rencana

Formula berani Syahmi

Oleh Riadz Radzi

Siapa Syahmi Sazli jika nak dibandingkan dengan Syamsul Yusof, Ghaz Abu Bakar, Syafiq Yusof, Adrian Teh, Mamat Khalid atau Aziz M Osman?

Dari satu sudut, dia bukan sesiapa jika nak dibandingkan dengan nama besar dalam bidang pengarahan filem itu.

Namun, anak Kelantan berusia 25 tahun itu ada kelebihan tersendiri. Gara-gara filem pertama arahan dan terbitannya, Mael Totey The Movie yang kini ditayangkan di saluran Astro First, nama Syahmi tiba-tiba menjadi sebutan.

Dalam tempoh 24 hari, filem yang turut menampilkan lakonan selebriti YouTube seperti Yoe Parey, Asif Suhaimi, Emaleen Minhad dan Aween Ismail itu mencatat kutipan RM6.4 juta. Ia turut memecah rekod sebagai filem paling laris ditayangkan di Astro First.

Sama ada kita suka atau tidak, nama Syahmi kini sebaris pengarah hebat tempatan yang turut mencatat kutipan mencecah jutaan ringgit.

Apa yang hebat sangat dengan Mael Totey The Movie ini? Secara peribadi, jalan ceritanya biasa-biasa saja. Ia mengenai seorang lelaki yang cuba memenangi hati gadis idamannya dengan mempelajari bahasa Inggeris.

Apa yang menariknya ialah keberanian dan kebijaksanaan Syahmi menerbit, mengarah dan turut berlakon dalam filem ini.

Dalam satu temu bual dengan Harian Metro baru-baru ini, Syahmi yang langsung tidak ada pengalaman mengarah drama TV dan filem kecuali drama pendek di YouTube mengakui dia tidak tahu bagaimana proses dan prosedur untuk menghasilkan filem.

Dua minggu sebelum penggambaran bermula, baru dia tahu untuk mendapat lesen mengarah filem, kita perlu menjadi ahli Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) terlebih dahulu.

Malah, ketika memohon menjadi ahli FDAM, mereka tidak yakin dengan kemampuannya kerana dia tidak ada pengalaman sebagai pengarah drama.

Dalam konteks ini dia memang berani.

Kebijaksanaan Syahmi pula dia pantas mengambil kesempatan terhadap apa yang sudah dilakukan menerusi saluran YouTubenya sebelum itu.

Umum mengetahui Syahmi menerusi dua 'bintang' YouTube ciptaannya iaitu Yoe Parey dan Asif Suhaimi yang juga orang kelainan upaya (OKU) sudah mencetus fenomena menerusi siri drama spontan yang mencatat jutaan tontonan setiap kali dimuat naik di platform itu.

Saluran YouTube Syahmi Sazli memiliki 2.4 juta pelanggan, manakala Instagram pula lebih 2.3 juta followers atau pengikut.

Pengikut setia Syahmi ini yang banyak menyumbang kepada kejayaan filem Mael Totey The Movie ketika ini.

Dalam masa sama, sebelum menghasilkan filem ini Syahmi juga sudah bersedia dengan sebarang kritikan dan kecaman.

"Filem ini dibuat tanpa mengikut standard piawaian sebenar sesebuah filem. Pelakon saya golongan OKU dan waktu berlakon ada yang pandang kamera, tak ikut skrip dan tak ingat nama watak. Sudah pasti ia mengundang kritikan dalam kalangan golongan profesional," katanya.

Seperti dijangka, sebaik ditayangkan segelintir penggiat seni mula melemparkan kritikan antaranya pengarah dan pelakon, Ellie Suriati yang menyifatkan filem itu belum mencapai tahap teknikal sesebuah penerbitan filem.

Bagaimanapun, pengarah popular, Syamsul Yusof dan Ghaz Abu Bakar menghormati Syahmi. Bagi mereka, Syahmi berani dan tampil dengan karya yang kebetulan disukai ramai ketika ini.

Menurut Syamsul, setiap penggiat seni tidak boleh memandang rendah walau dari mana asal usul dan latar belakang seseorang pengarah.

"Seni itu sangat subjektif. Apa yang penting penonton suka dan terhibur. Itu yang mereka mahukan. Diharapkan kejayaan ini membangkitkan lagi semangat pengkarya muda lain tak kisah dari bandar atau kampung. Yang penting mereka kena ada visi dan perancangan serta berani," katanya.

Tidak kurang juga yang mendakwa Syahmi seolah-olah memperguna golongan OKU untuk hiburan orang lain.

Ketika dia mula-mula membuat siri Drama Spontan di YouTube, saya juga mempunyai pandangan yang sama.

Namun, selepas ia semakin diterima sehinggalah penghasilan filem ini, saya nampak ada keserasian antara Syahmi, Yoe Parey dan Asif. Tidak timbul soal siapa perguna siapa, sebaliknya mereka memang ada chemistry dan mereka seronok melakukannya.

Faktor ini yang membuatkan resipi Syahmi 'menjadi'.

Apa yang pasti, Mael Totey The Movie adalah filem lain dari yang lain. Ia unik dan tersendiri. Dari satu sudut, mungkin kelihatan tak berkualiti, tetapi dalam masa sama ia sebenarnya kreatif dan paling penting penonton terhibur.

Untuk filem pertama ini, Syahmi berjaya dengan formula dan resipinya. Bagi filem seterusnya, saya tidak pasti sampai bila idea sebegini boleh diterima kerana selera penonton kadang-kadang berubah.

Sebagai pengkarya, Syahmi perlu tampil dengan idea lebih kreatif. Mencapai kejayaan mungkin mudah, tetapi nak memastikan kejayaan itu berterusan, ia tugas sukar.

Penulis Pengarang Hiburan, Harian Metro

Disiarkan pada: November 28, 2020 @ 6:00am
d