islam.

Jika kita susuri sejarah penubuhan perbankan Islam di negara ini, kita dapati bahawa proses untuk merealisasikan institusi perbankan tanpa riba dan mengamalkan prinsip muamalat Islam yang lebih adil dan saksama ini bukan mudah, tetapi dilaksanakan dengan perancangan dan penelitian jitu hasil sumbangan pakar, ahli akademik dan pengamal industri yang ingin melihat umat Islam bebas cengkaman riba bagi semua transaksi kewangan harian.

Bank Islam Malaysia Berhad ditubuhkan selepas wujudnya Akta Perbankan Islam pada 1983 diikuti bank Islam kedua iaitu Bank Muamalat Malaysia Berhad pada 1999.

Kini, 16 institusi perbankan Islam sama ada di bawah pemilikan tempatan atau asing beroperasi di negara ini dengan menawarkan pelbagai produk meliputi simpanan, pembiayaan, pelaburan dan seumpamanya.

Perlu difahami walaupun perbankan Islam cuba untuk mengaplikasikan sistem muamalat dan ekonomi Islam secara sepenuhnya berdasarkan Maqasid Syariah tertentu namun disebabkan kerangka asas (framework) yang digunakan termasuk daripada aspek perundangan dan tadbir urus sektor ini yang menggunakan kerangka konvensional, agak sukar institusi perbankan Islam untuk memenuhi objektif sebenar penubuhan institusi ini sepenuhnya mengikut objektif syariah itu.

Perbankan Islam masih terikat kepada beberapa sistem konvensional seperti pengukuran risiko dan keuntungan yang menggunakan ukuran konvensional sepenuhnya dan bersifat material atau tangible.

Perkara ini mempengaruhi urus tadbir dan operasi perbankan Islam yang dilihat tidak memenuhi kehendak Islam sepenuhnya dalam membangunkan ekonomi ummah berasaskan ekonomi Islam yang perlu lebih adil, saksama dan membantu golongan kurang mampu.

Golongan kurang bernasib baik yang terdiri daripada golongan B40 atau B20, malah B10 dilihat kurang diberi perhatian oleh industri perbankan Islam ini sehinggakan golongan ini terpinggir daripada arus transaksi yang lebih tertumpu kepada golongan M40 dan T20 atau golongan kaya.

Di sini perkara yang agak janggal berlaku apabila timbul persoalan apakah mekanisme yang dibangunkan menggunakan nama Islam itu perlu mengetepikan golongan ini dengan begitu mudah?

Walaupun perbankan Islam mempunyai tadbir urus dan perundangan sendiri seperti
yang termaktub dalam Akta Perkhidmatan Kewangan Islam atau IFSA 2013 serta Kerangka Tadbir Urus Syariah, perbezaannya tidak begitu ketara dengan kerangka dan tadbir urus konvensional.

Antara keperluan yang sedikit berbeza adalah untuk mempunyai jawatankuasa syariah pada peringkat institusi perbankan Islam terbabit juga peringkat Bank Negara Malaysia (BNM) yang dikenali sebagai Majlis Penasihat Syariah.

Pengawasan oleh penasihat syariah pada kedua-dua peringkat sangat baik bagi keberkesanan tadbir urus perbankan Islam, namun ada suara yang merasakan kebebasan dan ketelusan belum sepenuhnya dapat dicapai memandangkan penasihat syariah terbabit diberi ganjaran dan dibayar imbuhan daripada institusi perbankan Islam berkenaan dan bukan daripada institusi bebas dan berasingan.

Di samping itu, penasihat syariah hanya melihat aspek hukum semata-mata bagi proses penasihatan mereka dan tidak melihat kepada aspek lain yang mungkin juga bercanggah dengan Maqasid Syariah jika dilihat dari perspektif ekonomi dan kewangan yang lebih luas.

Pandangan yang diberi juga agak merisaukan kerana sesuatu pandangan yang tidak dibolehkan dalam sesuatu mazhab akan cuba dicari alternatif lain dalam mazhab lain.

Ini walaupun tidak salah bagi mencari penyelesaian terbaik bagi isu baharu, namun ia dilihat oleh sesetengah pihak sebagai cubaan mencari helah daripada pemakaian hukum berkenaan.

Antara yang terbaharu adalah isu ar-Rahnu yang diputuskan tidak memenuhi keperluan syariah dalam Mesyuarat Penasihatan Syariah pada 2019 walaupun produk ar-Rahnu ditawarkan sejak 1992.

Perbezaan pandangan ini yang menggusarkan pelbagai pihak mengenai proses sebenar penasihat itu dilakukan.

Kesimpulannya, penulis merasakan perlunya perbankan Islam diberi nafas baharu supaya benar-benar secocok dengan Maqasid Syariah.

Nafas baharu ini yang amat dinanti-nantikan masyarakat Islam di negara ini dan bukan hanya perkiraan keuntungan semata-mata oleh institusi perbankan Islam.

Penulis dekan di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia, (Usim) Nilai, Negeri Sembilan

Disiarkan pada: September 29, 2020 @ 5:59am
d