rencana

Keberkesanan Chonaikai

Oleh Asisten Superintendan Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Kampung 'konkrit' mungkin istilah sesuai bagi kejiranan di bandar masa kini.

Saya suka guna istilah ini kerana pada masa zaman serba maju dan canggih ini, memang sukar kita lihat orang muda tinggal di suasana kampung sebenarnya.

Situasi kejiranan sangat erat, rumah kayu beratap rumbia yang cantik, pokok menghijau di keliling rumah, air sungai mengalir dengan tenang dan sawah padi terbentang luas.

Kini, semua tertumpu ke bandar besar atau pinggir bandar dengan suasana ekonomi tidak begitu baik dan peluang pekerjaan tidak menentu, jadi hanya boleh menyewa atau membeli rumah kos rendah atau flat serba kekurangan.

Bersyukurlah dengan apa yang ada, paling penting hidup kita tidak menyusahkan orang lain dan dapat menikmati rezeki halal sama ada berstatus bujang atau sudah berkeluarga.

Di sebalik kehidupan pelbagai cabaran di 'kampung konkrit' walaupun berbeza agama, bangsa dan keturunan, kita harus hidup dalam suasana aman dan harmoni sekarang.

Saya tidak mahu menyentuh sebilangan orang kaya raya tinggal di banglo lengkap dengan orang gaji menyiram pokok bunga setiap hari dan peratusnya tidak terlalu ramai di bandar besar.

Skop penulisan kali ini tertumpu kepada bagaimana suasana kampung konkrit membina nilai mulia ke arah masyarakat lebih aman dengan persekitaran untuk bersama-sama mencegah jenayah. Apa perlu masyarakat lakukan agar kampung konkrit mereka aman dan bebas daripada jenayah.

Langkah pertama adalah membabitkan diri dan hadir dalam aktiviti dijalankan pengurusan masjid atau rumah ibadat bagi bangsa lain.

Tindakan ini dapat mewujudkan ukhuwah dan silaturahim akrab seperti program gotong-royong membasmi aedes, bersihkan taman, mengacau bubur asyura atau aktiviti lain sebagaimana dilakukan di kampung kita dahulu.

Kita boleh membentuk satu kumpulan atau persatuan setempat dengan melantik Ketua Komuniti atau ahli jawatankuasa (AJK) bertanggungjawab menyelaras segala aktiviti hendak dijalankan.

Kutiplah sedikit wang sesama sendiri dengan tidak membebankan masyarakat setempat yang boleh digunakan untuk membeli kopi dan air selepas selesai kerja amal dan rondaan jenayah bersama.

Langkah kedua adalah membabitkan diri dalam aktiviti disarankan pihak berkuasa seperti Rakan Cop dan Kepolisan Masyarakat apabila pihak berkuasa seperti polis akan berperanan menggerakkan aktiviti pencegahan itu.

Langkah ketiga adalah menubuhkan kumpulan WhatsApp membabitkan semua penduduk supaya dapat tahu keadaan dan perkembangan di penempatan mereka.

Tidak kiralah sama ada ia membabitkan jenayah atau berkaitan suasana taman dan persekitaran seperti masalah sosial atau berkaitan dengan kemudahan seperti bekalan air atau elektrik terputus, paip bocor dan sampah sarap tidak dikutip.

Langkah keempat adalah mengadakan rondaan bersama di sekitar kawasan penempatan dengan konsep Jom Heboh beramai-ramai supaya dapat menggerunkan penjenayah untuk masuk ke dalam kawasan mereka.

Langkah kelima, menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa sama ada kepada pihak polis atau agensi penguat kuasa terutama jika ada kedai judi tidak berlesen, penjualan rokok seludup atau pendatang asing tanpa izin (Pati).

Langkah keenam, menjaga harta benda sendiri dengan baik supaya penjenayah tiada peluang melakukan jenayah, misalnya membuka lampu depan rumah, mengunci pintu dan membawa masuk motosikal sebelum menguncinya di dalam kawasan pagar rumah.

Langkah ketujuh adalah menggunakan konsep 'jaga tepi kain orang' dan biarlah apa orang kata, asalkan suasana kita aman dan sejahtera.

Ini kerana, menghidu gam adalah proses permulaan ke arah menagih dadah dan jika sudah terjebak, nanti kasut, selipar dan tong gas kita pun dirembatnya.

Suasana mencegah jenayah di kampung konkrit tiada bezanya dengan apa diamalkan negara maju, misalnya Jepun.

Saya memilih Jepun kerana ia adalah negara maju dengan masyarakat aman dan kurang berlakunya jenayah.

Fakta ini disokong Paul Brangtiham & Fedric Faust (1976) Understanding crime as a product of environment naturally yang mencadangkan jenayah haruslah dikawal dan dikekang oleh masyarakat itu sendiri.

Persatuan kejiranan di Jepun disebut Chonaikai dan telah wujud 1,000 tahun dahulu bagi menyatukan masyarakat membendung dan mencegah jenayah dilakukan masyarakat itu sendiri.

Hari ini, Chonaikai turut dijalankan di bandar di wilayah dan daerah Jepun bermula di peringkat sekolah rendah, menengah dan universiti dengan melantik ketua di setiap lapisan bermula remaja ke dewasa untuk memberikan tumpuan kepada pencegahan jenayah dan aktiviti kemasyarakatan lain.

Program sosial mencegah jenayah di Jepun mempunyai pengaruh kuat terhadap pencegahan jenayah jalanan walaupun bukan dalam sebilangan kes kecurian.

Program Chonaikai dapat kurangkan rasa takut masyarakat terhadap jenayah dan kini, Chonaikai diamalkan di jalanan di bandar sebelum ditambah baik mengikut keadaan semasa disebut kumi@han yang mengandungi antara lima atau 10 ahli keluarga membentuk jawatankuasa kecil peringkat kawasan.

Rengo Chonaikai pula menjalankan aktiviti kemasyarakatan festival tahunan, penjagaan masyarakat, Fujinkai mengawasi kebajikan masyarakat tempatan dengan menjalankan rondaan bersama di samping pembersihan kawasan setempat.

Kesimpulannya, di Malaysia atau Jepun, konsepnya adalah sama iaitu masyarakat berperanan membentuk kumpulan bagi mencegah jenayah dalam kalangan mereka.

Jadi, sama-samalah kita menjaga kawasan kejiranan dengan baik agar tidak memberi peluang kepada penjenayah melakukan jenayah.

Marilah kita menyumbang ke arah Malaysia bebas jenayah.

Penulis adalah Ketua Polis Balai Nusa Bestari, IPD Iskandar Puteri, Johor

Disiarkan pada: November 17, 2020 @ 5:59am
d