rencana

Jom kita sertai kempen!

Oleh Nadir Al Nuri

Minggu lalu artis Mark Ruffalo yang terkenal sebagai pelakon The Hulk dalam siri Marvel Comics mengejutkan dunia apabila dalam satu wawancara bersama wartawan terkenal Mehdi Hasan melabel Israel sebagai negara apartheid.

Ia bukan kali pertama Ruffalo menunjukkan sokongan kepada Palestin dan jika The Hulk benar-benar mengamuk di Israel pastinya negara berkenaan akan musnah, tetapi sebenarnya di sebalik kenyataan Mark itu memang ada Hulk yang gagah memainkan peranannya.

Hulk itu ialah sebuah gerakan yang diberi nama Boycott, Divestment and Sanction (BDS).

Gerakan BDS diasaskan pada tahun 2005 oleh hampir 250 NGO dan badan sivil Palestin untuk memboikot, mengalihkan pelaburan dan menghalang kerjasama dengan Israel.

Memboikot bermaksud menarik sokongan kepada rejim Israel termasuklah di bidang sukan, kebudayaan dan akademik. Divestment adalah lawan investment dan bertujuan menekan bank, kerajaan tempatan, syarikat dan sebagainya dengan menarik dan mengelak daripada melabur di dalam syarikat-syarikat Israel yang menampung kewujudan penjajahan.

Sanction atau sekatan pula menekan kerajaan untuk tidak membantu Israel secara terus dan meletakkan undang-undang menghalang hubungan bisnes dengan penempatan haram Israel dan menghentikan perjanjian persenjataan dan bebas cukai bersama negara penjajah itu.

Pengasas BDS mengkaji dan mengambil iktibar daripada langkah sama yang dilancarkan sekitar tahun 1950-an di Afrika Selatan dan berjaya menumbangkan kerajaan apartheid di sana apabila menampakkan hasil pada sekitar 1980-an dengan meletakkan tiga sasaran utama iaitu menghentikan penjajahan ke atas Palestin, hak sama rata untuk penduduk Palestin di dalam Israel dan hak pulang untuk pelarian Palestin dari luar.

Persoalannya adakah usaha BDS ini berjaya? Jawapannya ya. Sejak ditubuhkan BDS sudah berjaya menggerakkan massa dan merubah sekecil-kecil perkara seperti meyakinkan artis membatalkan persembahan mereka di Israel, sehinggalah menjadi 'duri' yang menyebabkan Kesatuan Eropah mengeluarkan undang-undang memaksa pelabelan produk yang datang dari penempatan haram di Tebing Barat supaya pengguna boleh membuat pilihan untuk memboikotnya.

Kesatuan Eropah juga di dalam kerjasama saintifik Horizon 2020 menghalang penglibatan penempatan haram Israel sebagai sebahagian ruang kerjasama.

Di Amerika Syarikat pula, lebih 20 wilayah meluluskan undang-undang tempatan yang menghalang kerja-kerja BDS dan menyebabkan berlaku perdebatan dengan badan-badan pendukung kebebasan bersuara dan kebebasan memilih sekali gus membawa nama BDS ke tengah masyarakat sedangkan sebelum ini nama Palestin pun susah untuk kedengaran di sana.

Syarikat perkhidmatan sekuriti dan peralatan, G4S yang diberikan perhatian khusus oleh BDS kerana menjadi pembekal peralatan di semua checkpoint tentera penjajah di dalam Palestin juga memaklumkan bahawa ia akan menjual anak syarikat yang terlibat di Israel apabila kempen berkenaan menyebabkan kerugian jutaan dolar termasuk sokongan daripada pelabur seperti Bill Gates Foundation.

Usaha berterusan dan kejayaan kempen boleh dibaca di laman web bdsmovement.net. Tetapi, soal yang lebih penting ialah bagaimana kita mampu memainkan peranan untuk menjadi sebahagian kempen ini?

Saya mencadangkan untuk kita bermula di rumah. Kenal pasti produk-produk yang betul-betul berterusan menyumbang untuk Israel seperti syarikat computer HP dan syarikat Airbnb lalu carilah alternatif yang lebih baik.

Susah? Saya kongsikan pengalaman berjumpa seorang aktivis Ireland ketika mula-mula sampai di Gaza dahulu.

Aktivis itu memaklumkan bahawa sejak dua tahun tinggal di Gaza dia tidak pernah menyentuh walau satu pun produk Israel dalam keadaan Gaza terkepung dan terpaksa menggunakan beberapa produk yang 'diimport paksa' dari negara penjajah. Kalau dia mampu melakukannya atas dasar kemanusiaan dan kesedaran, tidakkah ia lebih mudah kalau ada keyakinan yang lebih besar dari aspek akidah bahawa perjuangan membantu Palestin dengan segala kemampuan kita adalah fardu ain? Fikir-fikirkanlah.

Penulis adalah rakyat Malaysia tunggal menetap di Palestin. Beliau boleh dihubungi melalui WhatsApp +60135132140 untuk pertanyaan dan kerjasama. Salurkan sumbangan ke Tabung Kecemasan Covid-19 melalui akaun Persatuan Cinta Gaza Malaysia Maybank 564810507826

Disiarkan pada: October 16, 2020 @ 7:30am
d