rencana

Saya terkejut dengar...

Oleh Nadir Al-Nuri

Selagi kita meletakkan keyakinan bahawa bangsa Yahudi adalah pengecut, Israel akan runtuh mengikut ramalan Janji Akhirat pada tahun 2022 atau Israel sedang berpecah-belah dan menunggu kemusnahannya, maka selagi itu Palestin akan terjajah.

Saya terkejut apabila mendengar kata-kata itu, tetapi yang melafazkannya bukan calang-calang orang. Yang melafazkannya ialah seorang bekas tahanan Palestin yang berada di dalam penjara Zionis selama 20 tahun.

Kata-katanya disokong oleh seorang pensyarah pakar hal ehwal Israel yang sudah 40 tahun berkecimpung di dalam bidang berkenaan.

Kedua-duanya bekas penuntut di Universiti Hebrew, Jerusalem dan lancar berbahasa Hebrew. Kedua-duanya juga pendokong Hamas, tetapi kata-kata mereka melawan arus dan pandangan popular penduduk.

Betul, berita bahawa bangsa Yahudi dan penduduk Israel secara am selalu berpecah dan berkonfrontasi kerana susah 'diikat' hasil datangnya mereka daripada lebih 150 negara sering kita dengar.

Hakikat bahawa pilihan raya keempat terpaksa diadakan dalam tempoh dua tahun kerana tidak ada kesepakatan antara ahli politik mereka juga menggambarkan perpecahan.

Tetapi, persoalannya benarkah mereka sampai tahap rapuh menanti roboh? Ia membuat saya berfikir dan mengkaji.

Hartawan Yahudi masih berkuasa di pentas ekonomi dunia sejak Rothschild membina empayarnya pada tahun 1744.

Lobi Israel masih mampu menentukan siapa yang akan menaiki takhta kuasa di Amerika.

Malah, 40 peratus hadiah Nobel pada abad ke-20 milik Yahudi.

Malah, Israel yang lebih daripada separuh adalah padang pasir yang kering-kontang dan tiada air adalah negara paling maju di dunia dalam sektor pertanian dan menghasilkan 95 peratus daripada keperluan makanannya secara tempatan.

Kita tidak mengagungkan penjajah, tetapi mengambil pengajaran daripada mereka adalah wajib. Rasulullah SAW bersabda: "Hikmah itu adalah barang yang hilang milik orang yang beriman. Di mana saja ia menemukannya, maka ambillah." Saya rasa hikmah dan pengajaran paling penting yang perlu negara-negara Islam ambil daripada Israel ialah bagaimana ahli politik dipertanggungjawabkan di atas setiap tindakan dan salah laku mereka.

Pendakwaaan ke atas ahli politik di tahap paling tinggi seperti Perdana Menteri pun bukan perkara ganjil. Netanyahu bukan kali pertama berdepan tuduhan rasuah dan korupsi pada hari ini.

Ketika pertama kali menjadi Perdana Menteri pada tahun 1997 dia disiasat atas tuduhan pecah amanah. Ariel Sharon disyaki menerima rasuah dalam Kes Pulau Greek.

Ehud Olmert dihukum penjara selama 19 bulan pada tahun 2016 kerana pecah amanah. Avigdor Lieberman juga berdepan soal siasat kerana isu pecah amanah.

Ia membawa kita berfikir bahawa adalah betul, kepemimpinan Israel juga kotor dan terlibat pelbagai skandal, tetapi sekurang-kurangnya ia tidak disembunyikan.

'Integriti' sistem dan akauntabiliti lebih ketara apabila melibatkan tindakan yang mengundang kemusnahan dan kehilangan nyawa penduduk.

Perang tahun 1973 menjadi contoh yang baik kepada kenyataan ini. Pihak perisikan Israel sudah dimaklumkan oleh pengkhianat dan perisik mereka, menantu Presiden Mesir Gamel Abdel Nasir bernama Ashraf Marwan bahawa tentera Mesir akan menyeberangi terusan Suez dan menyerang mereka.

Tetapi, pihak perisikan gagal bertindak menyebabkan korban ribuan nyawa walaupun Israel kemudiannya menang dengan terus menjajah Sinai dan Golan Heights.

Akibatnya sebuah suruhanjaya bernama Suruhanjaya Agranat ditubuhkan bagi mencari punca kegagalan pihak perisikan dan tentera daripada bertindak.

Hasilnya, Perdana Menteri ketika itu Golda Meir dan ketua perisikan Eli Zeira selain puluhan pemimpin tertinggi tentera terpaksa berundur.

Bayangkan kalau pihak Palestin, malah negara Islam lain juga mempunyai nilai akauntabiliti yang sama.

Pastinya akan ada yang dihukum apabila lebih 80 peratus tanah Palestin diserahkan kepada penjajah dalam Perjanjian Oslo atau ketika ratusan pemuda terkorban di dalam The Great Return March. Tetapi, itu semua mimpi di siang hari.

Dalam dunia Islam, kuasa sama ada milik mereka yang punya duit, yang bijak berpropaganda atau diwarisi turun-temurun melalui sistem monarki, bukan diserahkan kepada 'ahlinya' dan apabila mereka yang tak tahu memimpin diberi kuasa, mereka tidak dipertanggungjawabkan pula ke atas kemusnahan yang berleluasa.

Betullah kata-kata 'kalau orang yang tahu berpolitik masuk ke dewan bedah, dia hanya akan membunuh satu orang.

Tetapi, kalau orang yang hanya tahu membedah masuk ke dunia politik, maka dia akan membunuh ummah'.

Penulis adalah rakyat Malaysia tunggal menetap di Palestin. Beliau boleh dihubungi melalui WhatsApp +60135132140 untuk pertanyaan dan kerjasama. Salurkan sumbangan ke Tabung Kecemasan Covid-19 melalui akaun Persatuan Cinta Gaza Malaysia Maybank 564810507826

Disiarkan pada: January 1, 2021 @ 7:20am
d