rencana

Kecuaian kita membuka onar

Oleh Mohd Zaini Othman

RAKYAT Malaysia tumpang gembira dengan hadiah kejutan yang diterima oleh Nur Athirah Abdul Latif, 23, berupa sebuah motosikal baharu sumbangan peribadi daripada Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin sebagai ganti kepada motosikalnya yang dicuri di sebuah pasar raya di Batu Caves, baru-baru ini.

Motosikal itu yang baharu dibeli kira-kira tiga bulan lalu itu menjadi punca rezeki bagi menyara ibu dan dua adik-beradiknya yang lain dengan hasil pendapatan sebagai penghantar barang sepenuh masa. Menerusi satu hantaran di Facebook Selangor Royal Office, Tengku Permaisuri Norashikin mengharapkan sumbangan baginda ini membolehkan Nur Athirah boleh kembali meneruskan kerja harian dengan sempurna seterusnya membantu keluarga selain menitipkan harapan supaya masyarakat di luar sana lebih bersifat perikemanusiaan dan bertimbang rasa di antara satu sama lain ketika diuji dengan pelbagai dugaan kini.

Selain itu, kisah sedih yang menimpa Nor Hamiza Mohammad pada bulan Mei lalu turut tular apabila berkongsi dugaan yang menimpa dia sekeluarga selepas rumah mereka di Petaling Jaya dipecah masuk ketika mereka sekeluarga 'terkandas' hampir dua bulan di Kelantan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Hati mana yang tidak luluh apabila melangkah masuk ke dalam rumah yang dirindui, keadaannya berselerak dan bersepah akibat dipecah masuk, lebih menyedihkan apabila perompak 'kenduri sakan' dengan mengangkut hampir semua barangan elektrik.

Ini adalah contoh dua kisah rakyat Malaysia yang menjadi mangsa jenayah membabitkan rompakan dan kecurian yang berlaku ketika pelaksanaan PKP.

Pada peringkat awal pelaksanaan PKP pada 18 Mac lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyatakan kadar indeks jenayah menurun 70 peratus di seluruh negara, tetapi kes jenayah yang masih berlaku secara ketara adalah kes pecah rumah dan mencuri motosikal.

Sebaik saja kerajaan 'melonggarkan' PKP di seluruh negara mulai Jun lalu, ia secara tidak langsung membuatkan penjenayah menghidu keadaan ini sebagai satu peluang untuk kembali merancakkan lagi kegiatan mereka.

Congakan penulis ada asasnya kerana Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Selangor, Datuk K Kumuran mengakui berlaku peningkatan indeks jenayah di Selangor susulan kelonggaran pergerakan selepas tamatnya PKP. Menurutnya, penjenayah dikesan mengambil peluang ini untuk menyambung kegiatan jenayah yang tergendala sebelum ini susulan larangan keluar rumah semasa PKP.

"Sejak berakhirnya PKP, laporan polis yang diterima berhubung kejadian samun, ragut, pecah rumah dan sebagainya meningkat terutamanya di beberapa daerah di negeri ini," katanya.

Pecah rumah, samun, mencuri, ragut dan seumpamanya adalah 'pekerjaan' individu yang kita gelarkan sebagai penjenayah dan semestinya ini adalah pekerjaan yang menyalahi di sisi undang-undang dan menurut kepercayaan agama mana sekalipun.

Tetapi, memandangkan ia satu pekerjaan yang mendatangkan hasil wang ringgit, pastinya ada individu yang memilih jalan hitam ini dengan menjadikan harta benda orang lain sebagai punca pendapatannya.

Tidak hairanlah penjenayah ini sentiasa tajam memerhatikan peluang dan ruang untuk menjalankan kegiatan jenayah mereka.

Antara punca kes jenayah seperti ini berlaku menurut Polis Diraja Malaysia datangnya daripada kecuaian diri kita sendiri yang merujuk kepada sikap ambil mudah masyarakat terhadap keselamatan diri dan harta benda mereka.

Apabila membaca laporan di media mahupun perkongsian di media sosial, misalnya membabitkan kes jenayah kecurian dan ragut, kebanyakan kes berpunca daripada kelalaian mangsa itu sendiri yang berlaku dalam pelbagai bentuk.

Contohnya, berdasarkan beberapa kes, ia berlaku kerana mangsa meletakkan kenderaan di tempat yang kurang selamat, meninggalkan kenderaan tanpa dikunci atau pengawasan sepenuhnya dan bagi wanita pula, keluar rumah dengan memakai barangan kemas seperti rantai, gelang dan sebagainya yang terlalu menonjol. Masyarakat perlu mengelakkan kecuaian sebegini kerana ia menarik perhatian dan memudahkan penjenayah membuat onar.

Justeru, masyarakat harus lebih bertanggungjawab dalam setiap perkara berkaitan harta benda demi menjamin keselamatan selain tidak mengundang keinginan penjenayah untuk mengambil kesempatan ke atas harta benda mereka.

Apabila penulis menyentuh berkaitan kecuaian masyarakat, tidak bermakna punca lain yang mencetuskan jenayah perlu dikesampingkan seperti kadar pengangguran yang tinggi, peningkatan kos sara hidup, ketidakseimbangan pembangunan di bandar, kehadiran warga asing dan lambakan pendatang asing tanpa izin (Pati) dan kelemahan penguatkuasaan undang-undang.

Semua faktor ini perlu diberi perhatian untuk mencari penyelesaiannya kerana dalam isu membanteras jenayah, ia memerlukan pembabitan bersama kerajaan, masyarakat dan pihak berkuasa secara erat dan istiqamah. Sesungguhnya, musibah pandemik Covid-19 yang membadai dunia kini benar-benar menguji survival manusia meneruskan kelangsungan hidup, yang lemah imannya mungkin memilih jalan yang salah, tetapi keterdesakan ini tidak menghalalkan kepada perlakuan sebarang aktiviti jenayah untuk bermaharajalela.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik Usim

Berita berkaitan

Alhamdulillah, Tengku Permaisuri Selangor gantikan motosikal Athirah yang dicuri

''Tolonglah pulangkan, saya cari makan guna motosikal tu'

'Tolong cari motosikal saya...'

Disiarkan pada: November 12, 2020 @ 5:59am
d