rencana

Keseimbangan kail & ikan

Oleh Mohd Zaini Othman

Semalam, jutaan rakyat Malaysia memberi perhatian terhadap pembentangan Belanjawan 2021 yang juga belanjawan sulung oleh kerajaan Perikatan Nasional dan mungkin juga boleh dianggap belanjawan paling kritikal serta bersejarah kepada negara sejak merdeka.

Terkenal dan dihormati sebagai tokoh perbankan sebelum menjadi anggota Kabinet, segak berbusana baju Melayu, riak wajah Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selaku Menteri Kewangan kelihatan tenang ketika membentangkan Belanjawan 2021 bertemakan Teguh Kita, Menang Bersama di Dewan Rakyat.

Memperuntukkan sejumlah RM322.5 billion, ia sememangnya satu jumlah yang amat besar berbanding belanjawan negara sebelum ini. Sebagai contoh Belanjawan 2020 memperuntukkan sebanyak RM297 bilion manakala Belanjawan 2019 sebanyak RM314.5 bilion. Kerajaan sendiri sudah menjanjikan dari awal bahawa belanjawan ini akan membabitkan peruntukan lebih besar kerana mahukan ia sebuah belanjawan yang inklusif dan komprehensif demi melindungi rakyat dan menyelamatkan ekonomi. Daripada jumlah sebesar ini, kerajaan memperuntukkan RM236.5 bilion bagi perbelanjaan mengurus, RM69 bilion bagi perbelanjaan pembangunan, RM17 bilion di bawah Kumpulan Wang Covid-19 dan RM2 bilion disediakan bagi simpanan luar jangka.

Mengambil kira keperluan perbelanjaan sebesar ini, defisit fiskal negara bagi tahun hadapan diunjur pada kadar 5.4 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Sebelum Belanjawan 2021 dibentangkan, kerajaan melancarkan beberapa pakej rangsangan ekonomi secara berperingkat sejak Mac lalu untuk negara dan rakyat dapat 'bertahan' sehingga ke akhir tahun ini.

Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Prihatin PKS Tambahan, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Kerangka Inisiatif Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Kita Prihatin) yang semuanya berjumlah RM305 bilion dilihat membantu daya tahan ekonomi negara.

Bagaimanapun, pelbagai pihak masih terkesan dengan impak Covid-19 kerana ia menjejaskan sektor ekonomi negara dalam skala yang besar. Ribuan perniagaan gulung tikar dan ratusan ribu rakyat hilang punca pendapatan akibat diberhentikan kerja. Semua keadaan ini amat menghimpit kehidupan mereka, oleh itu senario ini sudah menjawab mengapa Belanjawan 2021 yang dibentangkan semalam amat dinantikan bersama harapan yang menggunung oleh rakyat Malaysia.

Bagi memastikan belanjawan ini menepati cita rasa rakyat, Menteri Kewangan menekankan dalam ucapannya bahawa buat pertama kalinya, siri jelajah dan sesi konsultasi diadakan ke seluruh negara membabitkan pelbagai pemegang taruh seperti parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), pemain industri dan ahli akademik untuk mendapat input dan cadangan.

Fokus Belanjawan 2021 memberi perhatian kepada tiga matlamat induk iaitu Kesejahteraan Rakyat, Kelangsungan Perniagaan, dan Ketahanan Ekonomi. Sebagai satu belanjawan yang membawa kesinambungan kepada semua pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan kerajaan sebelum ini, Belanjawan 2021 menepati andaian pakar ekonomi dan firma penyelidikan sebagai satu belanjawan pengembangan.

Belanjawan pengembangan boleh diandaikan sebagai penyelesaian ampuh bagi menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan perusahaan kecil serta sederhana yang terjejas teruk ketika ini. Melalui belanjawan pengembangan, kerajaan memperluaskan bekalan wang dalam pasaran ekonomi melalui kaedah meningkat perbelanjaan atau melaksanakan potongan cukai yang menjadikan rakyat dan perniagaan mempunyai lebihan wang untuk berbelanja. Kerana itu dapat dilihat kerajaan mengambil pendekatan memberi duit poket tambahan kepada rakyat secara tidak langsung dalam beberapa strategi misalnya pemberian one-off RM500 kepada petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia, had pelepasan cukai pendapatan dinaikkan, menaikkan kadar bantuan kebajikan bulanan kepada kumpulan rentan, pemberian Bantuan Prihatin Rakyat kepada isi rumah berpendapatan kurang RM5,000 mengikut kategori dan tidak dilupakan individu bujang.

Bentuk duit poket tambahan lain juga antaranya kepada golongan nelayan yang menerima kenaikan elaun sara hidup nelayan daripada RM250 kepada RM300, elaun guru takmir dinaikkan daripada RM800 ke RM900. Bayaran one-off sebanyak RM500 kepada iman, bilal, siak, noja, merbut, guru takmir dan guru Kafa serta Bantuan Khas Kewangan RM600 untuk kakitangan awam Gred 56 serta ke bawah manakala bagi pesara kerajaan dan veteran tidak berpencen menerima RM300.

Belanjawan 2021 juga turut memenuhi keperluan sektor ekonomi, pendidikan, pelancongan, penggiat industri seni, projek pembangunan dan mega berimpak tinggi, pendigitalan negara, pemuliharaan alam sekitar serta pelbagai bentuk pembiayaan dan insentif kepada usahawan dan peniaga kecil.

Boleh dikatakan belanjawan ini mempunyai keseimbangan antara memberi kail dan ikan oleh kerajaan kepada rakyat. Pastinya ada beberapa permintaan yang tidak dapat kerajaan realisasikan dalam belanjawan ini, tetapi ia masih berpaksikan kepada kesejahteraan rakyat dan negara.

Belanjawan ini akan mula dibahaskan pada minggu hadapan. Buat Yang Berhormat, ingatan dan nasihat Yang di-Pertuan Agong perlu dijadikan pegangan dan pedoman iaitu untuk mengetepikan segala perbezaan dan terus bersatu padu dalam usaha membanteras pandemik Covid-19.

Penulis Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dan Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (Pragmatis) Usim

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Disiarkan pada: November 7, 2020 @ 7:20am
    d