rencana

Aku & generasi X, Y dan Z

Oleh Mejar (B) Ramli Abdul Rahim

Sepanjang perjalanan hidup ini kita akan berdepan dengan liku dan ranjau, tidak kira sama ada sejarah hitam itu berkisar kisah cinta, sahabat, kewangan, kerjaya, kehilangan orang tersayang atau apa sahaja berkaitan kehidupan. Setiap orang ada kisah sedih pada zaman lampau yang sukar untuk dilupakan.

Kita mungkin melalui pelbagai peristiwa pada zaman kanak-kanak namun segala yang berlaku itu hanya segelintir masih diingati dan ada juga melekat di minda kita yang tak kunjung padam umpamanya pengalaman pertama kali dapat mengayuh basikal bersama kawan-kawan di kampung.

Dengan adanya kemajuan teknologi pada abad moden ini, ia menawarkan banyak kemudahan di celah kemajuan informasi dan komunikasi yang bersifat global membuatkan kita amat mudah untuk mendapatkan maklumat, tanpa perlu mengambil kira batas wilayah dan negara.

Jika kita kembali pada zaman 1960-an, anak-anak pada zaman itu mengisi masa lapang bermain sesama mereka dengan permainan seperti congkak, senapang buluh berpelurukan buah keduduk yang cukup berbeza dengan keghairahan anak zaman ini dengan online game.

Dengan adanya kemudahan komputer dan telefon pintar, permainan anak zaman ini memang cukup berbeza, lantas permainan seperti sorok-sorok (hide and seek), main teng-teng sudah ditelan sejarah.

Manusia adalah makhluk yang unik lantaran gaya hidup mereka seiring modernisasi, namun sebenarnya menggambarkan kelompok manusia berdasarkan tahun kelahiran.

Setiap generasi juga memiliki ciri sifat tersendiri yang umumnya dipengaruhi oleh lingkungan kehidupan mereka.

Dalam kurun waktu 100 tahun terakhir, sekurang-kurangnya ada beberapa kelompok generasi manusia berdasarkan teori dikemukakan Graeme Codrington & Sue Grant-Marshallm yang dimulai kelompok Tradisionalis (1922-1945) akibat The Great Depression yang juga krisis ekonomi global.

Nenek moyang kita tentunya ada yang berasakan hidup dengan keadaan serba kekurangan dan generasi tradisionalis ini juga saksi daripada pelbagai kejadian terbesar di muka bumi melibatkan zaman peperangan ketika Perang Dunia Kedua.

Generasi Baby Boomers (1946-1964) mewarnai sejarah pasca perang dengan jumlah kelahiran yang meningkat, lantas pada era berkenaan, warga dunia umumnya mengalami pertumbuhan kelahiran secara pesat setelah mereka beransur pulih daripada kesulitan masa perang.

Generasi X pula (1965-1980), dipopularkan hasil novel yang berjudul A Generation X: Tales for an Accelerated Culture yang ditulis Douglas Coupland melihat pola didikan kedua-dua orang tua yang banyak menghabiskan waktu untuk bekerja, generasi X pun mengikuti jejak itu.

Generasi Millenial (1981-1994) berdasarkan moto Work life balance pada dasarnya merujuk kepada generasi yang tidak melulu mengejar harta, tetapi millenial lebih mengejar solidariti, kebahagiaan bersama dan eksistensi diri agar dihargai secara sosial.

Selain mengalami transisi dari segala hal yang bersifat analog ke digital, millenial atau generasi Y juga tumbuh seiring dengan semakin matangnya nilai persamaan dan hak asasi manusia, sehingga mempengaruhi pembawaan mereka yang boleh dinilai sebagai lebih demokratik.

Generasi Z (1995-2010) dengan perkembangan teknologi yang semakin berkembang pesat, mereka seolah-olah tidak boleh terlepas daripada gajet dan aktiviti media sosial dan menurut kajian sekitar 44 peratus daripada golongan Generasi Z memeriksa media sosial setiap jam sekali.

Teknologi bagi mereka dapat melakukan apa saja termasuk belajar dan bekerja, bukan sekadar bersenang-senang, maka tidak sedikit daripada golongan Generasi Z yang kini menjadikan media sosial sebagai ruang mereka untuk mencari penghasilan seperti membuka online shop atau menjadi influencer internet.

Generasi Alpha (>2010) pula sekitar 2.5 juta lahir setiap minggu dan fakta ini membuat andaian jumlahnya akan berkembang sekitar dua bilion pada 2025 dan seperti dua generasi sebelumnya, mereka yang lahir setelah 2010 sudah terbiasa dengan teknologi bahkan sejak usia remaja lebih tertarik bermain gajet berbanding permainan tradisional.

Apabila membicarakan cita rasa anak hari ini tentunya berbeza apatah lagi dengan ledakan teknologi dan apabila membicarakan kehidupan nenek moyang serta fasa kehidupan dilalui sepanjang tujuh atau lapan dekad lalu seolah-olah cerita dongeng.

Penulis ada melukiskan era pendudukan Jepun (1941-1945) di Tanah Melayu dalam buku Memoir Seorang Juruterbang yang mengisahkan sejarah Tan Sri Sulaiman Sujak kelahiran Singapura yang juga anak Melayu pertama menjadi juruterbang jet pejuang dan pengebom Royal Air Force (Tentera Udara Diraja British) di Cranwell, United Kingdom.

Apa yang cantik untuk dilukiskan ketika zaman Perang Dunia Kedua dan diceritakan adalah zaman kesusahan dilalui Sulaiman pada zaman remaja bersama ibunya dan ketika detik cemas pesawat pengebom Jepun menggugurkan bom di bumi Singapura.

Disebabkan kekurangan makanan, ibu Sulaiman menyediakan bubur jagung untuk makanan harian sebelum mendapat catuan beras daripada kerajaan Jepun di Singapura.

Membaca kesusahan nenek moyang kita pada zaman Jepun yang makan ubi kayu direbus, dibakar atau jagung memang mengundang rasa simpati kerana hari ini anak dan cucu kita tidak merasai apa dilalui generasi terdahulu.

Generasi hari ini perlu disedarkan bahawa hidup ini ibarat bahtera di lautan yang dilambung badai dan kita sewajarnya memahami keperitan orang lain kerana tidak semua dilahirkan di dunia ini ibarat lahir dengan sudu perak di mulut dan segala harta yang ada digarap dengan usaha generasi terdahulu.

Kita perlu mendidik generasi muda hari ini agar belajar bersyukur dengan nikmat kedamaian yang dikecapi kini dan menghargai sumbangan generasi terdahulu.

Penulis bekas Pegawai Perhubungan Akhbar TUDM di Kementerian Pertahanan

Disiarkan pada: October 20, 2020 @ 5:59am
d