rencana

RM1 juta beli saham karaoke

Oleh Datuk Seri Akhbar Satar

Sindiket Macau Scam dan judi dalam talian adalah satu sindiket jenayah terancang yang mengaut keuntungan mudah dengan meninggalkan ribuan mangsa 'muflis' dan dalam situasi porak poranda untuk menghadapi masa depan.

Mengikut statistik dikeluarkan polis, pada 2019 saja, terdapat 28,508 kes scam dan 18,130 pembukaan akaun membabitkan jumlah wang RM2.5 bilion.

Selain itu, lebih 80,000 akaun keldai milik individu yang membenarkan sindiket menggunakannya bagi aktiviti penipuan dalam talian dikesan sejak 2019 hingga kini.

Berikutan kekerapan rakyat terlalu mudah terperdaya oleh modus operandi tipu daya mereka, Macau Scam saban hari menjadi bahan berita dalam media.

Yang terkini kejayaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menumpas salah satu cabang sindiket ini, termasuk penangkapan beberapa pegawai polis yang disyaki turut menjadi dalang operasi haram ini. Tangkapan sindiket yang terbongkar mutakhir ini dipercayai hanyalah tip of the iceberg.

SPRM juga sudah membekukan 730 akaun bank dengan nilai RM80 juta selain merampas wang tunai RM5 juta dan 23 kenderaan mewah dalam siasatan pengubahan wang haram dan sindiket Macau Scam sejak beberapa hari lalu.

Pada masa sama, SPRM sudah menahan 20 suspek berhubung siasatan kes iaitu 11 orang awam, lapan kakitangan penguat kuasa dan seorang warga China. Aktiviti ini dikendalikan komplot yang besar dan terancang.

Kuala Lumpur dijadikan pusat atau markas Macau Scam dan judi dalam talian sindiket antarabangsa yang menyasarkan rakyat dari pelbagai negara khususnya China, Hong Kong dan rakyat Malaysia sendiri.

Dipercayai sindiket Macau Scam dan judi dalam talian ini melindungi tidak kurang daripada 10 sindiket besar di Malaysia. Rata-rata pekerjanya dalam kalangan rakyat Malaysia dan China, bergantung kepada kumpulan sasaran sindiket ini.

Upahnya lumayan serta risiko ditangkap agensi penguat kuasa adalah rendah.

Berikut adalah antara modus operandi dua dalang sindiket terbabit:

1. Satu kumpulan agensi pihak penguat kuasa yang tiada integriti mengesan dan membocorkan maklumat kepada ketua kumpulan terbabit berhubung operasi yang akan dijalankan ke atas sindiket.

2. Berpakat dengan pihak berkuasa untuk membuat serbuan dan tangkapan ke atas kumpulan sindiket terbabit. Kedua-dua dalang ini akan mengatur pertemuan dengan sindiket yang diserbu pihak berkuasa dan meminta wang perlindungan untuk melepaskan pekerja yang ditahan.

3. Menetapkan bayaran bulanan daripada sindiket Macau Scam dan judi dalam talian sebagai fi perlindungan dan jaminan bebas daripada tindakan undang-undang

4. Bertindak sebagai penyedia logistik termasuk menyediakan pusat operasi sindiket yang kebiasaannya dijalankan di banglo dan kondominium eksklusif. Kedua-dua dalang ini akan mencari dan menyewakan rumah/kondominum/bangunan pejabat untuk dijadikan pusat pengoperasian.

Ini bermakna sindiket-sindiket di bawah perlindungan kumpulan ini terpaksa menyewa daripada kedua-dua mastermind terbabit. Keuntungan berlipat kali ganda dikutip oleh kedua-dua mastermind apabila menyewakan semula rumah/kondominum/ bangunan.

5. Dalang akan tentukan lama mana tempoh sesuatu tempat dijadikan pusat operasi. Ini bergantung kepada 'panas' atau tidak kawasan kejiranan terbabit. Pusat operasi akan berpindah- randah dari satu rumah/ kondominium/bangunan pejabat bagi mengelak masyarakat setempat membuat aduan.

6. Salah seorang sindiket yang juga dalang yang terbabit adalah pemilik pusat penjualan komputer dan ICT terkemuka di Kuala Lumpur. Beliau akan menyediakan semua bentuk logistik dari segi perkakasan dan perisian komputer untuk kegunaan sindiket-sindiket terbabit.

7. Membeli pusat hiburan (karaoke). Semua sindiket di bawah naungan kumpulan dalang ini dikehendaki membayar RM1 juta sebagai saham pembelian pusat karaoke ini. Selain itu, tiap-tiap malam, setiap sindiket naungan perlu membuka dua bilik karaoke berserta dengan GRO dan dadah.

Oleh sebab itu, karaoke (club) ini tidak pernah kosong dan sentiasa penuh. Kedua-dua dalang juga menjadikan karaoke ini pusat menghiburkan pegawai penguat kuasa dengan hiburan, wanita dan dadah.

8. Melaburkan wang haram hasil daripada kutipan perlindungan bulanan, sewa rumah/pusat operasi, peralatan logistik dan aktiviti peras ugut dalam syarikat yang sengaja diwujudkan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Mengikut kajian dibuat Association of Certified Fraud Examiners, sindiket fraud termasuk Macau Scam ini terjadi disebabkan oleh factor collusion iaitu kerjasama antara sindiket dan orang dalam.

Apa-apa pun, kita masih ada pegawai kerajaan atau ketua yang berintegriti tinggi, sikap tegas dan menunjukkan contoh yang baik dalam menangani isu rasuah. Sebagai ketua mesti bersifat telus selain memenuhi tiga kriteria tertentu.

Kriteria pertama berdasarkan merit seseorang yang dinilai menerusi pengalaman dan profesionalisme dalam melakukan tugas.

Kedua, intergriti iaitu pemimpin dilantik tahu dan tidak melakukan kesalahan demi kepentingan individu.

Seterusnya memilih pemimpin yang berani kerana benar. Ini bermaksud, apa juga tindakan dilakukan adalah satu tindakan yang berani meskipun diarah melakukan sesuatu tidak baik dan melanggar undang-undang.

Pihak berkuasa hendaklah menyiasat sehingga ke lubang cacing mereka yang terbabit dan mendalangi sindiket Macau Scam dan judi dalam talian ini.

Penulis adalah Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia

Disiarkan pada: October 19, 2020 @ 6:00am
d