rencana

Kisah Thaer penembak tepat

Oleh Nadir Al Nuri

Pasca kegagalan pertemuan di Camp David tahun 2000, penduduk Palestin mula resah.

Mereka sekali lagi mendapati perundingan dan diplomasi bersama penjajah Zionis bukan jalan yang akan memulangkan hak dan membolehkan mereka kembali ke tanah asal.

Pada 28 September tahun yang sama, pemimpin pembangkang Israel Ariel Sharon yang setahun kemudian menjadi Perdana Menteri menceroboh masuk ke Masjid Al-Aqsa dengan perlindungan tentera penjajah.

Tindakan Sharon menjadi titik akhir yang menghilangkan sabar penduduk dan meletuskan kebangkitan baru di Tebing Barat dan Gaza yang dikenali sebagai Intifada Al-Aqsa atau Intifada Kedua.

Intifada ini yang berlanjutan hampir lima tahun mengorbankan sekitar 3,000 syuhada Palestin dan 1,000 orang penjajah, dicatat dengan baik oleh sejarah, tetapi hari ini ayuh kita meneroka dua kisah yang menjadi noktah penting hitam dan putih dalam tempoh lima tahun kebangkitan itu.

Yang pertama ialah kisah Muhammad Durrah yang terkenal; anak kecil berusia 12 tahun yang mati dibunuh machine gun penjajah di bumi Gaza.

Muhammad dan ayahnya Jamal dalam perjalanan ke kedai menjual kereta pada pagi 30 September 2000, hari kedua Intifada Al-Aqsa.

Dalam perjalanan pulang, tercetus demonstrasi dan mereka terpaksa berjalan apabila teksi yang dinaiki tidak dapat bergerak ke hadapan.

Tiba-tiba tembak-menembak berlaku menyebabkan Jamal dan Muhammad berlindung di balik tong besi untuk mengelakkan ditembak.

Malangnya, sepertimana yang dilaporkan wartawan yang kebetulan membuat liputan demonstrasi dan sempat merakam kejadian pembunuhan itu, tentera Israel terus melepaskan tembakan ke arah dua beranak walaupun mereka menjerit dan merayu supaya tembakan dihentikan.

Muhammad mati dan ayahnya cedera teruk – kematian Muhammad Durrah menjadi simbol Intifada Kedua dan membangkitkan kemarahan umat di seluruh dunia. Kisah kedua adalah kisah putih The Sniper of Palestine.

Penembak tepat bernama Thaer Kayid Hamad dan berusia 22 tahun berasal dari Kampung Silwad berdekatan Ramallah, menggoncang tentera penjajah dengan peristiwa yang disebut paling menggerunkan sepanjang Intifada Al-Aqsa.

Pada pagi 3 Mac 2002, Thaer bangun untuk menunaikan solat Subuh.

Beliau kemudian mengelek senapang Mauser era Perang Dunia Kedua yang dibeli dengan bekal 70 butir peluru. Persediaan untuk operasi rahsia ini dilakukan lama sebelumnya – beliau berlatih untuk menembak di kawasan bukit Silwad hingga meyakini kemampuannya melaksanakan operasi berani mati.

Thaer bergerak ke jalan utama Nablus – Ramallah, mencari posisi yang sesuai di balik pohon zaitun dan menunggu mangsanya yang pertama. Tiga orang tentera Zionism mula bergerak di pos kawalan berdekatan dan Thaer mula beraksi.

Zasss! Satu, dua, tiga tentera terawal ditembak dan mati. Dua lagi tentera di dalam bangunan pos mula menjerit dan meraung di dalam Bahasa Arab dan Bahasa Ibrani memohon pertolongan.

Seorang daripadanya keluar dengan senjata di tangan, tetapi kaku tidak mampu berbuat apa-apa. Dia juga menjadi mangsa penembak tepat Palestin dan rakannya juga ditembak melalui jendela kecil bangunan.

Tak lama kemudian sebuah kereta sampai ke pos dengan dinaiki penduduk penempatan haram.

Thaer yang kemudian mengatakan mereka bersenjata menjadikan keduanya mangsa keenam dan ketujuh. Keadaan ini berterusan hingga apabila hendak melepaskan peluru kedua puluh lima, senapang lamanya meletup di tangan dan tidak dapat digunakan lagi.

Thaer mengambil keputusan pulang ke rumah, mandi dan masuk ke kamar tidur sebelum adiknya datang tidak lama selepas itu untuk mengejutkannya seolah tidak ada apa-apa yang berlaku.

Dengan 25 peluru yang dilepaskan, Thaer membunuh 11 tentera dan penduduk penempatan haram selain mencederakan 9 yang lain. Peristiwa ini menggemparkan tentera penjajah.

Bagaimana pemuda berusia 22 tahun mampu melepaskan tembakan hingga mengorbankan begitu ramai tentera?

Awalnya mereka mengesyaki operasi itu dilakukan penembak tepat yang masuk dari Chechnya atau pasukan elit Force 17 di bawah pejuang Syuhada' Al-Aqsa, tetapi ternyata apa yang dilakukan Thaer adalah hasil latihan dan tawakal yang kuat semata-mata.

Intifada Al-Aqsa sudah 20 tahun berlalu dan Palestin terus diwarnai dengan kisah hitam putih yang melakar sejarah panjang perjuangan ini.

Penulis adalah rakyat Malaysia tunggal di Palestin. Beliau boleh dihubungi melalui WhatsApp +60135132140 untuk pertanyaan dan kerjasama. Salurkan sumbangan ke Tabung Kecemasan Covid-19 melalui akaun Persatuan Cinta Gaza Malaysia Maybank 564810507826

Disiarkan pada: October 2, 2020 @ 6:00am
d